Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 12:49 AM
MINDA ANWAR
Kegawatan
badan
kehakiman
[Berikut
adalah sambungan surat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Hakim
Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Abdul Halim bertarikh 11 Oktober 2003]
Rayuan
ke Mahkamah Persekutuan
Seandainya
Mahkamah Persekutuan menimbang dan memutuskan untuk meneruskan pendengaran
rayuan, maka izinkan saya perjelaskan beberapa alasan rayuan seterusnya.
Mahkamah
Persekutuan wajar memutuskan berdasarkan Peruntukan 402A untuk membolehkan
saya mengemukakan notis alibi kerana pindaan tarikh pertuduhan dari
bulan Mei 1992 ke Januari hingga Mac 1993. Ketetapan Hakim-Hakim
sebelumnya bahawa notis alibi bagi tahun 1992 adalah memadai sungguh
membingungkan. Ia tidak memerlukan kepakaran dalam undang-undang
untuk memahami bahawa perbezaan waktu yang sedemikian lama memerlukan
keterangan berbeda, baik dari segi jadual saya atau kedudukan bangunan
yang dimaksudkan.
Bayangkan
betapa cetek hujah Dato’ Ariffin Jaka dan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan
apabila mereka mengaitkan keputusan dalam kes Husin bin Silit V
Public Prosecutor 1988 sebagai alasan. Dalam kes tersebut, perbedaan
waktu hanyalah setengah jam, meminda pertuduhan dari 8.30 malam
ke 8 malam. Kedudukan bangunan dan jadual seseorang dalam tempoh
tersebut mungkin tidak berubah tetapi bagaimana dengan jarak yang
begitu lama?
Mahkamah
Rayuan telah mengenepikan prinsip asas yang ditetapkan oleh Mahkamah
Persekutuan dalam kes Ku Lip See V Public Prosecutor (1982) yang
menetapkan dengan jelas prinsip perundangan tersebut. Peguam saya
telah membangkitkannya tetapi hakim-hakim mengenepikan dengan sewenang-wenangnya,
mengorbankan prinsip keadilan dan menghina Mahkamah Persekutuan.
Disebaliknya Mahkamah Rayuan
telah menunjukkan pemikiran yang celaru untuk menegakkan benang
basah hingga terpaksa merujuk kepada Mahkamah Persekutuan Kanada
yang menolak keperluan notis alibi, walhal peruntukan serupa dengan
Seksyen 402A tidak wujud di negara tersebut.
Hakim-Hakim
memang memperaku notis alibi yang dikemukakan oleh perayu kedua
Sukma Darmawan. Maka sewajarnyalah, penangguhan sepuluh hari sepertimana
yang diperuntukkan undang-undang diberikan kerana perbicaraan dikehendaki
bersama. Sesungguhnya tidak ada dalih atau alasan lagi untuk mempertahankan
keputusan yang menyeleweng dari landasan undang-undang.
Isu
pertukaran tarikh telah banyak diperkatakan. Meskipun perubahan
tarikh dalam jangka waktu yang panjang, Hakim-Hakim memutuskan secara
mudah dengan mengaitkan bidang kuasa dan wewenang Peguam Negara.
Untuk mengukuh dakwaan saya bahawa kes ini melibatkan konspirasi
peringkat tertinggi, Azizan Abu Bakar memberikan keterangan bersumpah
bahawa tarikh dua pertuduhan telah dicadangkan oleh pihak polis
khususnya SAC Musa Hasan. Sebelumnya Azizan menegaskan tiga kali
di mahkamah bahawa beliau tidak pernah diliwat oleh saya. Kemudiannya,
kenyataannya dipinda lagi hingga menyebabkan tarikh pertuduhan dipinda
dari 1994 ke tahun 1992.
Manakala kami kemukakan butir
alibi dan membuktikan bangunan Tivoli Villa tersebut belum wujud,
maka sekali lagi pertuduhan dipinda ke tahun 1993, dengan tempoh
jarak 3 bulan. Ini juga aneh jika ditinjau tohmahan Dato’ Seri Dr
Mahathir dan disokong kuat oleh Tan Sri Mohktar Abdullah selaku
Peguam Negara di Mahkamah. Jika benar tohmahan mereka serta dakwaaan
adanya bukti kukuh, mengapa gagal mengemukakannya dan disebaliknya
membuat pertuduhan samar? Bahkan dengan angkuh sekali Tan Sri Mokhtar
melalak mendakwa pihak beliau punyai semua keterangan acara dan
perjalanan saya dari tahun 1992-1998. Ini ternyata dusta kerana
hingga akhir perbicaraan, tidak ada sebarang keterangan sedemikian
yang dikemukakan.
Dengan
segala keterbatasan yang ada dipenjara, saya telah berusaha dengan
Peguam-Peguam untuk memperolehi keterangan mengenai acara dan perjalanan
saya sepanjang tempoh pertuduhan dan menolak kemungkinan kehadiran
saya di tempat berkenaan seperti yang didakwa. Sukma Darmawan pula
mengemukakan bukti berdasarkan keterangan saksi, dokumen dan resit
yang menunjukkan pangsapuri berkaitan masih dalam proses pengubahsuaian
dan tidak lengkap seperti yang didakwa Azizan.
