Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:23 AM

BICARA PRESIDEN

Atur langkah sistematik untuk pilihanraya

Saudara-saudari sekelian,

Bicara Presiden kali akan menyentuh isu yang berbeza. Sebelum ini ruangan ini lebih merupakan ulasan mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Kali ini saya menyentuh isu-isu dalaman yang berkait dengan masa depan kita. Khususnya persediaan yang harus kita lalui untuk menghadapi pilihanraya umum. 

Bukanlah menjadi rahsia pilihanraya umum akan diadakan pada tahun ini. Oleh itu, kita perlu meneliti isu-isu dan senario yang akan kita hadapi. Satu hakikat yang nyata ialah pilihanraya ini adalah amat berbeza dari pilihanraya yang telah kita lalui pada tahun 1999. 

Parti pemerintah mempunyai masa yang lama untuk bersedia menghadapi pilihanraya kali ini. Persempadanan semula kawasan pilihanraya memberi banyak kelebihan kepada BN. Malahan, persempadanan yang dilakukan jelas sekali bertujuan untuk menafikan kemenangan pada parti-parti BA.

Perubahan Perdana Menteri juga bererti isu dan rungutan rakyat mungkin tidak lagi tertumpu pada Perdana Menteri hari ini. Sebahagian rakyat mungkin bersedia “memberi peluang” kepada Perdana Menteri hari ini membuktikan kejujuran beliau. Dan beliau pula akan cuba memaparkan imej dan pendirian yang menunjukkan bahawa berbeza dari Perdana Menteri sebelumnya. Ini sudah dapat kita lihat pada beberapa tindak-tanduk beliau. Sama ada kita menganggap tindak-tanduknya sebagai ikhlas atau tidak, ada sebahagian pengundi mungkin terpedaya dengan tindak-tanduknya. 

Kita boleh menjangkakan usaha akan dilakukan oleh seteru kita untuk “melamar” pemimpin dan ahli parti dari semua peringkat. Pengalaman lalu menunjukkan, ini akan menjadi lebih hebat apabila hari pengundian semakin dekat. Dan pengalaman juga menunjukkan mereka yang berpaling tadah ini tidak mendapat apa sangat pun. Namun, “lamaran” sebegini akan terus dilakukan. 

Oleh itu, persediaan menghadapi pilihanraya seterusnya harus mula dilakukan dari sekarang. Jentera pilihanraya perlu diaktifkan. Usaha di peringkat akar umbi perlu dimulakan. Dana perlu mula dikutip dan ceramah kelompok perlu dimulakan.

Satu senario yang kemungkinan besar akan berlaku ialah sebahagian dari mereka yang menyokong pada pilihanraya 1999 kita tidak akan keluar mengundi kali ini. Mereka ini tidak akan mengundi BN. Tetapi mereka mungkin mengalami kelesuan dan tidak mempunyai stamina untuk menentang BN. Kita tidak boleh menolak kemungkinan keyakinan mereka terhadap parti-parti BA mula goyah kerana masalah-masalah yang dihadapi BA dan propaganda BN. 

Untuk menghadapi senario ini, kita perlu mengatur langkah-langkah yang lebih sistematik dan bersifat jangka panjang. Di antaranya: 

1. Tingkatkan keakraban hubungan dengan semua penyokong-penyokong kita. Ziarahi mereka dan beri kepada mereka penerangan mengenai perkembangan semasa.

2. Kembangkan lagi rangkaian hubungan dengan mereka yang masih berada di atas pagar. Pupuk dan wujudkan hubungan jangka panjang dengan mereka. Jangan abaikan mana-mana segmen pengundi.

3. Pastikan hubungan ini dieratkan lagi apabila pilihanraya dan hari pengundian semakin hampir.

4. Susun sistem logistik yang berkesan untuk pilihanraya dan hari pengundian. Rancang secara terperinci dan pastikan setiap inci kawasan tidak diabaikan.

5. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sediakan kamera untuk merakam perkembangan semasa pilihanraya. Awasi keselamatan penyokong dan aktivis kita.

6. Berhati-hati dalam menghadapi muslihat dan tipu helah musuh. Mereka yang selama ini memusuhi kita akan terus memusuhi kita. Jangan mudah terpedaya.

7. Dan akhir sekali, janganlah harapkan pilihanraya akan datang ini dijalankan dengan adil. Kita berhadapan dengan manusia yang tidak bermaruah yang sanggup melakukan pada sahaja untuk terus mencengkam pada kuasa.

Sekian, salam reformasi.