Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 1:11 PM

Pak Lah tak setuju cadangan JJ

Penyenaraian mungkin dibatalkan

Kerajaan difahamkan akan membatalkan cadangan penyenaraian Fleda Holdings Sdn Bhd ke Bursa Saham Kuala Lumpur.

Walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2004 menyatakan kerajaan akan menyenaraikan Felda ke BSKL tetapi cadangan itu kini difahamkan tidak dipersetujui oleh kepimpinan sekarang.

Menurut sumber, kerajaan kemungkinan membatalkan penyenaraian tersebut setelah mendapati laporan dan kajian yang dibuat tidak menguntungkan para peneroka dan ia memberi kesan buruk kepada mereka.

Semasa kerajaan membentangkan cadangan untuk menyenaraikan Felda, pemimpin Barisan Alternatif telah menyuarakan kebimbangan rakyat terhaap langkah kerajaan itu yang disifatkan merugikan para peneroka.

Malah di peringkat awal pengumuman itu dibuat, kerajaan memaklumkan bahawa setiap peneroka akan memperolehi RM6,000 nilai saham.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada kedudukan semasa nilai Felda, para peneroka sepatutnya memperolehi RM29,000 nilai saham.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, kajian terperinci perlu dibuat terlebih dahulu berhubung dengan usaha menyenaraikan Felda ke BSKL kerana tidak mahu kepentingan para peneroka terabai.

Malah katanya, sekiranya keadaan tersebut berlaku, ia boleh menyebabkan perkara tersebut boleh dijadikan isu untuk mengkritik kerajaan.

Pengerusi Felda Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Yusoff Nor pula dilaporkan berkata, keputusan menangguhkan penyenaraian Felda dibuat bagi menjamin kepentingan para peneroka.

Berdasarkan kenyataan itu difahamkan langkah menanggunghkan usaha penyenaraian berkenaan adalah merupakan usaha beransur-ansur kerajaan sebelum membatalkan cadangan penyenaraian itu.

Malah sumber Felda menyebut, keputusan kerajaan menangguh dan seterusnya membatalkan penyenaraian berkenaan memperlihatkan adanya perbezaan pendekatan dan cara kepimpinan negara.

Tidak kurang juga pendapat yang menyatakan, keputusan kerajaan itu menunjukkan adanya pertelagahan politik antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Jamaludin Jarjis  yang kelihatan bersungguh-sungguh hendak meneruskan penyenaraian yang diumumkan oleh Dr. Mahathir Oktober 2003 yang lalu.