Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:11 PM

Dana Felda merosot bayar hutang kerajaan

Dana Felda yang terkumpul pada tahun 1998/99 yang berjumah RM RM4.7 bilion merosot mendadak apabila dana tersebut digunakan bagi melunaskan hutang Felda kepada kerajaan sebanyak RM2.5 bilion.

Berdasarkan laporan kewangan Felda Holdings Sdn Bhd, pada tahun 1998 dan 1999, Felda berhutang kepada kerajaan sebanyak RM2.5 bilion. 

Di samping itu, Felda yang mempunyai lebih kurang RM4.5 bilion dalam simpanan tetap dan simpanan lain di beberapa bank dan institusi kewangan turut mempunyai  hutang-hutang lain sebanyak RM270 juta. 

Dalam tahun 2001 dan 2002, simpanan ini telah berkurangan sebanyak RM800 juta manakala hutang Felda yang lain meningkat kepada RM1 bilion. 

Berdasarkan perkembangan tersebut, hutang kerajaan sebanyak RM2.5 bilion telah dilupuskan.

Keadaan ini boleh diibaratkan sebagai kerajaan menggunakan Felda sebagai ‘cash cow’ atau sumber wang tunai sekaligus ‘mengeringkan’ rizab tunai Felda.

Pada tahun 2002 rizab Felda adalah lebih kurang RM1.4 bilion menjadikan dana terkumpulnya sebanyak RM1.6 bilion. 

Namun, pada 1998 dan 1999 dana terkumpul adalah lebih RM6 bilion tetapi disebabkan aliran keluar untuk membayar kerajaan maka dana tersebut berkurangan.

Aset semasa bersih juga mengalami kesan negatif.  Pada 1998 dan 1999 jumlahnya adalah RM4.7 bilion manakala pada 2002 ia berkurangan ke RM1 bilion sahaja akibat digunakan oleh kerajaan.

Modal berbayar Felda adalah lebih kurang RM200 juta manakal modal yang dibenarkan ialah RM300 juta.  Kerajaan memegang RM1.00 ‘saham emas’ atau ‘golden share’.  Akaun Felda pula tidak menunjukkan siapa yang memegang 199,999,999 yang lainnya.