Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:45 AM

Naik turun Eric Chia bersama Perwaja

Bekas pengarah urusan  Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia melonjak popularitinya apabila dipilih oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengurus kilang pembuat keluli nasional itu pada tahun 1988.

Dibangunkan pada April 1982, Perwaja Terengganu pada masa itu sedang mengalami bebanan hutang sebanyak RM1.2 bilion dan kerugian sebanyak RM1.5 bilion, semasa Chia mengambil alih syarikat tersebut.

Sebelum bersama Perwaja, Chia anak kelahiran Singapura, sudah mengukir namanya dalam industri motor tempatan sebagai ketua eksekutif kepada United Motor Works (Malaya) Sdn Bhd – penggerak utama kepada UMW Holdings Bhd – sebuah syarikat yang dia bangunkan pada tahun 1958 dengan modal sebanyak RM80,000.

Dia juga menjadi pengarah urusan yang pertama kepada Otomobil Nasional dari 1984 hingga 1988. Dalam pelan baru 10-tahun pembuat keluli, syarikat menukarkan nama kepada Perwaja Steel di bawah kepimpinan Chia dengan suntikan modal baru dan  pinjaman komersial.

Perwaja membuat keuntungan pertama dalam tahun 1991 sementara pengeluaran bulanan dalam empat tahun pertama di bawah Chia naik kepada 80,000 daripada 21,000 tan.

Walaupun optimis Perwaja akan kembali untung, Chia meletakkan jawatan dari Perwaja pada tahun 1995. Tiga bulan selepas itu, kerajaan mengarahkan siasatan audit ke atas Perwaja.

Kejutan datang pada tahun 1996 apabila Parlimen dimaklumkan, Perwaja jatuh muflis dan mengalami kerugian sebanyak RM2.9 bilion, disebabkan pengurusan yang lemah dan tidak tetap dalam pembayaran, termasuk dakwaan transaksi yang tidak sah dengan sebuah syarikat di Hong Kong.

Perwaja kemudian diletakkan di bawah pengurusan Maju Holdings Sdn Bhd pada tahun 1996, sementara BPR dipanggil untuk menyiasat keadaan yang meragukan.

Pada Julai lepas, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim memohon maaf atas kelewatan dalam siasatan ke atas Perwaja Steel dan berkata pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan atas status tersebut “tidak lama lagi”.

Rais berkata kes tersebut melibatkan “prosidur perbankan yang rumit, halangan kekuasaan dan gangguan pengadilan.”