Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:54 AM
Tindakan
keluar parti timbulkan persoalan - Fuziah
Tindakan
keluar parti oleh 12 ahli keADILan baru-baru ini kepada Umno meninggalkan
kesan positif dan juga negatif terhadap parti.
Sudah
pastinya peristiwa keluar parti oleh 12 ahli Keadilan dari Pemuda,
Negeri dan Majlis Pimpinan Tertinggi memeranjatkan ahli-ahli di
akar umbi. Mungkin ada yang merasa kecewa, marah, kesal dan keliru
atas tindakan 12 yang lari kepada Umno itu.
Selain
dari mengutuk tindakan mereka yang lari dari ‘medan pertempuran’,
pimpinan dan seluruh ahli keADILan perlu melihat ke dalam diri kita
sendiri. Kita mesti ikhlas mencari punca keluarnya mereka daripada
parti selain daripada kelemahan diri mereka sendiri.
Mungkin
terdapat kelemahan-kelemahan lain yang menyumbang kepada insiden
tersebut, sama ada kelemahan dari segi kepimpinan, mengurus organisasi
atau lain-lain sebab. Kepimpinan parti perlu mengkaji perkara ini
dan dengan ikhlas, mencari jalan penyelesaian dan mengawal kerosakan
yang sentiasa dieksploitasi oleh musuh.
Seruan Keadilan (SK) telah
mendapatkan pandangan Ketua Wanita, Fuziah Salleh mengenai insiden
keluar parti tersebut. Berikut adalah wawancara penuh antara SK
dan Fuziah:
SK:
Apa komen puan terhadap 12 orang yang keluar parti baru-baru in?
Fuziah:
Saya melihatnya begini; 12 orang pemimpin parti yang sudah beberapa
tahun memperjuangkan keadilan tanpa imbuhan-imbuhan lumayan malah
terpaksa berkorban wang ringgit, masa dan nyawa, kini meninggalkan
parti untuk bersama dengan mereka yang pada suatu ketika dulu menjadi
musuh mereka. Tidakkah itu suatu yang tidak normal dan menimbulkan
persoalan, mengapa ini boleh berlaku?
Dari perspektif tingkah laku
dalam organisasi (organizational behavior), apabila ada seseorang
yang bermasalah, di antara punca utamanya ialah: pertama, kelemahan
organisasi; kedua, kegagalan pemimpin; dan ketiga, kegagalan individu
yang terpengaruh dengan persekitaran. Oleh itu, saya melihat 12
yang telah meninggalkan parti menghadapi kesemua perkara yang disebutkan
tadi dan bukan perkara ketiga sahaja. Setelah berkata demikian,
saya fikir, sebagai pemimpin, kita juga perlu melihat kepada punca
berlakunya keadaan demikian.
SK:
Komen puan tidak seperti komen pemimpin-pemimpin parti yang lain,
yang menuduh 12 yang keluar parti sebagai pengkhianat. Mengapa?
Fuziah:
Memang mereka pengkhianat perjuangan, tetapi tidak cukup dengan
kita mengatakan demikian, dalam masa yang sama kita menafikan sebab
mereka berbuat demikian. Kita perlu melihat situasi ini dari pelbagai
sudut supaya perkara yang sama tidak berulang dan bagaimana kita
boleh membendung gelombang yang kedua dan seterusnya, yang mereka
janjikan. Seterusnya, kita juga perlu fikirkan bagaimana kita boleh
mengukuhkan parti dari segi halatuju, prinsip perjuangan dan komitmen
ahli parti.
SK:
Adakah pemimpin yang lain setuju dengan pandangan puan?
Fuziah: Saya mengambil penuh
tanggungjawab di atas pendirian saya mengenai isu ini kerana saya
yakin dengan prinsip yang saya pegang selama ini. Saya tidak akan
biarkan prinsip keadilan itu dinodai dan dicemari kerana bimbang
ia akan menjejaskan persepsi orang lain terhadap saya.
Jika
saya sebagai seorang pemimpin tidak berbuat demikian (menyatakan
yang benar), saya sebenarnya telah mensia-siakan harapan dan kepercayaan
yang telah diberikan oleh rakyat. Memang tidak ramai yang ingin
mengatakan selain daripada menuduh 12 yang keluar parti sebagai
pengkhianat. Tetapi saya sebagai pemimpin dan rakan-rakan yang lain
perlu melihat ke dalam, dan mencari jalan mengatasinya untuk terus
maju ke hadapan.
SK:
Mungkin disebabkan ujian yang terlalu kuat, menghimpit ahli-ahli
parti sehingga ada ahli-ahli parti yang keluar?
Fuziah: Sejarah telah membuktikan,
bahawa manusia sanggup berbuat apa saja, mati sekalipun, demi perjuangan
kerana mereka benar-benar yakin dengannya. Kita perlu sedar bahawa
ganjaran bukan dalam bentuk material sahaja. Oleh itu, faktor wang
tidak menjanjikan kesetiaan dan kejayaan. Dalam hal ini, faktor-faktor
persekitaran memang kuat menarik mereka keluar tetapi kemungkinan
faktor-faktor yang menolak juga ada di situ.
Inilah
persoalan yang perlu dijawab.
|