Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 12:46 AM
EDITORIAL
Perginya
pemimpin
lama tetapi musuh sebenar masih ada
Peralihan
kuasa Perdana Menteri telah berlangsung pada hari Jumaat tanggal
31 Oktober 2003 lalu. Negara menyaksikan perginya seorang Perdana
Menteri yang telah lama berkuasa dan meninggalkan banyak parut kepada
negara.
Sebutlah
demokrasi, hak asasi, agama, politik, ekonomi atau apa sahaja perkara
yang berlaku dalam negara, tidak ada satu pun catatan yang bersih
daripada terpaksa menyebut nama bekas pemimpin lama itu.
Namun
semua itu telah menjadi sejarah. Menangis air mata darah sekalipun,
hakikatnya Perdana Menteri lama itu banyak meninggalkan noda dan
kini telah tiada lagi di tampuk kuasa. Nama dia juga sudah makin
dilupa.
Pemergian
Perdana Menteri lama itu memberikan kesan kepada gerakan perjuangan
rakyat. Jika selama ini Perdana Menteri lama menjadi sasaran kerana
tangannya ada di mana-mana yang bertanggungjawab merosakkan sistem
negara, kini serangan memerlukan kepada sasaran yang lain pula.
Kita
harus belajar bahawa serangan tidak sepautnya hanya ditumpukan kepada
batang tubuh individu semata-mata. Sistem, dasar dan organisasi
parti pemerintah harus dijadikan sasaran. Ini kerana sasaran kepada
perkara dasar akan dapat bertahan lama dan rakyat akan lebih yakin
dengan perjuangan yang dibawa.
Penentangan
kepada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan
boleh diteruskan sekalipun pemimpin silih berganti.
Sehubungan
itu pemuka politik yang punya iltizam untuk membawa perubahan di
negara ini harus sedar bahawa serangan harus dibuat kepada sasaran
yang tepat. Kita tidak mahu hari ini serangan menjadi lemah kerana
musuh utama yang selama ini dijadikan satu-satunya sasaran telah
tiada.
Namun
sekiranya selama ini sasaran kita adalah sistem, dasar dan polisi
serta organisasi parti pemerintah yang telah bobrok, kita tidak
akan kehilangan arah sasaran. Malah kita akan terus bersemangat
untuk menyerang kerana sistem, dasar, polisi dan organisasi yang
bobrok harus diganti.
Menjadi
cabaran kepada pemuka-pemuka politik perubahan dan pembaharuan di
negara ini untuk memastikan di samping serangan dibuat, tawaran
bagi menggantikan sistem lama yang bobrok dapat diberikan kepada
rakyat.
Rata-rata
rakyat hari ini telah sedar dan faham bahawa pemimpin parti pemerintah
bukanlah terdiri daripada mereka yang baik dan mampu membawa kebaikan
kepada rakyat.
Namun
dalam masa yang sama, alternatif kepada sistem buruk tersebut perlu
dihidangkan. Rakyat hari ini semakin terbuka dan cerdik. Mereka
dapat menilai antara intan dan kaca. Walaupun pemimpin parti pemerintah
cuba menyogok rakyat dengan mendendangkan lagu yag mengasyikkan,
rakyat sekarang tidak mudah alpa.
Sementara
kita yakin rakyat tidak mudah terpedaya dengan janji kosong pemimpin
parti pemerintah, kita tidak harus membiarkan rakyat terus tertanya-tanya
apa pula tawaran kita kepada mereka.
Sebab
itu, pemergiaan Perdana Menteri yang lama tidak harus menjadikan
kita seolah-olah telah kehilangan musuh utama.
Musuh
utama kita ialah sistem yang bobrok, penyelewengan yang berleluasa
dan bermaharajalela, salahguna kuasa yang melata serta nasib rakyat
yang tidak terbela. Ini adalah musuh yang kekal dan dan akan sentiasa
berada di depan kita.
Malah
sekiranya kita dapat berkuasa ini jugalah musuh yang harus dipastikan
tidak dapat membiak di dalam negara yang bakal kita bina setelah
rosak dan parah di tangan penguasa politik yang lama.
Pemergian
Perdana Menteri lama seharusnya lebih menguatkan tekad kita untuk
berusaha sekiranya kita benar-benar yakin penggantinya orang yang
lemah dan tidak punya karisma serta akan terus hidup di dalam sistem
lama yang telah rosak.
Siapa
pun menjadi peneraju bukanlah perkara utama kerana mereka mewarisi
sistem lama yang telah rosak dan menjadi tanggungjawab pemuka politik
pembaharuan negara ini untuk menggantikan sistem berkenaan dengan
yang lebih baik dan sempurna sifatnya.
|