Seruan
Keadilan Online - Sunday, March 7, 2004 11:26 AM
Kelantan
bukan sarang pengangguran dan kemiskinan
Oleh:
Asfan Ahmad Hisham
Pelbagai
pihak termasuk rakyat Kelantan sendiri mungkin terpengaruh dengan
khabar media arus perdana milik kerajaan yang mendakwa kadar pengangguran
di Kelantan adalah yang tertinggi akibat kelembapan ekonomi yang
berlaku di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Media perdana turut
menggambarkan bahawa kurang pelaburan luar yang melabur di negeri
berkenaan. Akibatnya negeri Kelantan tidak membangun lantas mengakibatkan
wujudnya kekurangan peluang pekerjaan di sana.
Secara
perangkaannya, kadar pengangguran di kalangan lepasan mahasiswa
dianggarkan seramai 90,000 orang di negara ini dan angka ini akan
meningkat lagi dari tahun ke tahun. Ini hanya baru melibatkan lepasan
mahasiswa dan belum lagi yang mempunyai tahap pendidikan di peringkat
SPM dan STPM yang tidak dapat menyambung pengajian di peringkat
yang lebih tinggi. Persoalannya, kalaulah dalam akhbar milik kerajaan
melaporkan bahawa seramai 10,000 penganggur warga Kelantan yang
berlumba-lumba mendapatkan pekerjaan semasa dianjurkan suatu program
pameran kerjaya baru-baru ini di Kota Bahru, bagaimana pula yang
selebihnya yakni 80,000 penganggur yang lain.
Secara
faktanya sebahagian besar yang selebihnya itu adalah mereka yang
berasal dari negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Barisan
Nasional. Kalaupun mereka nak dakwa 10,000 lagi daripada Terengganu,
ini bermakna yang 70,000 lagi adalah masih berasal di negeri-negeri
lain yang diperintah oleh Umno-BN. Apa yang Umno-BN nak jawab? Di
negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka pun terdapat kadar pengangguran
yang lebih tinggi berbanding Kelantan dan Terengganu.
Warga
Kelantan harus sedar dengan keadaan ini. Jangan percaya dengan dakwaan-dakwaan
media kerajaan yang senantiasa memburuk-burukkan kerajaan pimpinan
PAS-Barisan Alternatif. Ingatlah di negeri pimpinan BN pun masih
lagi ramai di kalangan mereka yang menganggur. Walaupun di Selangor
pun peluang pekerjaan masih kurang kelihatan biarpun negeri berkenaan
boleh di kategorikan sebagai negeri yang kaya dan membangun secara
drastik. Apatah lagi bila kita lihat pula di negeri yang lain seperti
Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan beberapa negeri yang lain.
Mungkin senasib dengan Kelantan atau mungkinkah lebih teruk lagi.
Menurut
beberapa pimpinan Barisan Alternatif menyatakan bahawa isu pengangguran
ini bukanlah sebenarnya isu negeri tetapi isu nasional. Kurangnya
peluang pekerjaan dikaitkan dengan kegagalan pemerintah pusat untuk
membangunkan semula ekonomi yang mengalami krisis yang berpanjangan.
Dakwaan kerajaan yang kononnya ramai penduduk di Kelantan yang berhijrah
ke negeri-negeri yang lain khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor
untuk mendapatkan pekerjaan adalah bersifat prejudis.
Sebenarnya
bukan penduduk Kelantan sahaja yang berhijrah ke bandaraya untuk
mencari perkerjaan malah semua penduduk di negeri-negeri pimpinan
BN seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah, Pahang
dan sebagainya turut berhijrah ke ibu negara untuk mencari pekerjaan
yang menjamin masa depan mereka.
Baru-baru
ini mereka medakwa bahawa negeri pimpinan PAS-BA sebagai negeri
yang miskin tapi dalam keadaan yang memalukan dari mereka sendiri
mereka membuka pekung dengan mengatakan bahawa rumah-rumah orang
Melayu di Pulau Pinang seperti rumah sebelum zaman Jepun.
Kita
sedar bahawa kurangnya pelaburan di negeri Kelantan bukanlah disebabkan
tiada pelabur luar yang hendak melabur di sana tetapi adalah disebabkan
halangan yang dilakukan oleh pemerintah sendiri dengan mewujudkan
beberapa sekatan seperti menyukarkan pinjaman bank untuk pelabur
yang hendak melabur di sana, sekatan terhadap kelulusan projek,
halangan dari segi modal dan peruntukan dan sebagainya. Perkara
ini didedahkan sendiri oleh beberapa peniaga yang ingin melabur
di negeri berkenaan.
Rakyat
yang berasal dari Kelantan dan orang Kelantan sendiri serta semua
rakyat Malaysia harus tidak dikaburi dengan kenyataan-kenyataan
yang dilaporkan oleh media-media kerajaan. Kita seharusnya perlu
menyiasat terhadap sebarang laporan yang mungkin akan disalahgunaan
untuk tujuan niat politik mereka.
Buat perbandingan yang menyeluruh
dan dilihat negeri-negeri yang lain yang ditadbir oleh BN. Adakah
mereka lebih baik daripada Kelantan atau mereka lebih kurang sama
saja atau mungkin lebih teruk lagi? Sama-samalah kita menilai perkara
ini. Jangan sampai kita hanya mendengar berita daripada satu pihak
sahaja.
|