Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:37 AM

Kertas pertuduhan rasuah siap sejak 1995

Mengapa Rafidah masih tidak didakwa?

Meskipun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz berhak mempertahankan dirinya dari pelbagai tuduhan rasuah, namun rakyat lebih berhak mengetahui mengapa dakwaan ke atasnya tidak dibuat, meskipun kertas pertuduhan telahpun disiapkan.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu menunjukkan ketelusan dan memberikan penjelasan yang memuaskan kepada rakyat Malaysia mengenai kerja-kerja siasatan yang telah dibuat ke atas beberapa kes berprofil tinggi mengenai rasuah dan salah guna kuasa.

"Ia menjadi lebih penting lagi memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, telah mengakui bahawa wujud sekurang-kurangnya 18 kes rasuah berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan peringkat menteri Kabinet," tegas Lim dalam kenyataan medianya.

Laporan polis Anwar

Sebagai contoh, kata Kit Siang, rakyat Malaysia berhak diberitahu hasil siasatan terhadap laporan polis pertama mengenai gejala rasuah di peringkat tinggi yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Julai 1999.

Anwar mendakwa Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah telah campur tangan dalam urusan kehakiman dengan melindungi Rafidah Aziz dari didakwa di mahkamah atas lima tuduhan rasuah.

Anwar merujuk kepada satu dokumen dari Bahagian Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara yang bertarikh 14 Mac 1995 yang telah diberikan kepadanya semasa beliau masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Mohtar Abdullah (bekas Peguam Negara) pada akhir tahun 1995.

Jelasnya lagi, dokumen berkenaan jelas menyatakan wujudnya asas "prima facie" untuk membawa Rafidah ke mahkamah atas lima kesalahan rasuah mengikut Seksyen 2(2) Ordinan Darurat 22, 1970 berhubungan dengan tugasnya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dr Mahathir campur tangan

Kit Siang menambah, Anwar dalam laporannya berkata, Peguam Negara pada masa itu berasa kerja-kerja siasatan yang dilakukan oleh BPR memang cukup untuk mendakwa Rafidah Aziz atas lima kesalahan rasuah yang melibatkan pemberikan 1.5 juta saham Leader Universal Holdings Bhd dan 4,173,190 unit saham FACB kepada menantunya Fazrin Azwar bin Mohd. Nor, tetapi tiada tindakan yang diambil akhirnya setelah Dr Mahathir campur tangan.

"Soalnya, apakah BPR pernah memberitahu Anwar mengenai keputusan laporan polisnya itu, memandangkan BPR telah mengumumkan satu dasar ketelusan yang baru pada bulan Julai tahun lepas dan berjanji akan lebih responsif terhadap permintaan pengadu untuk mendapat maklumat mengenai status penyiasatan kes yang dibangkitkan mereka," tegas Kit Siang.

BPR diharap dapat mengumumkan keputusan atau laporan status kerja siasatannya mengenai laporan rasuah yang dibuat oleh Anwar mengenai Rafidah itu.

"Mengapa Rafidah tidak pernah mengambil tindakan mahkamah terhadap Anwar dalam tempoh lima tahun yang lepas kerana memburukkan nama baiknya melalui laporan polisnya terhadap Rafidah pada Julai 1999," ujarnya lagi.

Ezam cabar Pak Lah

Sementara itu, Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor mencabar Perdana Menteri Abddulah Ahmad Badawi supaya mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Rais Yatim yang mendakwa Rafidah bersih dari tuduhan rasuah tersebut.

Menurut Ezam, Abdullah mesti menyatakan pendiriannya mengenai kes Rafidah sekiranya beliau ingin membuktikan keikhlasannya memerangi rasuah.

“Kita mesti menguji komitmen Abdullah dalam hal ini.  Dr Rais membuat kenyataan membersihkan nama Rafidah sewaktu rejim Dr Mahathir Mohamad yang kita sedia maklum melindungi Rafidah.

“Jadi, hari ini kita mencabar Abdullah untuk menyatakan kepada umum bahawa Rafidah tidak bersalah,” tegasnya.

Dalam bulan Ogos 2002, Ezam telah disabit kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), apabila dipenjarakan dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Kesalahan Ezam ialah membocorkan butiran pertuduhan rasuah ke atas Rafidah, yang sebenarnya disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri.

Dokumen yang sama juga telah dirujuk oleh Anwar dalam laporan polisnya.