Seruan Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:46 AM

Saga industri keluli negara

Perwaja Steel, yang satu ketika pengeluar terbesar jongkong keluli di negara ini, dibina pada tahun 1982 di bawah Pelan Induk Industri Malaysia dan dikenali sebagai Perwaja Terengganu Berhad. Kelengkapan pengeluaran keluli dibiaya kerajaan dengan pelaburan RM3 bilion, dibina dan dipupuk bagi menggerakkan proses perindustrian negara.

Perwaja ialah satu-satunya pengeluar ‘direct reduced iron’ (DRI), pengganti bahan asli kepada ‘scrap’.

Berikutan penstrukturan semula pada tahun 1990, Perwaja Terengganu ditukar kepada sebuah syarikat pemegangan dan aset sebanyak RM426.4 juta dipindahkan kepada Perwaja Steel Sdn Bhd, satu anak syarikat.

Pemegang saham Perwaja Terengganu adalah Kementerian Kewangan dan Menteri Besar Terengganu. Kemudian, Perwaja Terengganu mengambil pertanggungjawaban bagi pinjaman dalam matawang yen yang berjumlah RM1.5 bilion.

Struktur syarikat pemegangan tersebut diadakan untuk meletakkan Perwaja Steel ditapak yang lebih kukuh supaya operasinya membawa keuntungan. Dilaporkan keuntungan sebelum cukai bagi tahun pertamanya, pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 1990, adalah sebanyak RM23.5 juta.

Pada 1991, Perwaja membuka kilang rolling di Gurun, Kedah. Kilang tersebut mempunyai kapasiti mengeluarkan 450,000 tan jongkong besi dan batang wayar, dan 700,000 tan pemotongan. Pada awal 90an, ada desas-desus bahawa kerajaan berharap menyenaraikan Perwaja Steel supaya membayar ganti rugi pelaburannya. Tetapi bukan itu yang berlaku.

Sebaliknya, sehingga 1996, Perwaja telah menambah kerugiannya sehingga mencecah RM2.98 bilion, dengan beberapa bilion lagi dalam bentuk liabiliti.  Dakwaan salah urus dan pengurusan tidak cekap menyebabkan kerugian dan semua disalahkan pada pengurusan lepas. Ini membawa kepada siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kerajaan terpaksa campur tangan dan menyelamatkan pengeluar keluli tersebut. Dalam penstrukturan semula yang berlaku selepas itu, Perwaja mendapat pengurusan baru apabila Maju Holdings Sdn Bhd mengambil 51 peratus saham dalam kilang tersebut.

Segala hutang diambil alih oleh kerajaan bagi  membolehkan Perwaja memulakan bab baru. Hanya liabiliti perdagangan dipikul oleh Perwaja Steel.

Kerajaan memberi jaminan, semua hutang Perwaja akan diambil alih. Satu laporan berita pada Mac tahun lepas mengatakan, kerajaan telah memperuntukkan RM1.17 bilion semasa tahun pembayaran semula hutang Perwaja.

Dikatakan, kerajaan yang telah berjanji membayar hutang-hutang tersebut perlu memperuntukkan bayaran hutang sehingga 2007.

Laporan berita pada Ogos 2001 memaklumkan bahawa kerajaan telah menjelaskan hutang Perwaja sebanyak RM5.68 bilion semenjak 1998.