Seruan
Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:55 AM
Bagai bernafas dalam lumpur
Oleh: Fathi Aris Omar
“Tak
perlu sedu sedan itu, aku ini binatang jalang, dari kumpulannya
terbuang, biar peluru menembus kulitku, aku tetap meradang menerjang,
luka dan bisa kubawa berlari, hingga hilang pedih peri” – Chairil
Anwar dalam sajaknya ‘Semangat’ (1943)
Lupakan
syor-syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kepada Kementerian
Dalam Negeri (KDN). Walau usianya sudah setahun, sejak 12 November
2002, syor-syor yang progresif ini belum mempunyai sebarang tanda
akan dilaksanakan.
Dalam
laporan tahunannya edisi 2002 (Bab 3, perkara iv), antara lain,
Suhakam mencadangkan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA),
pindaan beberapa fasal kontroversi berkaitan permit tahunan Akta
Penerbitan dan Mesin Cetak, memberi takrif baru ‘rahsia’ dan mengkaji
semula hukuman berat Akta Rahsia Rasmi (OSA), membentuk sebuah majlis
media yang bebas, dan menyediakan kad pengenalan wartawan tanpa
diskriminasi.
Kita
tidak tahu bagaimana menteri berkenaan, yang juga Perdana Menteri,
melihat syor-syor suruhanjaya ini. Abdullah Ahmad Badawi pernah
dilaporkan “ingin mendengar kebenaran” daripada masyarakat. Namun,
jika KDN tidak bertindak segera terhadap syor-syor Suhakam, kata-kata
Perdana Menteri itu tidak lebih daripada janji-janji politik yang
kosong semata-mata.
Tetapi
kita lupakan hal ini buat sementara waktu. Kita mencari satu lagi
dimensi penting ‘kebebasan akhbar’. Elok kita berbicara tentang
bayaran sagu hati yang rendah kepada penyumbang rencana dan karya-karya
kreatif di media tempatan, termasuk syarikat-syarikat gergasi yang
menguasai akhbar harian.
Entah
mengapa dalam wacana kebebasan akhbar, kita boleh terlupa (atau
malu?) membicarakan soal bayaran. Seolah-olah kebebasan akhbar hanya
isu ruang dan sekatan kerajaan, bukan persoalan mutu laporan atau
tulisan.
Penyakit
Padahal
kita sedar kebebasan dalam demokrasi tidak mempunyai sebarang makna
tanpa peningkatan mutu kehidupan. Kebebasan bersuara menjadi sejenis
‘penyakit’ tersendiri jika mutu perdebatan jatuh atau gagal dipertingkatkan.
Kebebasan
akhbar tidak bermakna tanpa kualiti laporan, persaingan sihat sesama
syarikat media, kerancakan sumbangan idea penulis serta maklum balas
pembaca.
Freedom
Forum, sebuah yayasan memperjuangkan kebebasan bersuara di Amerika
Syarikat, dalam satu tinjauannya berhujah bahawa media bersikap
‘tidak adil’ jika ia menggaji wartawan yang mentah (jahil) atau
tidak cekap.
Ertinya
media yang gagal menghasilkan laporan bermutu atau menggaji wartawan
yang tidak cekap hakikatnya boleh menggugat unsur kebebasan akhbar
dan perkembangan minda masyarakat.
Dengan
bahasa lain: tanpa berita, analisa, rencana atau karya bermutu,
apakah itu tidak bermakna kita turut menyumbat ‘sampah’ ke dalam
minda pembaca? Pembaca yang terlalu lama didedahkan dengan corak
laporan berita dan rencana yang tidak bermutu akhirnya percaya –
sama ada sedar atau tidak – tahap yang rendah atau corak pembingkaian
bahan-bahan media seperti yang dialami di negara ini.
Akhirnya
pembaca, khususnya generasi muda yang tidak terdedah kepada media-media
negara luar, menjadi selesa dengan mutu yang rendah. Jika mereka
berminat menulis berita, rencana atau karya kreatif, mereka akan
mengulangi kerendahan mutu seperti yang mereka saksikan setiap hari.
Lingkaran
syaitan
Apabila
mereka ingin mengusahakan penerbitan sendiri, sama ada bernilai
komersial atau untuk aktivisme, kerendahan mutu inilah yang dapat
kita saksikan – gaya tulisan dan kedalaman berhujah, belum mengambil
kira mutu reka letak atau fotografi yang ‘hancur lebur’!
Saya
percaya gejala inilah yang telah merosakkan fikiran pembaca di negara
kita. Ia telah menjadi ‘lingkaran syaitan’ atau ‘vicious cycle’
yang merosakkan. ‘Piawaian’ mutu diukur daripada akhbar harian,
tabloid pembangkang, majalah independen atau risalah NGO (badan
bukan kerajaan) yang sangat jauh daripada memuaskan.
