Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:50 AM

MINDA ANWAR

Kuasa yang dibina atas kezaliman pasti musnah

Perdebatan tentang pelbagai isu berkaitan masyarakat, hak individu dan kebebasan, orde masyarakat, bentuk kerajaan dan sebagainya adalah persoalan penting untuk kita melakukan ‘audit’ ke atas abad ke-20.  Sebaik kita memasuki kurun yang baru, dan sebenarnya millennium yang baru, kita tidak mampu berkata dengan pasti apabila menoleh ke belakang, sama ada merasa, pencapaian yang membanggakan atau dengan penuh penyesalan. Kejayaan dan kehebatan abad yang lalu tidak sukar untuk dihitung. Medan ilmu kemanusiaan telah diasak ke tahap yang paling jauh. Kita masih kagum dengan pencapaian Einstein. Beberapa revolusi dan sains dan teknologi menjangkau pencapaian kurun-kurun yang lepas disatukan.

Dunia belum pernah menyaksikan pertambahan kekayaan dan kemakmuran seperti dalam kurun ke-20 ini. Namun, kurun ke-20 akan diingati juga, bilamana kemanusiaan bergelumang dalam perbuatan yang kejam dan ngeri lalu jatuh ke tahap paling rendah.  Telah berlaku begitu banyak peperangan dalam sejarah tetapi tiada yang boleh menandingi peperangan dalam kurun ini, dari segi kemusnahannya, kesengsaraan dan harga kepada nyawa manusia.

Senjata-senjata pemusnah dicipta dan digandakan oleh cerdik pandai kurun ke-20. Mereka yang berpegang dengan sosial Darwinis, berpengaruh sehingga awal kurun ini, mengatakan bahawa, kemanusiaan akan sentiasa maju ke tahap sempurna yang lebih tinggi, ternyata meleset, apabila dunia menyaksikan kekejaman Hitler dan Stalin. Memang kurun ini penuh dengan percanggahan yang membingungkan.

Marxisme, walaupun dipercayai sebagai ideologi dalam dekad kurun ke 19, kemunculannya dipentas dunia sebagai kelas sosial dan kuasa  politik adalah disebabkan oleh kejayaan Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917. Pergerakan baru tersebut menjanjikan utopia semata – pembasmian kelas-kelas sosial, kebebasan daripada segala bentuk kezaliman, dan persamaan ekonomi. Negara kemudian diperintah oleh “diktator proletariat” – orang awam yang sebelum itu, sentiasa terdedah kepada eksploitasi oleh kelas pemerintah.

Kini, buat pertama kali, mereka mempunyai hak dalam membuat keputusan hal-hal berkaitan rakyat. Pengaruh ideologi ini begitu kuat sehingga, tidak lama selepas itu, setiap ahli intelektual, berada di bawah pengaruhnya. Tetapi mimpi syurga dunia kian bertukar menjadi mimpi ngeri. Milan Kundera, penulis novel terkenal di Eropah Timur, melukisnya seperti berikut: “Terpukau dengan suara utopia, mereka berhimpit-himpit memasuki gerbang syurga hanya mendapati, apabila gerbang ditutup, rupanya mereka berada di neraka jahanam”.

Jatuhnya negara-negara Marxist di Eropah Timur pada tahun 1989 berpunca daripada proses yang perlahan tetapi semakin kuat. Sebenarnya, tidak lama bagi intelektual Barat untuk tersedar daripada khayalan idealisme negara-negara komunis. Sebelum ini mereka begitu kuat menyokong idealisme komunisme, yang diharap dapat menyelamatkan manusia daripada kebobrokan kapitalisme, industrialisme dan imperialisme.

Selepas perbicaraan Moscow tahun 1930an, ramai yang lari meninggalkan ideologi tersebut. Ini mengesahkan apa yang telah dijangka oleh Pierre Vergniaud, seorang jurucakap sayap sederhana Jacobin semasa kemuncak Revolusi Perancis: “Ini adalah sebab untuk merasa cemas, seperti Saturn, revolusi ini akan memamah setiap penyokongnya, seorang demi seorang.” (Pierre sendiri, salah seorang mangsa Madame la Guillotine).  Penghapusan tersebut, menunjukkan cubaan dan perjuangan yang merugikan kedua belah pihak, ia berlaku berulang kali di negara-negara komunis. Malah, kemandirian komunisme, setelah itu, tidak lagi bergantung kepada sokongan rakyat tetapi lebih kepada kemampuan pemimpin-pemimpinnya mencengkam dan meletakkan rakyatnya, sentiasa dalam keadaan ketakutan dan lemah dan tidak berdaya apabila berhadapan dengan jentera kerajaan. Hanya masa yang menentukan sebelum seluruh struktur mula jatuh. Sistem, penuh dengan percanggahan dalaman sehingga ia tidak mampu untuk keluar daripada kemelutnya sendiri. Apabila terdapat kelemahan dalam kemegahan Kesatuan Soviet, seperti yang disaksikan kegagalan tenteranya di Afghanistan, keruntuhan total datang dengan pantas selepas itu.

Ini bukan bermakna, kita menyukai apa yang telah berlaku, seolah angkuh dengan kejatuhan satu usaha manusia yang diilhamkan oleh idealisme yang tinggi. Tetapi mengimbau kembali bangun-jatuhya komunisme, dengan harapan dapat mengambil beberapa pengajaran penting daripadanya. Pertama, idealisme tinggi dan niat yang baik tidak menjanjikan apa-apa. Kita juga harus jelas tentang cara atau kaedah untuk mencapai objektif yang diletakkan. Kita tidak harus menggadaikan yang baik dan nyata serta jelas, walaupun tidak sempurna atau cacat, dengan sesuatu yang rupanya sungguh sempurna, tetapi dalam proses mencapai matlamat, akan menyebabkan kita meninggalkan kebaikan yang telah berada ditangan kita.

