Seruan
Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:51 AM
EDITORIAL
Tahun
Baru Politik Baru
Selamat
menyambut tahun 2004 kepada seluruh rakyat Malaysia. Lazimnya, tahun
baru sering dikaitkan dengan azam, harapan dan semangat baru. Terhamburlah
semua janji, dan iltizam yang serba baru mengiringi peralihan angka
tahun baru itu.
Seringnya
dikumandangkan harapan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik pada
tahun baru berbanding apa yang dilalui pada tahun sebelumnya. Apa
yang masih belum dicapai, disasarkan akan mampu diperolehi pada
tahun baru. Begitulah sifat manusia yang sentiasa ingin melihat
kejayaan dan kemajuan sentiasa berpihak di diri mereka.
Semangat
ini sebenarnya fitrah manusia. Mereka yang mahu yang terbaik buat
diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka. Peralihan tahun dijadikan
asas untuk mengukur kemampuan dan kejayaan yang dicapai.
Namun
sedikit rasanya yang sedia menjadikan peralihan tahun sebagai titik
untuk melakukan muhasabah diri. Memang hidup harus melihat ke hadapan
tetapi kelemahan, keburukkan serta kegagalan lalu perlu juga ditimbang
sama agar azam baru, tekad baru dan matlamat baru tidak mengulangi
kelemahan, keburukan dan ketidakupayaan lampau.
Begitulah
halnya dalam soal perjuangan rakyat negara ini untuk menegakkan
sistem yang adil kepada semua. Harus diakui kita masih lagi belum
berjaya meletakkan asas kukuh yang membolehkan keadilan benar-benar
tercipta di negara ini. Kepincangan, penyelewengan dan rasuah masih
lagi berleluasa.
Hakikat
ini merupakan cabaran yang berterusan kepada perjuangan rakyat.
Biarlah beralih tahun atau menyambut ketibaan fajar baru, agenda
perjuangan ini tidak akan berubah. Biarlah ada sapuan kosmetik di
sana sini bagi mewarnai kononnya perubahan akan dibuat, agenda ini
tetap perlu dipertahankan.
Dengan
sebab itu, menyambut tahun baru 2004, ia menuntut komitmen berterusan
daripada semua pihak termasuk pemuka politik perubahan dan pembaharuan
di negara ini untuk tidak memberikan bayangan wujudnya sedikit penyesuaian
dalam perjuangan.
Penyesuaian
itu, baik dalam bentuk rundingan atau perbincangan, tidak harus
mengatasi harapan rakyat terbanyak yang mahukan keadilan ditegakkan.
Mana
mungkin rakyat dapat menyuburkan tekad dan azam yang telah tertanam
sejak beberapa tahun lalu untuk melihat keadilan ditegakkan di negara
ini, sekiranya timbul cerita keadilan hanya dapat dicapai melalui
perundingan dan perbincangan dengan mereka yang bergelumang dengan
pelbagai kebejatan.
Tidak
ada justifikasi yang dapat diberikan untuk menyatakan bahawa kebaikan
akan dapat dicapai dengan restu kejahatan. Tidak ada sifirnya baik
jika dicampur,, dibahagi atau dikali dengan keburukan akan menghasilkan
kebaikan. Ini kerana keburukkan perlu dibuang jauh bagi memastikan
kebaikan diserlahkan.
Dengan
sebab itu menjadi tanggungjawab pemuka politik pembaharuan dan perubahan
di negara ini yang lantang berbicara soal keadilan untuk tampil
menyatakan bahawa tahun 2004 adalah tahun untuk meneruskan perjuangan
dan agenda besar perubahan yang belum selesai.
Kita
harus bangkit dengan berani dan tegas serta jelas menyatakan, tidak
ada kompromi dengan kebejatan dan keburukkan dalam kita berusaha
menegakkan keadilan. Kita juga harus ikhlas dan jujur dengan perjuangan
menyatakan bahawa kepentingan rakyat tidak akan dijadikan galang
ganti untuk mendapatkan nikmat perjuangan yang dinamakan keadilan.
Malah
kita harus terus meyakini bahawa keadilan tidak akan dapat dikecapi
oleh negara dengan bantuan mereka yang penuh dengan onar dan noda.
Tahun
baru menuntut kita benar-benar menghayati politik baru yang diperjuangkan.
Politik yang jelas memisahkan antara hitam dan putih. Tidak harus
wujud istilah ruang kelabu dalam politik baru.
Meletakkan
politik baru dengan tatacara dan rukun yang disepakati bersama akan
menambahkan lagi keyakinan dan kekuatan perjuangan. Tidak harus
wujud lagi keraguan setelah hampir lima tahun berlalu, perjuangan
ini masih terus diselubungi dengan ruang kelabu.
Selamat
tahun baru, martabatkan politik baru, politik yang jelas dan tidak
berliku.
Bersama
kita Menuju Malaysia Baru.
|