Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:41 AM
Kenyataan
Media
10
Februari 2004
PENANGKAPAN
TAN SRI ERIC CHIA
Badan Pencegah Rasuah (BPR)
akhirnya telah menangkap Tan Sri Eric Chia semalam setelah sembilan
tahun isu penyelewangan dan skandal Perwaja ini ditimbulkan oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri Kewangan. Walaupun sebelum ini siasatan
pernah dibuat oleh BPR terhadap Eric Chia, namun badan ini dilihat
tidak dapat bertindak secara bebas dan berkesan kerana wujudnya
campurtangan Eksekutif.
Kini, setelah 102 hari Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,
kita dapat melihat sedikit perkembangan positif yang cuba ditunjukkan
oleh PM bahawa beliau benar-benar mahu membanteras korupsi. Parti
Keadilan Rakyat menggesa pihak BPR menyiasat kes ini dengan terperinci
termasuk penglibatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad
di dalam usaha melewat-lewatkan siasatan dan perlindungan yang cuba
diberikan kepada Eric Chia selama ini.
Kami juga menegaskan sekiranya
pihak PM benar-benar ingin menunjukkan sikap memerangi rasuah, beliau
seharusnya berani menangkap dan menghadapkan Datuk Seri Rafidah
Aziz dan Tan Sri Rahim Tamby Chik ke mahkamah dengan segera kerana
siasatan BPR terhadap mereka telah selesai dan kertas pertuduhan
telah juga disiapkan oleh Pejabat Peguam Negara. Kami juga menggesa
siasatan dijalankan terhadap Tan Sri Khalil Yaakub dan Dato’ Seri
S.Samy Vellu memandangkan banyak laporan polis telah dibuat terhadap
mereka.
BPR hendaklah bertindak
secara bebas dan berkesan dalam usaha untuk mengambil tindakan ke
atas individu-individu yang terbabit ke muka pengadilan. Kita tidak
mahu isu penangkapan Eric Chia ini dibuat semata-mata untuk mengalih
pandangan masyarakat terhadap isu besar yang sedang negara hadapi
yang melibatkan anak PM sendiri iaitu penglibatan Scomi Precision
Engineering di dalam penjualan komponen senjata nuklear ke Iran
dan Libya yang telah didedahkan oleh Badan Perisikan Britain dan
Amerika Syarikat (CIA dan MI6) baru-baru ini.
Dr Wan Azizah Ismail
Presiden
Parti
Keadilan Rakyat
|