Kedua, kita boleh belajar, bahawa tiada kuasa secara kolektif yang dibina atas kezaliman akan dapat mengelak daripada berhadapan dengan balasan ‘kezaliman’ pada suatu masa kelak. Bagi masyarakat madani dapat berkembang, ia mesti wujud hasil daripada tiada keterikatan kepada pihak berkuasa, di mana individu tidak dapat dipaksa mengikut kehendak yang jumud. Ia mesti mampu menerima perbezaan, dan berbagai pandangan dalam kerangka hormat-menghormati dan bertoleransi.

Begitu ramai yang berkhayal semasa awal keruntuhan komunisme. Contoh yang masyhur, ialah tesis Fukuyama, bahawa demokrasi liberal ialah noktah akhir ideologi evolusi manusia. Menurutnya, kini terdapat konsensus mengenai kesahihan demokrasi liberal sebagai satu sistem kerajaan, dan ia telah menumpaskan ideologi lain. Pada pendapat saya, realitinya lebih kompleks daripada itu.  Sementara kita berkongsi nilai-nilai dan ciri-ciri demokrasi, kejayaan aplikasinya dan kemampuannya menjadi sistem sesebuah kerajaan akhirnya bergantung kepada penyesuaian adil dan modifikasi yang terpaksa dilalui untuk disesuaikan dengan nilai tertentu dan keadaan. Kita mengatakan demikian bukan kerana ‘apologetic’, nanti kita dituduh memberi alasan kerana gagal mewujudkan demokrasi. Sebenarnya, kita juga percaya dan berpegang kepada idealisme lain yang tidak dikongsi oleh mereka yang memperjuangkan demokrasi liberal. Oleh itu, proses menginstitusikan bentuk kerajaan demokrasi yang munasabah, memerlukan bukan saja keberanian tetapi juga imaginasi.

Dalam satu ruangan New York Review of Books, berjodol, Paradise Lost, Havel menyatakan bahawa “..kita adalah saksi kepada keadaan yang teruk ini; masyarakat telah membebaskan dirinya, tetapi dalam beberapa keadaan, ia bertindak lebih dahsyat daripada keadaannya  semasa ia dirantai. Jenayah telah meningkat begitu pantas, najis yang telah meruap dari dasar menyerap masuk ke dalam media massa, terutama suratkhabar murahan. Tetapi ada petanda yang lebih serius dan bahaya: dendam kalangan bangsa-bangsa, syak, perkauman, malah bibit-bibit ‘fascism’; bersekongkol dan berbohong dengan sengaja; politicking, perjuangan untuk kepentingan peribadi, tamak kuasa, segala bentuk ketaksuban yang boleh dibayangkan; pelbagai bentuk rompakan, peningkatan kegiatan mafia; sikap kurang bertolak ansur, persefahaman, kesederhanaan, alasan.”

Czechoslovakia terletak di Eropah. Walaupun berkurun di bawah kerajaan totalitarian, masyarakatnya mempunyai banyak persamaan denganEropah Barat dan Amerika Utara daripada mana-mana masyarakat demokrasi di Asia. Kemampuan untuk mengekalkan demokrasi hanya boleh dicapai melalui pendekatan yang praktikal kepada kerajaan, dan melalui komitmen kerajaan memastikan kesejahteraan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang saksama. Memang benar kesejahteraan ekonomi sangat penting dan demokrasi menjadi tidak bermakna dan tidak relevan, jika ia tidak dapat membasmi kemiskinan, kesengsaraan dan kejahilan. Kesahihan kerajaan yang dilantik terletak di atas komitmennya memenuhi aspirasi rakyat yang ingin menjadi bertambah makmur dari segi ekonomi dan sejahtera dari segi sosialnya.

Buat masa yang sama, kita perlu kekalkan kesatuan bangsa, yang bergantung kepada mengekalkan keadilan dan juga mengimbangi antara perbezaan dan persamaan, keinginan dan keghairahan.  Di sini, kita lebih bersetuju dengan Samuel Huntington, apabila dia mencadangkan “interaksi perkembangan ekonomi dan kebudayaan Asia, dilihat telah menjana institusi demokrasi yang pelbagai, yang jelas ciri Asia Timur nya. “Profesor Huntington memperhatikan bahawa Malaysia, begitu juga Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan Indonesia, mempunyai ciri demokrasi yang sama, iaitu memenuhi “bukan nilai Barat yang menekankan persaingan dan perubahan, tetapi nilai-nilai ketimuran yang menitikberatkan kesepakatan dan kestabilan.” Apa yang Profesor Huntington gagal perhatikan ialah, kita tidak melihat demokrasi sebagai satu-satunya matlamat masyarakat, mengatasi yang lain. Bagi kita, dengan keperluan masyarakat yang ada,  kita perlu pergi lebih jauh daripada menjanjikan kebebasan dan persamaan hak, malah, lebih daripada sekadar mengekalkan kesepakatan dan kestabilan.

Sepertimana John Maynard Keynes menulis, pada penutup bukunya The General Theory, “…idea-idea pakar ekonomi dan ahli falsafah politik, kedua-duanya apabila mereka betul dan apabila mereka silap, lebih terkesan daripada yang biasa difahami. Sesungguhnya, dunia ini dikuasai oleh mereka yang kurang daripada itu. Orang-orang yang praktikal, yang percaya mereka tidak dipengaruhi oleh para intelektual, sebenarnya, sering menjadi hamba kepada ahli ekonomi yang sudah lapok. Orang gila yang berkuasa pula mengambil idea daripada sarjana beberapa tahun yang lalu.”