Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:11 AM

Pilihanraya umum ke-11

Pembahagian kerusi PAS dan keADILan Kedah selesai

Barisan Alternatif (BA) negeri Kedah telah membuat persetujuan mengenai pembahagian kerusi untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum nanti.

Pengerusi keADILan Kedah, Johari Abdul dan Naib Presiden PAS, Ustaz Azizan Abdul Razak yang mewakili kedua-dua parti telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembahagian Kerusi antara kedua parti di Dewan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Bangunan PAS Kedah pada 4 Februari 2004 lalu.

Majlis menandatangai ini disaksikan oleh Setiausaha PAS Kedah, Haji Mustafa Long dan Timbalan Pengerusi keADILan Kedah, Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri oleh pemimpin utama kedua-dua parti.

Barisan Alternatif Kedah telah mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang berjaya menyelesaikan jumlah pembahagian kerusi.

Bagi kerusi Parlimen, PAS akan diwakili oleh 11 calon dan 4 dari keADILan manakala kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN)PAS akan bertanding 27 kerusi dan keADILan 9 kerusi.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Phahrolrazi Zawawi yang mempengerusikan majlis tersebut berkata sebelum persetujuan dicapai kedua-dua parti telah melalui enam mesyuarat di peringkat pegawai dan sekali bagi peringkat pimpinan.

Beliau sendiri telah mempengerusikan keenam-enam mesyuarat di peringkat pegawai dan mesyuarat peringkat pimpinan dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Mohamad Sabu.