Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:34 PM

Kenyataan Balas Datuk Seri Anwar Ibrahim Berkenaan Isu Hubungkait Dengan ‘Pengganas al-Qaeda’.

(Kenyataan ini disampaikan melalui peguam Anwar yang melawat beliau di Penjara Sungei Buloh pada 25/10/2003)

Saya mengutuk keras muslihat dan fitnah jahat terhadap saya, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dan International Free Anwar Campaign (IFAC) dengan memperalatkan media utama kerajaan BN untuk membantu menghebahkan rencana sekumpulan kecil golongan anti Islam.

Fitnah yang direka oleh musuh-musuh menyerang saya, IIIT dan IFAC dengan mengaitkan saya dengan pengganas al-Qaeda dibuat dengan mengulangi rekaan lama dari satu pusat penyelidikan kecil Washington yang terkenal dengan pendirian anti-Islam mereka dan yang menghukum hampir semua pertubuhan Islam di Amerika Syarikat sebagai terlibat dengan al-Qaeda atau keganasan.

IFAC pula diserang kerana usaha mereka memainkan peranan berkesan dalam menjelaskan isu saya di peringkat antarabangsa.

Adalah mengaibkan lagi pemimpin negara dan media tempatan yang saban hari mengecam Yahudi dan media Barat, sanggup diperalatkan oleh sekelompok kumpulan anti-Islam di Washington seperti Search for International Terrorist Entities (SITE) untuk memfitnah IIIT , IFAC dan keluarga saya.

Percubaan yang sama untuk mengaitkan saya dengan keganasan pernah dibuat tahun lalu (Februari 2002) apabila seorang pendakwah dari Amerika Syarikat, Shaykh Muhammad Hisham Kabbani yang diundang di atas tajaan pemimpin Umno untuk menuduh saya membiayai pertubuhan Islam yang dicurigai.  Tuduhan awal yang dibuat oleh Shaykh Kabbani yang menyifatkan saya telah memindahkan jutaan ringgit kepada kumpulan pengganas dan radikal Islam di Amerika Syarikat telah dinafikan olehnya.

IIIT telah diasaskan oleh pemikir Islam Almarhum Professor Dr. Ismail Faruqi bersama Sheikh Taha Jabir al-Alwani, Dr. Abdul Hamid Sulayman, bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan saya pada tahun 1980. Sheikh Taha Jabir pula adalah seorang ulama tradisional yang terkenal seluruh dunia dan di antara pengasas kepada ‘Centre for Studies of Islam and Democracy’ yang berpusat di Washington DC.

IIIT telah menerbitkan buku-buku, jurnal, dan mengadakan pelbagai seminar untuk membentuk pemikiran Islam yang merangsang pembangunan, pro demokrasi dan hak asasi manusia, dan menyusun strategi bagaimana umat Islam boleh menyertai arus perdana masyarakat moden. Pengasas-pengasas lain IIIT adalah ulama dan sarjana yang terkenal dan mempunyai pendirian yang jelas menentang keganasan dan mengajurkan dialog di antara agama dan tamadun. Almarhum Ismail Faruqi adalah professor Islam di Universiti Temple Amerika Syarikat dan merupakan antara sarjana Islam yang terkenal di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, dan pemikirannya pernah menjadi rujukan pelbagai pemimpin dunia.

Beberapa wacana ilmiah dan persidangan telah juga diadakan di Malaysia termasuk di atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed. IIIT aktif dalam penerbitan karya-karya Islam semasa termasuk Jurnal Sains Sosial Islam.  Kita difahamkan bahawa SAFAR Trust dan Heritage Education Trust, 2 buah badan sekutu IIIT telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Rita Katz (pengarah eksekutif SITE), dan SITE sendiri di atas fitnah mereka sebelum ini.

Rita Katz telah di saman sebanyak 80 juta di Washington oleh SAFAR Trust dan Heritage Education Trust kerana, antara lain menyebarkan fitnah dan menceroboh harta benda (trespassing). Dia dikenali sebagai golongan berhaluan kanan yang ekstrim (ultra-right wing).

Motif media yang dikuasai kerajaan menyebarkan tohmahan badan anti-Islam ini untuk mencela IIIT ternyata buat memenuhi agenda politik sempit mereka. Semua ini hanyalah penerusan propaganda jahat di mana dahulunya saya dikatakan agen CIA dan kumpulan tertentu mula mencerca saya sebagai pro Amerika dan CIA. Oleh kerana ini gagal, mereka mengalih kepada isu penyokong Al-Qaeda.

Mengenai ABRAR, pihak bertanggungjawab perlu juga merujuk kepada Tan Sri Nor Mohammad Yaacob, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, yang ketika itu merupakan Penasihat Kanan kepada ABRAR Group International serta pengarah urusan ABRAR Corporation Berhad., selain Dr. Wan Hasni dan Abdul Rahim Ghouse. ABRAR Group International sekarang adalah dibawah milikan DANAHARTA.

Sementara itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan mengapa Sheikh Yassin al-Qadi diberikan taraf Permastautin Tetap (PR) di negara ini.

Saya menafikan dengan keras sebarang penglibatan saya  IIIT atau IFAC dengan kegiatan keganasan. Pihak bertanggungjawab di Malaysia, khususnya pasukan polis perlu menyiasat segera dengan telus dan adil supaya membersihkan nama baik IIIT. Saya mencabar pihak kerajaan supaya segera menyiasat tohmahan-tohmahan tersebut dan mengumumkan hasil siasatan secara terbuka.

Malah, ia (pendedahan oleh media yang dikuasai kerajaan) memperkuatkan hujah saya selama ini bahawa alasan keganasan akan terus digunakan oleh penguasa otokratik untuk menindas pengkritik kerajaan dan pembangkang.  Pihak kami sedang merangka untuk mengambil tindakan terhadap SITE, Washington, TV SBS Australia dan media tempatan yang terlibat dengan fitnah terbaru dan tohmahan ini.

Berhubung dengan langkah IIIT memberi biasiswa kepada puteri saya Nurul Izzah, saya ingin memaklumkan bahawa masyarakat Muslim di Amerika Syarikat telah memberi sumbangan ikhlas yang dikhaskan untuk pendidikan keenam-enam anak saya selama lima tahun sejak saya dipenjara.

Saya percaya strategi media ialah untuk membesarkan berita fitnah bagi mengelirukan rakyat. Mereka akan mengumumkan bahawa siasatan akan dibuat, tetapi kemudian dibenamkan cerita tersebut setelah tercapai matlamat mereka untuk menimbulkan kecurigaan rakyat. 

Anwar Ibrahim

Penjara Sungei Buloh

25/10/2003