Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:57 AM

Kemuncak kempen Gerakan Anwar Bebas berjaya

10 ribu berhimpun di Ceruk Tok Kun

Kempen Gerakan Anwar Bebas (GAB) telah berkemuncak dengan jayanya di Ceruk Tok Kun pada malam 15 Februari 2004. Kira-kira 10,000 orang telah membanjiri kawasan rumah keluarga  Anwar Ibrahim hingga ke jalan raya di sana untuk mendengar ceramah.

Akhbar arus perdana seperti The New Straits Times (NST) berbohong kerana melaporkan hanya 500 orang yang hadir.

Dalam majlis ceramah hampir tiga jam, bermula dari jam 9.30 malam, beberapa orang pemimpin keADILan telah berucap. Mereka terdiri dari Dr Wan Azizah Ismail, Dr Syed Husin Ali, Azmin Ali, Tian Chua, Ezam Mohd Nor dan Saifudin Nasution. Turut serta Dr Jeyakumar (Timbalan Presiden PSM), Dr Hatta Ramli (AJK PAS), Hishamuddin Rais (bekas pemimpin pelajar) dan seorang wakil dari SOS SRJK Damansara.

Mereka telah menumpu kepada soal kezaliman ke atas Anwar dan tuntutan supaya beliau dibebaskan.  Isu-isu lain yang disentuh juga termasuk merosotnya kewibawaan kehakiman, penghakisan demokrasi serta pencabulan hak asasi dan penumpuan kekayaan di tangan kroni serta pengabaian kebajikan rakyat ramai.

Sewaktu ceramah, Dr Wan Azizah telah melancarkan upacara sederhana mengisytiharkan Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik.

Pada ketika ini, dan berulang kali sepanjang malam, laungan "Bebas Anwar Bebas!", "Tangkap Mahathir!" dan "Reformasi!" berkumandang di udara Ceruk Tok Kun.

Hampir sepuluh buah kenderaan polis termasuk 'water-cannon' telah menunggu di luar. Akan tetapi tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku sehingga semuanya tamat lebih kurang jam 12.30 malam.