Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:36 PM

Cubaan mengaitkan Anwar dengan keganasan

Fitnah yang berniat jahat

Percubaan mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kegiatan keganasan adalah percubaan jahat pihak tertentu, kata Presiden keADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Azizah mengulas laporan program ‘Dateline’, siaran stesen TV Australia, SBS yang mengaitkan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) yang diasaskan oleh Anwar dengan Al-Qaeda. Laporan yang disambut secara besar-besaran oleh media BN baru-baru ini sekaligus menghubungkan Anwar dengan keganasan.

Menurut Azizah lagi, institut yang diasas Anwar bersama Almarhum Professor Ismail Faruqi, Syeikh Taha Jabir Al-Elwani dan bekas reaktor UIA, Dr Abdul Hamid Abu Sulaiman itu bertujuan mengembangkan fahaman Islam yang sederhana, aman dan progresif.

"Oleh itu, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa IIIT mempunyai hubungan dengan keganasan atau Al-qaeda," kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut Azizah berkata, institut yang berpusat di Amerika Syarikat itu berusaha membentuk pemikiran Islam yang merangsang pembangunan, pro-demokrasi dan hak asasi manusia, serta menyusun strategi bagaimana umat Islam boleh menyertai arus perdana masyarakat moden dengan menerbitkan buku-buku, jurnal dan mengadakan pelbagai seminar mengenainya.

Pengasas lainnya, Almarhum Ismail Faruqi dan Sheikh Taha Jabir adalah ulama dan sarjana terkenal yang mempunyai pendirian jelas menentang keganasan.

“Malah pihak berkuasa Amerika Syarikat sendiri telah melakukan penyiasatan ke atas IIIT seperti mana yang mereka lakukan ke atas semua organisasi Islam yang lain selepas peristiwa Sept 11 dan mendapati tiada sebarang kaitan institusi itu dengan keganasan,” tambah Azizah.

Azizah menambah beliau kesal dengan sikap media BN kerana terus bersama menyebarkan fitnah jahat ini walaupun BN sendiri pernah ditohmah dan dikaitkan dengan keganasan.

“Kami melihat laporan ini berniat jahat, dan finah yang dilakukan ke atas Anwar serta keluarga kami ini dibuat selepas beberapa perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini,” kata Azizah.

Antaranya surat Anwar kepada Ketua Hakim Negara yang memperincikan banyak aspek ketidakadilan terhadap beliau.

Minat antarabangsa juga meningkat dengan beberapa kenyataan sokongan pemimpin-pemimpin dunia yang mahu melihat Anwar dibebaskan dan dibenarkan mendapat rawatan di luar negara.

Sementara itu, Anwar telah membuat kenyataan balas mengenai dakwaan tersebut dan meminta nasihat peguamnya untuk mengambil tindakan mengenai laporan fitnah ini.