Seruan Keadilan Online - Tuesday, January 20, 2004 9:57 AM

Perjuangan bebaskan Anwar berasaskan keadilan, tiada kompromi!

Oleh: Mohd Zukri Aksah

Tanggal 23 Disember 2003 baru-baru ini saya berkesempatan hadir ke majlis pelancaran Gerakan Anwar Bebas yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Datuk Maharajalela, Kuala Lumpur.

Meriah, penuh warna-warni, penuh semangat, penuh harapan. Mencari kembali kesepaduan yang tertinggal akibat kecamuk pendekatan yang pelbagai, menggali semula makna dan takrif reformasi, apakah ia masih tersemat kuat di jiwa-jiwa mereka yang mahu dikenal sebagai pejuang dan aktivis.

Tahun-tahun 1998 dan 1999 ibarat musim mengutip kepah yang telah terlepas. Kerana tidak menjangkakan begitu banyak kepah yang muncul di tepian pantai ketika itu, kita menjadi kelam-kabut - orang yang tidak cukup, cara yang tidak kena, tempat yang salah dan alat yang tidak sesuai membuatkan kita telah terlepas dari mengaut hasil yang lumayan.

Kita mula belajar dari situ, lalu sementara menunggu musim seterusnya, pemimpin-pemimpin kita yang datang dan pergi, naik dan turun masing-masing muncul dengan cara dan teori sendiri.

Mungkin kerana kepelbagaian dan perbahasan tidak wujud dalam kitab politik kuno karangan Umno/Barisan Nasional, atau mungkin juga kerana kealpaan kita yang terlalu memilih dan mempertahankan yang satu dari yang pelbagai itu, ada daripada kalangan kita yang kecewa dan berjauh hati bila merasai pendapat dan pandangannya tidak di pihak “dominant”, apakah sampai kita terlupa tentang hasrat dan cita-cita reformasi yang kita sama-sama junjung selama ini? Tepuklah dada, tanya hati sendiri.

Musim seterusnya akan kembali. Dengung pilihanraya sudah kedengaran dan itulah tanda hadirnya. Malam 23 Disember 2003 harus menjadi pemula kedua - pemula yang lebih tersusun dan mantap. Kita mulakan dengan melunaskan kehendak yang satu, sama dan tidak pelbagai: Membebaskan Anwar Ibrahim!

Anwar Ibrahim - beliau adalah ikon, beliau aalah simbol. Simbol kepada keadilan yang telah disepak terajang, simbol kepada kezaliman yang dijunjung dijulang.

Maka membebaskan Anwar bermaksud membebaskan keadilan, membebaskan Anwar bermaksud meruntuhkan kezaliman.

Tetapi, kenyataan bahawa Anwar perlu dibebaskan dengan apa cara sekalipun tidak boleh diguna pakai. Pembebasan Anwar perlu hanya melalui satu landasan, iaitu perjuangan!

Tidak boleh ada kompromi! Ya, Anwar mungkin boleh dan akan bebas dengan kompromi, dan mungkin juga ramai yang akan gembira dengan pembebasan ini. Namun percayalah, dengan cara ini yang akan bebas hanyalah batang tubuh Anwar Ibrahim.

Sedangkan sama ada kita sedar atau tidak, keadilan akan terus terpenjara menanti hukuman gantung sampai mati mandatori, kezaliman akan terus melata dan berkuasa.

Di manakah kita yang mengaku pejuang dan aktivis jika Anwar terbebas dengan cara ini? Apakah kita akan mula melupakan fail-fail rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin tertinggi Umno/Barisan Nasional (Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Khalil Yaakob, Mohd Khir Toyo dsb – sekadar menyebut beberapa kes) yang masih kemas terikat dengan tali merah dan bertanda “sulit”? Ini juga adalah kezaliman yang wajib kita rungkaikan dan kita adili, atas nama reformasi dan perjuangan!

Pastikan kita berada di landasan perjuangan, perjuangan membebaskan keadilan bersimbolkan Anwar Ibrahim, bukan membebaskan Anwar Ibrahim bersimbolkan keadilan.

Musim baru akan tiba: susun dan percukupkanlah orang-orang kita, kenalpasti cara yang paling berkesan, pilih tempat-tempat yang betul dan perlengkapkanlah segala peralatan.

Jangan nanti kita terlepas lagi mengaut hasil yang lumayan atau kepah sendiri yang merajuk hati dan tidak mahu lagi hadir dan muncul di tepian pantai.