Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:02 AM

Ikatan perpaduan BA utuh, Umno semakin kalut

Pada pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi, tidak menjadi masalah bagi Barisan Alternatif (BA) di Kelantan untuk berdepan dengan Umno.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Omar Mohamad berkata selagi perpaduan utuh mengikat kepemimpinan parti dan kerajaan yang ada sekarang, parti lawan tetap menghadapi kesukaran.

“Perpaduan dan kerjasama yang terjalin erat sejak pilihanraya umum lalu masih lagi kekal sehingga sekarang.

“Oleh itu, apa sekali pun yang dilakukan oleh pihak lawan, mereka akan berdepan dengan kesukaran,” katanya di wad Hospital Pakar Perdana, Kelantan baru-baru ini.

Beliau masih dirawat di wad berkenaan kerana menghadapi masalah di bahagian tulang belakang.  Beliau telah pun menjalani  pembedahan di bahagian tulang belakangnya yang rosak.

Walaupun beliau telah lama terlantar sakit, beliau tetap mengikuti perkembangan semasa.

Sebelum ini, ramai diantara penyokong Umno Bachok menarik nafas lega memandangkan calon PAS yang begitu digeruni terlantar sakit.

Bagaimanapun, harapan tersebut tidak menjadi kenyataan setelah anggota Exco terbabit kini pulih.

Tambah Omar, Umno kini semakin kusut untuk melaksanakan agenda politik yang dianggap baru bermula semata-mata untuk menghadapi pilihan raya ke 11 nanti.

Katanya, Ketua penaja Umno Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin difahamkan semakin sibuk sekarang merencanakan agenda untuk bertemu  dengan rakyat.

“Namun selagi perpaduan yang utuh terjalin di dalam PAS dan BA, apa sekali pun dilakukan Umno mereka tetap menghadapi kesukaran.

“Kita nampak wujud beberapa kumpulan Umno di Bachok,” ujarnya.