Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:32 PM

Pak Lah tidak perlu tunggu 100 hari

Oleh: Anwar Ibrahim

Pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad menamatkan satu sejarah Malaysia yang penuh kontroversi. Setakat ini, yang dipaparkan di media ialah sanjungan berupa pendewaan.

Seluruh jentera termasuk syarikat-syarikat milik kerajaan dikerahkan menonjolkan kegagahan dan kekuatan beliau, seolah-olah selama dua dasawarsa mentadbir negara, tidak terdapat sebarang kelemahan pun!

Senario ini saja sudah cukup untuk membuktikan kecacatan utama pemerintahannya; pemikiran rakyat yang dikongkong dengan propoganda. Pandangan alternatif atau kritikan dilarang sama sekali.

Hanya perlu diucapkan syabas kepada media utama kerana pemujaan beserta ucapan selamat tinggal yang dijaja saban waktu selama sebulan mematikan sebarang kemungkinan untuk Mahathir memungkiri janjinya untuk bersara.

Tetapi sebagai seorang yang pernah akrab dengan Mahathir, dan melihat reaksi beliau tatkala soalan persaraan dibangkitkan, beliau tidak selesa dengan keputusannya.

Jawapan yang lazim diberikan ialah: "Apa pula kata orang, saya akan hilang kewibawaan kalau saya tidak berhenti". Jawapan ini tidak menggambarkan keikhlasan untuk berundur!

Kegelisahan ‘Dah lama dah…’ yang diulang tayang oleh TV dengan maksud meraih simpati terbalik menjadi jolokan rakyat dan kanak-kanak, dengan maksud wajarlah berhenti kerana terlalu lama berkuasa.

Betapa jua helah beliau, saya tetap mengakuinya sebagai keputusan tepat kerana beliau telah lama melewati tempoh persaraan. Mahathir memang sedar kegelisahan rakyat dan suara ramai yang terpendam, terutama di kalangan Umno yang menghendaki beliau bersara lebih awal.

Tidak dapat kita pertikai mengenai semangat kerja dan kegigihan beliau yang sukar ditandingi. Beliau menyematkan faham etika kerja daripada sudut ketekunan dan kecekalan.

Pembangunan menyebabkan negara mengamalkan dasar pragmatik ekonomi terbuka yang selari dengan iklim perniagaan dan pelaburan semasa.

Kejayaan ini membolehkan negara menumpukan perhatian kepada prasarana asas; pendidikan, kesihatan yang lebih baik serta mementapkan infrastruktur pelabuhan, pengangkutan dan ekonomi.

Mahathir lebih terserlah di peringkat antarabangsa. Retorika tajam mengecam ketempangan sistem ekonomi antarabangsa, keangkuhan kuasa besar khususnya Amerika serta kerakusan Israel, disokong rakyat dan mendapat dokongan negara membangun.

Namun, kelemahan paling ketara yang akhirnya memudaratkan prestasi kerjaya beliau ialah tranformasi daripada seorang demokrat menjadi otokrat, seorang pemimpin rakyat berlagak sebagai seorang maharaja, seorang pembicara mengenai etika dan keadilan berakhir dengan mewariskan sistem rasuah yang parah, terhakisnya hak rakyat dan tercemarnya badan kehakiman.

Pokoknya terdapat pertembungan dahsyat di antara kelunakan bahasa membicara mengenai keadilan dalam tata dunia baru, tetapi memijak hak rakyat sendiri, memenjara pembangkang, membatalkan permit media bebas, menolak hukum di negara sendiri.

Mahathir sanggup menangis mengenangkan pekung rasuah dan politik wang, tetapi dalam masa sama menggondol kekayaan peribadi yang tak terhingga banyaknya. Beliau juga menghalang pendakwaan ke atas perasuah atau siasatan terhadap kroninya.

Beliau mengutarakan konsep meritokrasi tetapi mengekalkan tokoh-tokoh paling ‘mediocre’ dalam pimpinannya termasuk di universiti. Demikianlah paradoks berjela panjang untuk disenaraikan.

Keghairahannya dengan yang ‘maha’ sungguh membingungkan. Kenderaannya, mahligainya, majlis yang dihadirinya sebolehnya mesti memecah rekod sebagai yang tergagah. Demikian juga dengan belanja puluhan juta ringgit untuk membangun Putrajaya, kerugian 11 bilion yang ditanggung Perwaja, lesapnya berbilion lagi untuk menyelamatkan syarikat anak-anak dan kroni beliau.

Betapa sekali pun helah Mahathir menonjolkan diri sebagai tokoh Islam sederhana, umat Islam tidak dapat melupakan sikap beliau memperseda hukum, menghina ulama dan bertindak curang terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Saya tidak bercadang membangkit soal peribadi selain menyatakan bahawa tuduhan beliau terhadap saya sering berpindah daripada fitnah salahlaku seks kepada kegagalan saya mengurus ekonomi. Hanya tidak wajar bagi seorang yang punya peribadi longgar seperti beliau untuk mengulangi soal moral kerana pelakuan beliau serta teman-temannya diketahui umum.

Di sebaliknya saya dinafikan proses kehakiman yang adil. Mengenai urusan ekonomi, yang dihebahkan ialah versi beliau yang mengatakan bahawa saya cenderung ke arah IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa).

Ini juga merupakan taktik licik ala Machiavelli. Yang sebenarnya dimahukan Mahathir ialah membunuh’ pengkritik rasuah dan pembaziran yang diamalkannya.

Ya, selamat bersara Tun dan janganlah lagi mengganggu dan cuba memporakperandakan negara. Masa akan menentukan secara lebih objektif kehebatan dan kerosakan era saudara!

Kini giliran Abdullah Ahmad Badawi mengemudi negara. Saya ucapkan tahniah dan berharapkan beliau mempunyai kekuatan untuk meluruskan kepincangan dan menghentikan kezaliman dan rasuah yang berleluasa.

Abdullah mempunyai sosok sederhana dan tidak menunjukkan hasrat menjadi ‘adi jagat’. Maka sewajarnya pemerhatian beliau beralih kepada masalah dan rungutan rakyat.

Yang dikhuatiri ialah sebagai tokoh lama dalam pemerintahan, beliau kelihatan terlalu serasi dengan undang-undang zalim yang menindas termasuk ISA, Akta Penerbitan dan Percetakan, AUKU dan lain-lain. Apakah mungkin ruang demokrasi dilebarkan?

Juga merungsingkan ialah kenyataan awal beliau untuk meneruskan dasar dan amalan Mahathir. Sekadar kenyataan diplomatik dapat dimengerti, tetapi cabaran beliau ialah untuk merungkai beberapa masalah besar, memulihkan kewibawaan institusi kehakiman, dan yang paling utama ialah menyederhanakan amalan politik agar tidak keterlaluan dan kasar.

Saya tidak dapat meneka sejauh mana Abdullah sedia melakukan perubahan. Tetapi, saya pasti kerosakan institusi hampir parah dan budaya Umno sendiri hampir lesu akibat politik mengampu era feudal yang diamalkan.

Kita tidak memerlukan 100 hari untuk merencana seperti amalan di Amerika tatkala berlaku perubahan Presiden. Abdullah sepatutnya telah lama bersiap diri.