Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:12 AM
Rasuah:
Ezam cabar Rafidah kemuka saman
Ketua
Angkatan Muda keADILan, Ezam Mohd Noor, mencabar Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz supaya menyaman beliau secepat
mungkin.
Menurut
Ezam, beliau tetap berpegang kepada dokumen Badan Pencegah Rasuah
(BPR) dan Jabatan Peguam Negara yang dengan jelas menunjukkan Rafidah
mesti didakwa bersabit lima pertuduhan terhadapnya.
“Saya
akan berpegang kepada dokumen BPR dan Jabatan Peguam Negara kerana
ia menunjukkan Rafidah mesti didakwa dengan lima pertuduhan malah
saya berani mendakwa selama ini beliau dilindungi," katanya
ketika diminta mengulas amaran Rafidah yang akan mengambil tindakan
mahkamah terhadap pemimpin Barisan Alternatif (BA) yang terus mengaitkan
namanya dengan rasuah.
Bahagian
pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, pada Mac 1995, telah pun menyiapkan
butiran pertuduhan terhadap Rafidah, antara lain berkaitan peruntukan
1,500,000 unit saham Leader Universal Holdings Bhd, kepada menantunya,
Fazrin Azwar Mohd Noor.
Rafidah
merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembahagian Saham Khas Bumiputera,
yang meluluskan saham berkenaan.
Sehubungan
itu Ezam mendesak pihak berkuasa bukan sahaja mengambil tindakan
terhadap Rafidah tetapi juga terhadap individu yang cuba melindunginya.
Sementara
itu, beberapa pemimpin BA akan terus mendesak Rafidah dibawa ke
muka pengadilan berhubung pertuduhan rasuah terhadapnya.
Ketua
Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan terus memberitahu
rakyat mengenai mana-mana pemimpin yang mempunyai pertuduhan rasuah
termasuk Rafidah sehingga kes tersebut dibawa ke mahkamah.
"Rafidah
tidak perlu cepat melatah untuk memberi amaran kepada sesiapa kerana
kalau beliau tidak bersalah tiada tindakan diambil ke atasnya,"
kata beliau.
Justeru,
kata beliau amaran yang diberikan oleh Rafidah supaya tidak mengaitkan
dirinya dengan rasuah tidak menggentarkan mereka, malahan tekanan
akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.
Ahli
Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu, pula berkata kes Rafidah adalah
kes mahkamah yang perlu dibawa ke muka pengadilan.
Beliau
berkata sekiranya kes tersebut tidak dibawa ke mahkamah, beliau
akan terus mendesak melalui apa sahaja saluran yang ada termasuk
Parlimen.
“Saya
tidak akan berhenti membicarakan kes ini sehingga ia diselesaikan
oleh mahkamah,” tegas beliau.
Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar pula berkata, beliau tidak gentar
jika Rafidah mengambil tindakan mahkamah terhadap pemimpin BA. Ini
katanya, apa yang beliau dedahkan mengenai kes rasuah Rafidah adalah
bersandarkan kepada kenyataan BPR.
"Jika
Rafidah berani, beliau sewajarnya mengambil tindakan ke atas BPR
dahulu kerana BPR yang mengaitkan beliau dengan amalan rasuah dalam
Dokumen Rahsia Rasmi yang telah mengheret Ezam ke penjara,"
tegasnya.
|