Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 12:09 AM
Laporan
polis dibuat terhadap polis Cawangan Khas
Isteri
tahanan ISA terima gangguan seksual
Gerakan
Mansuhkan ISA (GMI) mendedahkan bahawa sudah ada isteri tahanan
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menerima gangguan seksual
daripada polis Cawangan Khas.
Kes
gangguan seksual ini didakwa berlaku ke atas Noraini Ismail, isteri
kepada Othman Ali, salah seorang tahanan ISA yang berada di Kem
Tahanan Kamunting (KEMTA).
Adalah
difahamkan laporan polis telah dibuat ke atas seorang pegawai Cawangan
Khas, Aziz Meon.
Pendedahan
itu dibuat sewaktu rombongan GMI bersama keluarga tahanan ISA menyerahkan
memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 6 Februari
lalu menuntut pembebasan tanpa syarat 13 orang tahanan ISA yang
akan tamat tempoh tahanan dua tahun mereka dalam bulan Februari
ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Kerja GMI yang baru, Syed Ibrahim Syed Noh menyerahkan
memorandum 12 perkara kepada wakil KDN iaitu Penolong Pengarah,
Bahagian Keselamatan, Encik Mahadzir di Putrajaya.
Selain
itu, menurut Syed Ibrahim, sudah ada anak-anak yang tidak mendapat
pendidikan di sekolah kerana menanti kepulangan bapa mereka.
Tambahnya,
walaupun sebuah Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan
Polis DiRaja Malaysia telah ditubuhkan baru-baru ini namun GMI menyeru
supaya tindakan tidak berperikemanusiaan pihak polis dihentikan
sekarang tanpa menunggu keputusan Suruhanjaya tersebut dalam masa
12 bulan.
Ini
kerana menurut beliau, dibimbangi keadaan akan bertambah buruk sementara
Suruhanjaya mengeluarkan laporan siasatan mereka.
“Sebagai
Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri [Abdullah
Badawi] memiliki kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk mengambil
tindakan sewajarnya melindungi keseluruhan rakyat dengan cara yang
adil dan bijaksana tanpa menzalimi mana-mana pihak”, tegasnya.
Pada
penyerahan memorandum berkenaan, GMI turut menggesa Menteri Dalam
Negeri dan kerajaan untuk mengambil tindakan paling wajar dan bertanggungjawab
iaitu membebaskan tahanan ISA tanpa syarat dan mengembalikan mereka
ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Menurut
pegawai KDN, memorandum tersebut akan diteliti dan diajukan kepada
Menteri Dalam Negeri.
Rombongan
GMI telah diketuai oleh Yap Swee Seng, Setiausaha Jawatankuasa Kerja
GMI dan turut disertai oleh Pasukan Sokongan Keluarga serta keluarga
tahanan ISA.
|