Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:59 AM
Tamat tempoh: GMI desak
bebaskan 13 tahanan ISA
Rombongan
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama keluarga tahanan ISA menyerahkan
memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 6 Februari
lalu menuntut pembebasan tanpa syarat 13 orang tahanan ISA yang
akan tamat tempoh tahanan dua tahun mereka dalam bulan Februari
2004 ini.
GMI
telah menyerahkan memorandum 12 perkara kepada wakil KDN iaitu Penolong
Pengarah, Bahagian Keselamatan, Encik Mahadzir pada jam 11.30 pagi
di Putrajaya.
Menurut
Pengerusi Jawatankuasa Kerja GMI yang baru, Syed Ibrahim Syed Noh,
enam tahanan ISA akan tamat tempoh tahanan mereka pada 21 Februari
dan tujuh orang lagi pada 27 Februari ini.
Enam
tahanan berkenaan ialah Abdul Razak Baharuddin, Abdul Samad Shukri
Mohd, Ahmad Sajuli Abd Rahman, Ahmad Yani Ismail, Mohd Sha Sarijan
dan Suhaimi Mokhtar. Dua daripada mereka iaitu Abdul Samad dan Ahmad
Yani telah menfailkan permohonan habeas corpus tahun lalu dan sedang
menanti keputusan kes mereka.
Sementara
itu, tujuh tahanan ISA yang akan tamat tempoh tahanan mereka pada
27 Februari pula ialah Abdullah Daud, Mohammed Kadar, Muhamad Faiq
Hafidh, Muhamad Ismail Anuwarul, Shahrial Sirin, Sharil Hat dan
Shukry Omar Talib.
Kesemua
13 tahanan berkenaan dituduh terlibat dengan KMM/Jemaah Islamiah
(JI) walaupun sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan mahupun
dakwaan dibuat setelah lebih dua tahun ditahan di bawah ISA.
Pada
masa yang sama, kesemua mereka telah menafikan tuduhan terhadap
mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Tetuan Chooi &
Co pada 23 September 2003 lalu. Lebih daripada separuh pula telah
memfailkan permohonan habeas corpus yang menandakan mereka melaksanakan
tindakan pembelaan diri terhadap tuduhan yang dilemparkan.
Dalam
memorandumnya, GMI turut melahirkan rasa kehampaan di atas penerusan
kegunaan ISA walaupun Perdana Menteri yang baru telah mengambil
alih teraju negara selama hampir 100 hari.
"Masih
ramai ahli keluarga yang menjadi mangsa ISA dan menanggung akibat
daripada kekejaman ISA ke atas suami, ahli keluarga atau anak masing-masing",
jelas Syed Ibrahim.
"Apakah
maksudnya ISA sebagai kononnya undang-undang pencegahan jika menzalimi
isteri dan anak-anak tahanan?" tegasnya lagi.
Dalam
pada itu GMI memaklumkan bahawa sudah ada anak tahanan yang hilang
akal akibat trauma kehilangan bapa kepada ISA. Ini berlaku kepada
Muaz Abdul Samad,18, iaitu anak kepada tahanan ISA, Abd Samad Shukri
Mohd.
Muaz
dimasukkan ke Wad Psikiatri HUKM kerana sakit mental akibat daripada
tekanan jiwa ketiadaan bapanya dan ibunya pula mengalami sakit tulang
belakang.
Walaupun
Abd Samad dibenarkan melawat anaknya itu selama dua hari, namun
ketidaktentuan kedudukan pembebasan beliau masih boleh menjejaskan
kestabilan mental anaknya.
Menurut
GMI, ini jelas mencabuli hak asasi manusia dan menganiaya keluarga
tahanan.
|