Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:32 PM

Pak Lah didesak hapuskan ISA

Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, Abdullah Ahmad Badawi, didesak membuat perubahan terhadap undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mencabuli hak asasi manusia.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, berkata undang-undang keselamatan tersebut digunakan terhadap aktivis-aktivis yang memperjuangkan hak wanita, alam sekitar dan pendidikan bahasa ibunda dan bukannya terhadap musuh negara.

“Kita harus memikirkan cara lain untuk membanteras terrorisme, bukan dengan menggunakan ISA dan mengabaikan hak asasi manusia,” katanya yang pernah ditahan dibawah ISA selama dua tahun.

Buat masa ini lebih kurang 90 orang, kebanyakan aktivis bergama Islam, sedang ditahan tanpa bicara di bawah ISA di kem tahanan Kamunting, Perak.

Bagaimanapun, Tian masih bersemangat untuk terus berjuang bagi memansuhkan ISA.

Menurutnya, apabila beliau dan rakan-rakannya yang turut ditahan keluar dari tahanan pada bulan Jun 2003 lalu, beliau menerima lima kilogram surat yang dihantar oleh aktivis di seluruh dunia yang mengharapkan kebebasannya.

Sokongan tersebut merupakan galakan bagi beliau dan rakan-rakannya untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti politik.

“Sebaik sahaja kami keluar dan lihat mesej-mesej yang berterusan, kami terus membuat ‘bising’ mengenai ISA pada hari keesokannya,” ujarnya.

Tambah Tian, beliau ditahan sebelum tragedi 11September, 2001 di mana istilah seperti “sistem pemerintahan yang baik” amat popular terutamanya di Asia selepas krisis kewangan 1997.

Tetapi, selepas 11 September 2001, kata Tian, ramai mula berpendapat bahawa isu-isu seperti hak asasi manusia boleh ‘dijual-beli’ dengan isu keselamatan dan pendapat sedemikian didengar juga di negara-negara Barat.

“Kami dapat lihat dengan segera satu perubahan,” katanya, merujuk pada kurangnya simpati untuk isu-isu hak asasi manusia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ISA di Malaysia mendahului 11 September, 2001 selama empat dekad, dan sepatutnya digunakan untuk memerangi pemberontakan komunis.