Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 12:50 AM
BICARA
PRESIDEN
Malaysia
di ambang perubahan?
Pada
31 Oktober lalu kita telah menyaksikan peralihan kuasa kepada Perdana
Menteri Malaysia ke 5, Datuk Seri Abdullah Badawi. Rakyat kini tertanya
sama ada peralihan ini akan membawa masuk satu era baru dalam budaya
politik negara.
Sejak
sebelum peralihan ini berlaku lagi, Abdullah Badawi telah menunjukkan
tanda-tanda ingin membanteras amalan rasuah dan ketidakefisyenan
perkhidmatan awam. Ini adalah petanda positif. Namun, adakah ini
menandakan perubahan yang berlanjutan dan berterusan?
Ketika
Perdana Menteri Malaysia keempat mengambilalih kuasa wujud suatu
tanggapan bahawa ia akan membawa satu era pemerintahan yang lebih
cekap dan berwibawa. Slogan Bersih, Cekap dan Amanah telah menawan
imaginasi rakyat. Ia memberi gambaran seolah-olah 1982 merupakan
satu era baru dalam politik Malaysia.
Namun,
sejarah menunjukkan bahawa kepesonaan yang kita alami ketika itu
tidak berterusan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam tempoh
20 tahun yang lalu, ‘moral fiber’ masyarakat telah dimusnahkan.
Slogan Bersih, Cekap dan Amanah hanyalah fatamorgana.
Kita
berharap segala petanda positif yang ditunjuk oleh Abdullah Badawi
menandakan komitmen beliau untuk betul-betul membawa perubahan dan
bukan satu lagi fatamorgana. Sebagai Perdana Menteri yang baru Abdullah
Badawi akan ingin mewujudkan acuan sendiri. Beliau sudah tentu mempunyai
agenda tersendiri. Tempoh masa 1-2 tahun akan datang akan dicorakkan
oleh acuan dan agenda ini. Rakyat akan menilai sejauhmana agenda
dan acuan ini benar-benar merupakan suatu yang baru. Mereka akan
menilai sama ada ia adalah satu perubahan atau sekadar penerusan
amalan politik yang telah disemai sejak 20 tahun yang lalu.
Ujian
yang akan menentukan sama ada Abdullah Badawi adalah pemimpin yang
sejati atau sekadar mangsa yang terperangkap dalam arus dan keadaan
yang dibina sebelum ini ialah kesediaannya melakukan sesuatu untuk
menghentikan kemusnahan pada ‘moral fiber’ masyarakat. Ini bukanlah
suatu yang mudah kerana terdapat berbagai pihak berkepentingan yang
cuba memastikan kepentingan mereka tidak terjejas.
Perubahan
yang perlu Abdullah Badawi lakukan perlu menyentuh akar umbi masalah
yang dihadapi. Tidak cukup sekadar menangkap penyelia KEMAS atau
korporal polis yang mengambil rasuah beberapa ratus ringgit. Jangan
hanya mengejar si bilis dan jerung dilepaskan.
Baru-baru
ini Transparency International telah melakukan tinjauan mengenai
masalah rasuah. Tinjauan ini turut dilakukan di Malaysia. Satu sampel
rakyat Malaysia telah ditanya sekiranya mereka diberikan kuasa untuk
menghapuskan rasuah, di manakah mereka ingin menumpukan usaha mereka.
Jawapan mereka ialah yang pertama ialah di dalam pasukan polis dan
kemudiannya ke atas ahli-ahli politik. Nyata sekali Abdullah Badawi
perlu bermula dengan mereka yang terhampir dengan beliau, iaitu
di kalangan pemimpin-pemimpin politik.
Rakyat
juga masih menunggu kesudahan siasatan terhadap skandal Perwaja.
Selama ini pihak kerajaan menyatakan bahawa siasatan masih belum
lengkap. Jika benar ia belum lengkap bagaimana pula Perdana Menteri
sebelum ini telah membuatkan kenyataan bahawa kerugian Perwaja disebabkan
oleh kelemahan pengurusan. Adakah siasatan yang dijalankan bertahun-tahun
hanya membawa kepada kesimpulan ini? Jika inilah masalahnya, kenapa
pula sehingga perlu melibatkan pihak berkuasa Switzerland? Kelemahan
pengurusan boleh dikenalpasti melalui siasatan juruaudit.
Jika
inilah masalahnya, kenapakah polis dan BPR dilibatkan bersama.
Saya
akhiri ruang ini dengan mengucapkan selamat bertugas kepada Datuk
Seri Abdullah Badawi. Kita mendoakan agar minat yang beliau tunjukkan
untuk membanteras rasuah adalah satu komitmen yang jitu dan berterusan
bersesuaian dengan iman dan takwa.
|