Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:35 PM

IIIT pertahankan derma kepada anak-anak Anwar

Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) di Washington berkata bahawa derma yang diberikan kepada anak-anak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pendidikan telah dikaji dengan terperinci sebelum ianya diluluskan. 

Tidak ada percanggahan antara kenyataan yang dibuat oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail tentang isu tersebut, dan maklumat yang diberikan oleh IIIT dalam permohonannya kepada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri Amerika Syarikat (IRS) untuk pengecualian cukai.

Naib Presiden IIIT Dr Jamal Barzinji berkata demikian apabila dihubungi untuk memberi komen tentang borang pengecualian cukai organisasi tersebut yang dihantar kepada IRS pada tahun 2000 dan 2001, di mana anak sulung Anwar, Nurul Izzah, dinamakan sebagai penerima derma dalam bentuk wang tunai.

Baru-baru ini, Wan Azizah menjelaskan bahawa derma tersebut yang berjumlah RM273,600 merupakan ‘bantuan dari kawan-kawan’ semasa keluarganya berada dalam keadaan susah.

Menurut Jamal, IIIT menerima berbagai bentuk derma dari ramai individu yang menyumbang geran untuk tujuan penerbitan, mengadakan persidangan, bengkel, projek penyelidikan, dan juga pemberian biasiswa.

Kata beliau, geran dalam bentuk wang tunai dan peruntukan yang diberikan sepanjang tahun 2001 adalah lebih dari USD180,000 dan antara pegawai-pegawai kanan yang memutuskan peruntukan wang tersebut ialah Jamal, Taha Jabir Alwani dan Dr Abdul Hamid Abu Sulayman, kesemuanya mengasaskan IIIT dalam tahun 1981 bersama dengan Anwar.

“Kami berada dalam jawatankuasa yang memilih calon yang kami rasa memerlukan dan mempunyai kelayakan untuk geran tersebut dan kami percaya Nurul Izzah dan adik-beradiknya paling layak menerima bantuan ini,” jelasnya.

Jamal memberi komen ini berikutan dakwaan yang dibuat oleh ‘Special Broadcasting Station’ (SBS), Australia baru-baru ini mengenai hubungan Anwar dengan terrorisme, berdasarkan status beliau sebagai ahli badan pengarah IIIT.

Sementara itu, Jamal berkata bahawa IRS telah meneliti rekod kewangan IIIT untuk beberapa bulan sebelum memberi institut itu ‘status baik dan bersih’ sebelum meluluskan pengecualian cukai.

“Mereka lihat pada setiap transaksi kewangan yang telah kami buat dan menyiasat selama lapan bulan sebelum memberikan kami status baik dan bersih,” ujarnya.

Peraturan IRS mengenai pengecualian cukai untuk ‘derma’ menyatakan bahawa pendapatan bersih mana-mana organisasi yang dikecualikan cukai boleh digunakan untuk ‘kepentingan mana-mana pemegang saham peribadi atau individu’.

Tambahnya Nurul Izzah dibenarkan kerana Anwar ‘bukan peserta yang aktif’ dan tidak berkebolehan mempengaruhi keputusan jawatankuasa geran IIIT untuk kepentingan keluarganya.

Jelasnya, keadaan Anwar yang dipenjarakan menunjukkan bahawa beliau tidak dapat mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa geran.

“Peraturan IRS mengesahkan perkara ini. Sepertimana yang telah saya katakan, kenyataan [kewangan] kami telah diaudit dan diluluskan secara terperinci,” ujarnya.