Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:04 AM
Jelajah
Pemuda BA Sabah dapat sambutan hangat
Pada
6 dan 7 Februari lalu, program yang telah diatur sempena Jelajah
Perdana Pemuda Barisan Alternatif (BA) peringkat negeri Sabah telah
mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat Sabah.
Ini
memberi isyarat bahawa mereka inginkan sebuah parti yang mampu membawa
kestabilan politik dan sosio-ekonomi yang lebih baik kepada rakyat
di negeri itu.
Jelajah
Perdana Pemuda BA yang bertemakan ‘Bebas Datuk Seri Anwar Ibrahim’,
telah memberikan semangat baru kepada kalangan ahli, pimpinan BA
Sabah dan rakyat Sabah yang mahukan suatu bentuk kepimpinan yang
adil dan saksama.
Rakyat
Sabah yang selama ini kurang mendapat maklumat tepat mula sedar
akan masa depan mereka. Pelbagai isu yang disampaikan oleh Barisan
Kepimpinan Pemuda BA. Pendedahan kezaliman dan penyalahgunaaan kuasa
pemerintahan Umno dan BN turut disampaikan.
Ketua
Pemuda keADILan, Ezam Mohd Nor yang mengetuai seramai lima orang
daripada Angkatan Muda keADILan turut menyertai program ini.
Pemimpin
BA lain yang terlibat adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
(DPPP) Ustaz Idris Hj Ahmad (menggantikan Ketua DPPP Salahuddin
Ayub yang tidak dapat hadir), Naib Ketua DPPP Ustaz Misabahul Munir
Masduki, Setiausaha DPPP Ahmad Sabki Yusuf, Bendahari DPPP Mazlan
Ibrahim, Ketua Penerangan DPPP Mazlan Aliman, Ustaz Ridwan Mohd
Nor dan Adanan Saad.
Sementara
itu, pada 7 Februari lalu, Pemuda BA telah melancarkan seminar Pemuda
BA, majlis solat hajat, ceramah umum dan pelancaran ‘Bebas Datuk
Seri Anwar’ di Likas Square Kota Kinabalu.
Kira-kira
1,000 orang dari kalangan pelbagai kaum hadir pada majlis pelancaran
dan ceramah umum tersebut.
Dalam
ucapannya Ezam mengingatkan rakyat bahawa kezaliman dan ketidakadilan
yang dilakukan oleh Umno dan BN terbukti dengan penahanan selama
15 tahun ke atas pelbagai dakwaan yang tidak berasas dan penolakan
rayuan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah
beliau, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta
Rahsia Rasmi (OSA) terhadap pemimpin-pemimpin parti pembangkang
yang membongkar segala penyalahgunaan kuasa pimpinan kerajaan adalah
suatu tindakan yang zalim demi kepentingan politik mereka.
Katanya
lagi, harapan rakyat untuk melihat keadilan dan pentadbiran yang
telus akan hancur sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan kuasa
masih berada di tangan mereka (Umno/BN).
"Oleh
sebab itu, sudah tiba masanya rakyat bangkit untuk melakukan perubahan
menyeluruh demi masa depan politik dan sosio-ekonomi rakyat pada
masa akan datang," tegas beliau.
Tambah
Ezam, Abdullah Badawi telah gagal dalam ujian mentadbir negara dan
mengembalikan hak rakyat setelah 100 hari beliau menjadi Perdana
Menteri kerana kegagalannya bertindak ke atas laporan dan dakwaan
salahlaku terhadap Dr Mahathir dan beberapa pemimpin Umno lain yang
terlibat dalam amalan rasuah.
|