Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:10 PM

Kepentingan JJ dalam penyenaraian Felda

Capital Avenue Resource Berhad proksi JJ

Avenue Capital Resources Berhad dipercayai merupakan syarikat proksi kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis (JJ) dengan meletakkan saudaranya Tengku Zafrul Aziz sebagai Pengarah Eksekutif.

Tengku Zafrul Aziz yang sebelum ini hanya bekerja sebagai seorang penganalisa kewangan di sebuah bank tempatan tidak mempunyai pengalaman besar untuk menerajui atau menguruskan kerja-kerja yang melibatkan penyenaraian.

Namun syarikat Avenue memperolehi kontrak sebagai penasihat kewangan bagi tujuan penyenaraian Felda disebabkan JJ mempunyai kepentingan secara tidak langsung di dalam Avenue melalui Tengku Zafrul.

Berdasarkan rekod, Avenue tidak pernah mempunyai pengalaman sebagai perunding atau penasihat bagi mana-mana syarikat yang hendak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Di samping itu, Avenue juga berdasarkan maklumat institusi kewangan tidak pernah selama ini menjalankan kerja-kerja sebagai penasihat kewangan.

Sehubungan itu menurut maklumat institusi kewangan berkenaan, Avenue sebaliknya memberikan kerja-kerja sebagai penasihat kewangan bagi tujuan penyenaraian Felda  kepada Amanah Merchant Bank.

Ini menjadikan Avenue hanya bertindak sebagai orang tengah yang tidak punya kepakaran tetapi memperolehi keuntungan.

Difahamkan perjanjian yang diberikan kepada Avenue menetapkan sejumlah wang yang perlu dibayar oleh Felda kepada Avenue sebagai yuran perunding dan juga bayaran selepas semua urusan selesai.

Walaupun keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku tetapi disebabkan JJ mempunyai kepentingan secara tidak langsung, Avenue tetap diberikan kontrak menjadi penasihat kewangan bagi tujuan penyenaraian Felda ke BSKL.

Sebagai Menteri Kewangan Kedua kesungguhan JJ untuk meneruskan penyenaraian Felda ke BSKL benar-benar menghairankan sekalipun Perdana Menteri yang kini melaksanakan tugas-tugas Menteri Kewangan memberikan isyarat penyenaraian tersebut perlu diteliti terlebih dahulu.