Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:37 PM
Misteri
pembunuhan Mustakizah Jaafar
Polis
terima surat layang kaitkan ahli politik
Fail
siasat kes pembunuhan Mustakizah Jaafar masih belum ditutup walaupun
kejadian itu sudah berlaku 15 tahun lalu kerana pendakwaan kes masih
boleh diteruskan jika pihak yang terbabit dengan pembunuhan itu
berjaya dikesan.
Pelbagai
usaha yang dilakukan pihak polis untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab
menemui jalan buntu dan sehingga kini tiada bukti kukuh yang membolehkan
pendakwaan kes dibuat.
Malah
tiada sebarang tangkapan yang dibuat walaupun gambar dua lelaki
yang disyaki pembunuh upahan disiarkan dengan harapan dapat membantu
siasatan polis.
Lakonan
semula juga pernah dibuat melalui rancangan televisyen, Sekapur
Sirih, yang disiarkan di TV3 pada 18 Disember 1988, sebulan selepas
kejadian itu.
Misteri
kematian Mustakizah menimbulkan berbagai spekulasi, dan polis dikatakan
menerima surat layang berhubung pembunuhan itu yang dikaitkan dengan
ahli politik.
Malah
ahli keluarga wanita itu juga dilaporkan berkata, Mustakizah sendiri
seperti dapat merasakan ajalnya semakin hampir kira-kira dua minggu
sebelum dia dibunuh.
Kisah
pembunuhan Mustakizah yang hampir dilupakan selepas lebih 10 tahun,
kemudian ‘timbul’ semula ketika perbicaraan kes liwat Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada 1999, apabila Anwar dan barisan peguamnya cuba
menimbulkan isu itu dalam pembelaannya dan mengaitkan dengan seorang
menteri (ketika itu).
Mengulas
perkara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, siasatan
kes jenayah, terutama yang serius seperti kes bunuh tidak mempunyai
had masa.
“Perlu
diingatkan, polis hanya boleh bertindak lanjut jika mempunyai bukti
yang kukuh. Tanpa bukti yang boleh menyokong sebarang dakwaan dengan
kuat, maka adalah mustahil untuk meneruskan dengan pendakwaan.
“Isu
mengenai pembabitan sesiapa pun tidak timbul dalam siasatan sesuatu
kes, kerana jika ada sebarang bukti, polis akan bertindak dan seterusnya
pendakwaan boleh dilakukan.
“Seseorang
yang melakukan jenayah hanya boleh ‘terlepas’ jika dia sudah meninggal
dunia. Selagi orang itu hidup dan jika bukti terhadapnya mencukupi,
dia tidak akan terlepas,” katanya kepada akhbar Berita Harian baru-baru
ini.
Beberapa
peguam yang dihubungi juga menegaskan kes itu tidak patut ditutup
dan dibiarkan begitu saja.
“Bagaimana
perasaan anda jika perkara itu berlaku pada ahli keluarga anda sendiri?
Kes itu berlaku lebih 10 tahun lalu dan sehingga kini tiada sebarang
perkembangan positif. Fail itu mesti terus dibuka dan siasatan diteruskan
demi keadilan,” kata peguam Christopher Fernando.
Sementara
itu tinjauan wartawan Berita Harian di rumah keluarga Mustakizah
di Lorong Bahagia, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor, mendapati ahli
keluarga Mustakizah tidak lagi tinggal di situ selepas kedua-dua
ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Jiran
yang berhampiran berkata adik-beradik Mustakizah juga jarang pulang
ke kampung.
|