Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:31 PM
Selamat
tinggal Mahathir, selamat datang Abdullah
Jumaat,
31 Oktober 2003, mencatatkan tarikh berakhirnya pemerintahan otokratik,
Dr. Mahathir selama 22 tahun. Walaupun sudah bersara, rakyat Malaysia
masih tidak bebas daripada kesan pemerintahan otokratik Mahathir.
Negara telah mewarisi hutang berbilion-bilion hasil ‘kebijaksanaan’
Mahathir mentadbir perbendaharaan negara.
Adakah
masa depan akan lebih cerah, kini negara mempunyai perdana menteri
baru (yang kelima), Abdullah Ahmad Badawi?
Adakah
Abdullah juga, akan meneruskan segala dasar-dasar yang dibuat oleh
Mahathir? Jika itu yang dilakukan, nampaknya Abdullah memang seperti
apa yang rakyat tahu tentangnya, seorang yang ‘tidak ada idea sendiri’.
Ini jelas
tergambar dalam satu soal selidik tentang populariti pemimpin negara.
Apabila soalan diajukan tentang sumbangan Mahathir, orang awam akan
terus menyebut wawasan 2020, penyelewengan wang rakyat dan lain-lain.
Tetapi apabila ditanya tentang sumbangan Abdullah sebagai menteri
kabinet, semua diam sambil cuba mengingat. Sehingga ‘tamat masa’,
mereka masih tidak dapat ingat apa sumbangan Abdullah kepada negara
setakat ini. Begitulah, betapa ‘terserlahnya’ Abdullah yang kini
perdana menteri kelima Malaysia.
Dengan
itu, stesyen penyiaran terpaksa tonjolkan personalitinya yang pendiam
dan tak pandai gaduh dengan sesiapa. Tetapi adakah Abdullah benar-benar
‘nice guy’ yang dikatakan oleh media kerajaan?
Sebelum
mengambil alih jawatan perdana menteri, Abdullah ialah menteri dalam
negeri yang bertanggungjawab terhadap penahanan berpuluh-puluh ahli
JI dan al-Maunah serta pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Abdullah juga bertanggungjawab
melanjutkan tempoh penahanan mereka.
Abdullah
juga bertanggungjawab menyiksa keluarga-keluarga tahanan yang telah
terputus sara hidup apabila suami-suami dan anak-anak lelaki mereka
ditahan bawah ISA. Ada keluarga yang hanya makan sekali sehari kerana
tiada duit untuk membeli makanan.
Abdullah
sebagai menteri dalam negeri, juga bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan
kuasa yang berlaku dalam institusi polis, yang kebelakangan ini
menjadi-jadi. Kejadian penderaan orang awam dalam tahanan polis,
jenayah rogol dalam tahanan polis, amalan rasuah kalangan pegawai
polis dan pelbagai penyelewengan yang berlaku.
Bagi
wanita, adakah kedudukan wanita akan bertambah baik di bawah pimpinan
Abdullah? Wanita tidak akan merasa selamat selagi, suami, anak serta
adik dan abang mereka akan ditahan pada bila-bila masa tanpa sebab
dan tidak dapat membela diri. Siapakah yang dapat melindungi mereka,
jika pemimpin negara telah melakukan demikian terhadap wanita yang
lemah?
Oleh itu,
jika Abdullah ingin memulihkan imejnya dan diterima oleh rakyat,
dia perlu bertindak memperbaiki kesalahan-kesalahan lalu. Seperkara
lagi, budaya Umno yang melindungi kesalahan pemimpin-pemimpinnya,
perlu dihentikan. Seluruh rakyat diadili dengan undang-undang yang
sama tiada ‘immunity’ hatta ia seorang perdana menteri.
Abdullah
akan menjadi perdana menteri yang disegani jika, dia menghentikan
budaya ‘one man show’- segalanya perdana menteri yang putuskan -
sebaliknya kepimpinan kolektif yang berada di parlimen mesti berperanan.
Rakyat
telah lama dicengkam oleh budaya takut dan ancam. Budaya menakut-nakutkan
ini perlu dihentikan, ia telah membuatkan rakyat curiga-mencurigai
antara kaum, tidak berani menyatakan yang benar dan bermacam-macam
sikap yang akan melemahkan bangsa.
Dengan
itu, ‘Selamat Tinggal Mahathir’ tidak bermakna rakyat sudah selamat.
Bersikap ‘mesra’ dan ‘mengimamkan solat’ saja tidak cukup untuk
mentadbir negara. Kemampuan mengurus negara, berfikiran tajam dan
berpandangan jauh, merupakan antara ciri-ciri utama yang perlu ada.
Reformasi
dalam corak pemerintahan perlu berlaku jika negara ingin bangun
mendahului negara-negara membangun, bukan sekadar retorik semata.
Buktikan keikhlasanmu Abdullah. ‘Bukan harta yang kau cari, tetapi
adakah kau dapat berikan keadilan?’
|