Seruan
Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:53 AM
BICARA
PRESIDEN
Yakinkan
rakyat BA layak ganti BN
Tahun
baru 2004 menghantar kita ke tahun ketujuh perjuangan Reformasi
sejak peristiwa hitam akhir tahun 1998. Sepanjang perjuangan ini,
sama ada melalui parti atau usaha-usaha di luar parti politik, kita
konsisten dengan usaha membina membina masyarakat, institusi dan
negara yang adil.
Sedari awal kita insaf bahawa usaha menjana
reformasi ini bukan mudah; bukan pula satu perjuangan yang singkat.
Ia memakan masa dan memerlukan kesedaran massa. Pertama-tamanya
kita perlu mengislahkan (reform) sistem dan amalan lama yang sudah
berakar umbi, sistem yang mana sikap mengenai rasuah menjadi satu
elemen yang mendarah daging, yang 'integral' dan diterima sebagai
satu kemestian. Kita, dan seluruh warga yang bertanggungjawab
mempunyai dhamir (conscience) tidak rela ini berlaku.
Kemarahan
atau 'indignation' rakyat ini adalah penting untuk menggerakkan
mereka bangkit menuntut perubahan dan reformasi. Setiap perjuangan
sememangnya bermula dengan kelompok kecil yang sedar. Tetapi idea
perjuangan itu akan hanya berjaya apabila diterima rakyat dan mendapat
sokongan massa.
Saya percaya Gerakan Reformasi, keADILan dan
Barisan Alternatif (BA) telah berjaya membina kesedaran tersebut.
Idea reformasi dan perubahan telah sampai ke seluruh pelusuk tanah
air. Ini terbukti dengan tertubuhnya begitu banyak cawangan dan
bahagian keADILan di seluruh negara. Rakyat mahukan perubahan dan
kelompok sedar telah berjaya kita bina di setiap peringkat.
Sekarang
ini tahapnya adalah untuk kita gerakkan secara sistematik massa
yang sudah sedar ini. Pertamanya untuk menyedarkan lebih ramai rakyat
(ini sudah kita lakukan dengan begitu banyak pendedahan yang akhirnya
menyebabkan pemimpin kita dipenjara) dan keduanya untuk menggerakkan
mereka agar berani membuat pilihan menolak sistem lama BN.
Tahun
2004 menjadi satu detik yang amat penting. Pilihanraya Umum Kesebelas
akan diadakan di dalam tahun ini dan ia akan menjadi satu lagi ujian
kritikal kepada parti keADILan. Dalam pilihanraya kesepuluh kita
telah mencipta sejarah sebagai sebuah parti yang tidak sampai setahun
usianya namun menjadi satu elemen penting dalam politik tanahair.
Kebangkitan dan pencapaian tersebut mesti kita pertingkatkan.
Justeru
selain mendedahkan kepincangan BN, kita di pihak BA juga perlu menunjukkan
kematangan dan kemampuan untuk menggantikan mereka dalam memerintah
negara.
Saya
kira di kalangan rakyat sudah wujud satu konsensus bahawa sistem
yang sedia ada sekarang korup dan mesti diganti. Namun pada masa
yang sama wujud dalam pemikiran mereka keraguan sama ada alternatif
yang sedia ada - yakni keADILan dan BA - benar-benar merupakan alternatif
yang akan menjadi pilihan yang lebih baik.
Sudah
barang tentu kita menjawab bahawa kita akan mampu membentuk kerajaan
yang lebih baik. Tetapi rakyat perlu diyakinkan dengan hakikat ini.
Sebagai langkah pertama, sebarang pertikaian dan perbezaan pendapat
mesti diselesaikan dengan segera di peringkat dalaman dan tidak
didedahkan kepada media massa. Perbezaan pendapat adalah satu lumrah
dalam mana-mana organisasi atau pakatan. Bezanya cuma cara penyelesaian.
Dalam
isu-isu penting seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya
kita telah membuat pendirian yang jelas. Malah kita juga telah mencadangkan
penyelesaian-penyelesaian yang lebih efektif. Namun idea dan pemikiran
kita dalam hal ini perlu disampaikan secara seragam kepada rakyat.
Hal ini sekarang sedang diusahakan oleh Biro Penerangan parti.
Sebagai
contoh, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana institusi kehakiman
runtuh sedikit demi sedikit. Perbicaraan saudara Anwar Ibrahim mendedahkan
bagaimana pincangnya sistem yang ada. Penangguhan demi penangguhan
dilakukan sedangkan keadaan beliau yang semakin kritikal memerlukan
rawatan segera. Malah kelengahan ini seolah-olah sengaja tanpa sebarang
sebab munasabah.
Namun
apa penyelesaian kita kepada masalah ini? Apakah dengan sekadar
menubuhkan Suruhanjaya DiRaja sepertimana yang dicadangkan Perdana
Menteri untuk memperbaiki keadaan pasukan polis (malah ketua penyokong
kerajaan di Parlimen mencadangkan suruhanjaya yang sama ditubuhkan
untuk semua perkhidmatan). Apakah penubuhan suruhanjaya menjamin
perkhidmatan dan prestasi yang lebih baik, sedangkan kerajaan yang
bertanggungjawab terhadap perjalanan agensi-agensi ini tidak (atau
enggan berubah)?
Apakah
jaminan suruhanjaya akan dapat memainkan peranan bebas dan apakah
pula jaminan kerajaan akan akur dengan syor suruhanjaya tersebut?
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dipertanggungjawabkan
untuk memastikan hak asasi rakyat Malaysia terpelihara sehingga
sekarang tidak dipandang serius oleh kerajaan BN. Syor dan cadangan
Suhakam tidak diendahkan.
Rakyat
juga sedar tentang perkara ini; dan kerana itu saya mengatakan bahawa
seakan wujud konsensus bahawa BN mesti digantikan. Namun menjadi
tanggungjawab kita kini untuk meyakinkan majoriti rakyat bahawa
BA layak menggantikan BN ini, dengan menampilkan pemikiran dan tokoh-tokoh
yang berkemampuan.
Semoga
pertukaran tahun ini juga akan membawa kepada pertukaran kepemimpinan
negara dan meluasnya reformasi di negara kita.
|