Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:01 AM
Hudud
tidak boleh ditangguhkan atas pelbagai alasan - Mufti Perak
Pelaksanaan
undang-undang Islam termasuk hukum Hudud, menurut Mufti kerajaan
negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah kewajipan melaksanakan
hukum Allah yang tidak boleh ditangguhkan.
"Sekarang
kita terlalu menggunakan pemikiran sehingga mengabaikan atau memperlecehkan
hukum Islam, seolah-olah menganggap Tuhan tidak pandai. Di mana
kita letakkan sifat kamalat Tuhan?" soalnya.
"Kita
tidak boleh menangguhkannya dan memberikan pelbagai alasan kerana
dengan berbuat demikian, seolah-olah menyatakan hukum yang ditetapkan
oleh Tuhan itu tidak betul," tegasnya.
Harussani mengulas pendapat
yang mendakwa pelaksanaan hudud perlu dilaksanakan peringkat demi
peringkat. Menurutnya lagi hukum hudud telah pun dilaksanakan di
zaman Rasulullah.
"Sekiranya
kita masih menggunakan alasan seumpama itu untuk tidak melaksanakan
hukum Allah, seratus atau seribu tahun lagi pun Islam tidak akan
berjalan," ujarnya dalam satu temubual.
Beliau
turut mengulas pandangan bahawa hudud boleh ditangguhkan berdasarkan
fiqh awliyyat. Katanya, kaedah itu hanya sesuai untuk memikirkan
keutamaan dalam membangunkan negara.
"Misalnya,
jika difikirkan bidang pendidikan dan ekonomi perlu diutamakan,
maka pembangunan dalam bidang berkenaan perlu disegerakan terlebih
dahulu."
"Bagaimanapun
dalam pelaksanaan hukum jenayah, hudud sudahpun ditetapkan sebagai
hukum. Malah fiqah keutamaan itu sendiri pun adalah satu ijtihad
terakhir dan bukan sebahagian hukum syarak," katanya.
"Pihak
berkuasa wajib melaksanakan hudud, tetapi ada kalanya sesuatu hukuman
tidak dilaksanakan kerana darurat. Contohnya, hukuman potong tangan
kerana mencuri tidak dijalankan ke atas seseorang yang mencuri kerana
lapar," tambahnya.
Harussani
menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hukum hudud dianggap kejam. Beliau
berkata, hukuman yang ditetapkan di seluruh negara jauh lebih zalim.
Beliau
menambah lagi, tidak ramai yang dipotong tangan kerana mencuri sejak
zaman Rasulullah. Malah hukuman rejam bagi penzina hanya dilakukan
bagi orang yang membuat pengakuan.
"Apa
hak kita untuk menahan pelaksanaan hukum Tuhan dengan memberi pelbagai
alasan? Contohnya, mengapa kita tidak dapat menjalankan hukuman
sebat ke atas penzina, sedangkan hukum sebat ke atas penjenayah
sekarang lebih zalim berbanding sebat cara Islam."
"Sebatan
dalam islam bagi penzina tidak memudaratkan dan ianya dilakukan
di hadapan khalayak ramai untuk mengaibkan pesalah dan tidak memudaratkan
seperti yang dilaksanakan di negara lain," katanya.
Menurutnya
lagi hukum tuhan tidak boleh ditangguh seperti undang-undang adat
yang perlu diwartakan terlebih dahulu atau diminta persetujuan daripada
Raja untuk dikuatkuasakan.
|