Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:35 AM

Perwaja dijual RM1.3 bilion, kerajaan belanja RM18 bilion

Pada tahun lalu, Maju Holdings mengambil alih sepenuhnya Perwaja daripada kerajaan dalam satu perjanjian bernilai RM1.305 bilion. Bagaimanapun, perbelanjaan tunai awal Maju hanya RM50 juta.

Menurut pengumuman di Parlimen pada Oktober 2003, Maju yang telah mengurus Perwaja semenjak pertengahan 1996, akan memiliki 100 peratus Perwaja untuk RM1.305 bilion.

Daripada itu, bahagian tunai hanya RM500 juta. Selebihnya sebanyak RM805 juta terdiri daripada pendahuluan kerajaan sebanyak RM293.9 juta dan liabiliti Perwaja yang akan diserap oleh Maju.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, dalam jawapannya kepada soalan di Parlimen, berkata, Maju telah membayar kepada kerajaan RM50 juta dan masih membayar baki dalam instalmen sebanyak RM4 juta sebulan. Antara Januari hingga Oktober 2003, ia telah lunaskan lapan instalmen.

Menurut Shafie, Perwaja telah mendapat RM317 juta yang mana akan digunakan oleh Maju sebagai modal. Mengambilkira  perkara itu, komitmen Maju menyediakan modal tidak seberapa.

Pemilik Maju Holdings telah memberi jaminan peribadi dan janji aset syarikat, terdiri daripada Tower 2, bangunan Maju Perdana di Kuala Lumpur, Desa Utara Pedu Lake Resort di Kedah dan Kampung Tok Senik di Langkawi.

Datuk Dr Shafie juga memberitahu bahawa kerugian terkumpul Perwaja dari 31 Mac 2001, ialah sebanyak RM2.27 bilion, yang mana kerajaan akan tanggung sehingga 2007. Dalam sidang Parlimen yang sama didedahkan kerajaan telah membelanjakan RM18 bilion atas Perwaja.

Aset Menarik

Persoalan yang menantikan jawapan: Jika terdapat tender terbuka bagi Perwaja, adakah harganya akan menjadi lebih tinggi?

Kebanyakan kemudahan di Perwaja adalah baru, pengeluar besi waja tempatan dan luar negara telah menyatakan minat mereka dalam Perwaja sebelum itu.

Malah sekarang juga, terdapat pengeluar keluli yang berminat dengan Perwaja tetapi harga yang ditawarkan tidak akan sebaik beberapa tahun sebelum ini kerana permintaan kepada keluli tidak pulih setinggi tahun 1996/97. Akibatnya, harga kilang keluli juga turun. Tetapi Perwaja masih ada aset yang menarik yang mampu mendapat harga yang agak baik, walaupun ia dijual berasingan.

Sebuah syarikat tersenarai mendapat kemudahan daripada Perwaja yang diurus Maju pada Mei tahun lalu. Engtex Group mendapat jentera membuat jaring besi dengan harga RM6.5 juta, sedangkan nilai yang bertulis adalah RM7.5 juta. Menurut pengumuman, jentera yang dimiliki pada tahun 1994 hanya digunakan kurang daripada dua tahun.

Ann Joo Resources, syarikat yang mengawal Malayawata Steel, berminat pada kilang Perwaja di Gurun kerana jenteranya yang canggih. Dalam pengumuman pada Februari tahun lepas, syarikat tersebut mengesahkan laporan bahawa ia sedang dalam perbincangan dengan Maju mengenai strategi operasional bagi meningkatkan kilang-kilang di Perwaja dan Malayawata.

Ini menunjukkan bahawa, ada syarikat-syarikat di luar sana yang mahukan secebis daripada Perwaja. Samada kerajaan sepatutnya menerima harga yang lebih tinggi bagi Perwaja, kini ditimbulkan, kerana ia telah menjual segalanya kepada Maju.

Timbul juga persoalan, apa terjadi kepada Perwaja antara lewat 1996 dan 2001, apabila ia berada di bawah pengurusan (bukan milik) Maju.  Menurut Shafie, Perwaja mencatat kerugian operasi setiap tahun daripada tahun kewangan berakhir Mac 1997 ke Mac 2001 sejumlah RM2.035 bilion, yang akan ditanggung oleh kerajaan.

Bagaimana jika kadar faedah dan kos khidmat berhutang yang ditanggung oleh kerajaan, juga diambilkira? Tentunya jumlah akan berlipat ganda.

Prestasi bertambah baik

Bagaimanapun, Shafie menyatakan Kumpulan Maju sudah memperbaiki dan memulihkan operasi. Antara Januari dan Ogos tahun lepas, ia mengeluarkan 514,500 tan ‘direct reduction iron’ (DRI), dan 429,900 tan ‘billets’. (DRI ialah komponen billet.)

Timbalan menteri juga berkata, Perwaja mengekspot 66.5 peratus ‘billet’ sementara selebihnya dijual di pasaran tempatan.

Tetapi, ia perlu diketahui bahawa ‘billet’  keluaran Perwaja diekspot kerana permintaan yang bertambah baik, terutama di pasaran antarabangsa, kerana harga tinggi besi ‘scrap’ dalam setahun lepas.

Kilang Perwaja di Kemaman telah dibanjiri dengan tempahan ‘billet’, iaitu bahan mentah dalam pengeluaran jongkong dan batang. Harga ‘billet’ antarabangsa lebih daripada RM1,000 setan, sementara harga tempatan RM850 kerana kawalan harga. Oleh itu, memang wajar Perwaja mengekspot produknya dan membuat keuntungan.

Pengeluaran DRI telah meningkat kerana kenaikan harga besi ‘scrap’ yang mendadak dan mencecah USD190 setan.

Tetapi tidak diketahui sejauh mana pertumbuhan di Perwaja disebabkan pengurusan bertambah efisyen dan peningkatan produktiviti dan baik pulih.

Selain daripada Maju mengurangkan tenaga kerja Perwaja seramai 2,400 kepada separuh dan menutup kilang di Gurun tahun lepas, tiada maklumat terperinci jumlah pelaburan yang disuntik oleh Kumpulan Maju ke dalam Perwaja bagi pemulihan semula.

Dengan sempurnanya penswastaan Perwaja, beban tersebut bukan lagi ditanggung oleh kerajaan. Namun, setelah membelanjakan RM18 bilion ke atas syarikat tersebut sepanjang 20 tahun, mungkin ia wajar mendapat lebih daripada penjualan aset-aset.