Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:29 PM

Anwar hantar surat kedua kepada Ketua Hakim

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kedua kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memintanya menyegerakan penimbangan semula permohonan ikat jamin beliau.

Anwar menghantar surat tersebut kerana surat pertama beliau bertarikh 11 Oktober 2003 lalu tidak mendapat sebarang jawapan.

Dalam surat keduanya bertarikh 27 Oktober 2003, Anwar menyatakan kekecewaan dengan keputusan Mahkamah Rayuan kerana memilih 8 Disember 2003 untuk mendengar permohonan ikat jaminnya.

“Sekali lagi saya memohon pertimbangan saksama YAA [Ahmad Fairuz] untuk meluluskan tarikh yang segera bagi memutuskan isu ‘elementary’ ini,” kata beliau dalam surat tersebut

Anwar juga mengingatkan Ahmad Fairuz bahawa apabila peguam beliau membuat permohonan ikat jamin pada bulan Julai lalu, mahkamah meyakinkan beliau bahawa ia akan membuat keputusan dengan secepat mungkin.

“Dalam surat saya yang terdahulu kepada YAA, saya telah melahirkan rasa kesal di atas kelalaian Mahkamah Rayuan memberi keputusan terhadap penolakan ikat jamin setelah empat bulan meskipun Dato PS Gill telah mengumumkan di Mahkamah terbuka bahawa keputusan akan dihasilkan segera.

“Dukacita sekali kerana setelah menulis surat rayuan kepada YAA, hal tersebut terus terabai dan dilengahkan lagi sehingga 8 Disember  untuk mendengar hujahan lanjut.

“Kewibawaan Mahkamah dinilai dari sudut komitmen Hakim menegakkan keadilan dan dalam konteks ini, memperkotakan apa yang dilafazkan,” kata Anwar.

Sementara itu, peguamnya Sankara Nair berkata beliau telah menghantar sepucuk surat kepada pendaftar mahkamah baru-baru ini dan memohon untuk tarikh yang lebih awal.

“Melihat bahawa permohonan ikat jamin telah ditangguh untuk suatu masa yang lama, dan pemohon (Anwar) berada dalam keadaan yang kurang sihat, kami harap tarikh kes boleh disegerakan,” ujarnya.

Tetapi, Nair berkata mahkamah belum lagi memberi jawapan kepada surat-surat tersebut.

Bagaimanapun, pendaftar Mahkamah Rayuan memberitahu Nair bahawa permohonan Anwar untuk ikat jamin akan didengar pada 8hb -10hb Disember.

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai permohonan ikat jamin telah  ditangguhkan sejak 23 Julai 2003.