Malah
kita dapati editor-editor kini, akhbar harian atau majalah popular,
nampaknya mudah selesa dengan kerendahan mutu kolum, rencana, berita
dan karya kreatif (juga reka letak dan fotografi).
Mutu
tulisan dan kerancakan menulis datang daripada dua sebab – asas
motivasi individu – ancaman dan ganjaran. Ancaman dikaitkan dengan
ruang. Tanpa risiko politik seperti hari ini, apabila ruang kebebasan
akhbar sudah terbuka, orang ramai tentunya lebih mudah menulis (walau
kenyataan ini boleh dibahaskan).
Ganjaran
pula merancakkan kegiatan menulis. Kita berharap mutu dapat dipertingkatkan
apabila wujud persaingan sihat di kalangan penyumbang karya atau
penulis bebas. Tetapi ganjaran untuk berkarya (kreatif dan fakta)
nampaknya masih rendah.
Menteri
kabinet, polis, wakil rakyat, guru dan anggota mesyuarat kerajaan
(exco) semuanya telah menuntut kenaikan gaji atau bonus tahunan
(masing-masing sudah mengecapinya). Tetapi sejak saya menulis lebih
10 tahun lalu hingga hari ini, Berita Harian dan Utusan Malaysia
masih lagi mengekalkan bayaran RM150 bagi sebuah rencana!
Risiko
Malah
ada penerbitan yang lebih rendah, misalnya Harakah atau Tamadun,
atau tidak membuat sebarang pembayaran, contohnya Siasah (sebelum
ditutup). Bagaimana penulis bebas atau penyumbang rencana boleh
hidup dengan bermaruah?
Bagi
penyumbang karya kreatif pula, Mingguan Malaysia membayar RM30 bagi
sajak dan RM70 (cerpen). Mingguan Wanita dan Nur, dua majalah popular
di bawah Kumpulan Karangkraf, membayar kadar yang sama bagi puisi.
Menjadi
wartawan atau penyumbang penuh risiko, antaranya dikenakan tindakan
saman, dan tiada sebarang perlindungan undang-undang pula untuk
kita. Semua akta yang ada – terkena kepada ahli politik pembangkang,
aktivis atau pengganas – layak sahaja untuk wartawan.
Ganjaran
yang rendah juga diberikan kepada penulis skrip, pekerja filem (crew),
artis reka letak (DTP) atau jurugambar (khususnya yang bebas). Tidak
ada pihak yang memberikan perhatian kepada kumpulan pekerja berpengetahuan
ini.
Semuanya
ibarat “mahu apa lagi hendak kukorbankan, hingga aku bernafas bagai
dalam lumpur, kasihan…”, sepotong lirik lagu popular kumpulan Wings.
Jika
kegiatan menulis pula tidak lebih baik daripada mengemis, dan hal
ini diketahui umum melalui imej luaran betapa daifnya penulis, tidak
mungkin kegiatan menulis rencana dan karya kreatif dipandang mulia.
Kes
pencabulan
Akhirnya
media, wartawan, penulis dan karya masing-masing menjadi satu sektor
yang mundur dan ‘menakutkan’ di negara ini. Hairannya lagi, sama
ada Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) atau Inisiatif Wartawan
(IW), tidak pernah mempedulikan hal-hal kebajikan penulis rencana
dan penyumbang karya kreatif.
Persatuan
Penulis Nasional (Pena) atau Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ)
telah lama mengabaikan hal-hal ini – atau lebih tepat, mereka hanya
mengutamakan kelompok kroni sendiri atau ahli-ahli berdaftar sahaja.
IW
dan Kami, berbanding Pena atau NUJ, sering membincangkan sesuatu
yang agung, mujarad dan jangka panjang – apa yang disebut ‘kebebasan
akhbar’ dan kes-kes pencabulannya – tetapi melupakan nasib sendiri.
Pada hemat saya, cara begini sejenis perjuangan yang tidak masuk
akal!
Kecuaian
pihak-pihak ini mendorong satu kumpulan penulis kreatif, penggiat
seni budaya dan wartawan Melayu (semuanya lingkungan 20-an), menggelarkan
diri mereka ‘Komunite Seni Jalan Telawi’ (KSJT), membahaskan isu
bayaran dengan lebih serius. Dengar khabarnya KSJT sedang mengumpul
data untuk kempen ‘Tingkatkan Bayaran Sagu Hati’ dan jaminan pekerjaan
yang baik bagi wartawan atau penyumbang di syarikat-syarikat penerbitan
kecil.
Kegiatan
menulis rencana dan nasib penyumbang kreatif akhirnya seperti gambaran
dalam sajak terkenal Chairil Anwar, ‘Semangat’. Namun penyajak tersohor
Indonesia ini tidak peduli apa-apa kerana dia "mahu hidup seribu
tahun lagi."
Tetapi
tidak semua penulis kreatif dan rencana ingin hidup 1,000 lagi.
Persoalannya bagaimana mereka hendak membeli buku (rujukan), menonton
teater atau membayar minum kekasih hari ini?
|