Semua
usaha tersebut ternyata sia-sia belaka. Hakim sudah seolah-olah
membuat keputusan, mencari helah untuk menghukum, betapa pun lemah
alasan dan bukti. Inilah yang menimbulkan kecurigaan ramai mengenai
penghakiman menurut skrip yang mengingatkan saya kisah Alice in
Wonderland.
“No!
No! Sentence first-verdict afterwards”. Pokoknya hukum saja dulu,
fikirkan alasan kemudian!
Segala
percanggahan Azizan termasuk pendakwaan dan hukuman oleh Mahkamah
Syariah atas tuduhan salahlaku seks tidak menggugat keyakinan Hakim
Ariffin Jaka terhadap kewibawaan dan kejujuran Azizan dengan cara
keterlaluan menegakkan bahawa keterangan Azizan sebegitu mantap
sekukuh Batu Gibraltar. Hakim menyembunyi telahan beliau sebelumnya
dan menganggap saksi tersebut berdolak-dalik, “menyatakan sesuatu
hari ini dan lain pula esoknya”. Yang lebih menakjubkan kerelaan
Hakim-hakim Mahkamah Rayuan memperakui kenyataan lemah tersebut
yang sebenarnya adalah bagaikan pasir di persisiran pantai!
Gelagat hakim sedemikian
membenarkan kekuatiran kami sejak awal yang memohon Hakim mengundurkan
diri dari mengendalikan kes ini. Alasan ketika itu ialah bahawa
Hakim mempunyai kepentingan dan memperolehi keuntungan besar dari
saham Syarikat Dataprep kepunyaan Mirzan Mahathir, anak kepada Dato’
Seri Dr Mahathir terlibat dalam konspirasi menentang saya yang
menjurus kepada tindakan polis, Pendakwaraya dan kini badan kehakiman.
Hakim gagal memaklumkan kepentingan tersebut sehingga Peguam mendedahkannya.
Ini juga menyalahi seksyen 20 Akta Penghakiman Mahkamah 1964 (AKta
91) yang mengkehendaki beliau melaporkan kepada Hakim Besar (Malaya).
Kebimbangan tersebut terbukti
benar manakala beliau memilih untuk melindungi Dato’ Seri Dr Mahathir
yang mengenepikan sapina kerana enggan hadir sebagai saksi. Walhal
beliau merupakan saksi utama selaku orang yang mula melemparkan
tuduhan terbuka dan dengan itu menafikan hak saya memperolehi keterangan
jelas. Ini juga menjejaskan peluang mengaitkan peranan beliau dengan
talian kepada Tun Daim Zainuddin dan Dato’ Aziz Shamsuddin.
Hakim-hakim
Mahkamah Rayuan juga telah cuai dan tersalah arah kerana mengenepikan
Seksyen 418A Kanun Prosedur Jenayah yang menetapkan bahawa pertuduhan
dalam satu perbicaraan yang berpindah tidak boleh dipinda pada permulaan
bicara di Mahkamah Tinggi. Malangnya, Mahkamah Rayuan memandang
enteng pindaan tersebut yang melibatkan masa bertahun semata-mata
kerana bersandarkan kes Hussin b Silit V PP (1998) yang melibatkan
masa setengah jam sahaja. Telahan sebegini dikira hujah seadanya,
betapa pun rapuh, remeh dan dangkal.
Mahkamah
Rayuan meremehkan tuduhan ke atas kedua pendakwa kanan yang terlibat
dalam perkara jenayah, memperolehi keterangan palsu. Keputusan sebegini
tercemar kerana mengingkari ketetapan Mahkamah Persekutuan. Bahkan
afidavit dan keterangan Peguam Manjeet Singh Dillon ditolak sebagai
“ pendapat dan rumusannya sendiri”. Sekali lagi ini bertentangan
dengan keterangan sahih anakguamnya Nalakaruppan yang enggan berbohong
dengan mencipta keterangan palsu sepertimana dikehendaki Pendakwa.
Mahkamah Rayuan memutarbelitkan lagi dengan pandangan bahawa percubaan
mengada-adakan nama perempuan tidak berkaitan dengan kes ini. Adalah
dikesalkan apabila Hakim-Hakim sengaja menyimpang dari persoalan
utama yang diketengahkan yakni, percubaan Pendakwa memperoleh keterangan
palsu. Seolah-olah tercerna muslihat dilindungi Pendakwa dalam kesalahan
jenayah mereka merekayasa keterangan dan ugutan mengenakan hukuman
gantung ke atas Dato’ Nala sekiranya enggan berbuat demikian. Apabila
pegawai polis atau Pendakwa terlibat dalam kegiatan curang sedemikian,
Hakim-hakim sewajarnya prihatin dan bertindak menurut lunas undang-undang.
Jika tidak, siapa lagi yang diharapkan untuk mengawal pengawal-pengawal
sedemikian?
Quis
Custodiet ipsos Custodes?
Setelah meneliti penghakiman
dan menyingkap peristiwa sejak 1998, maka lebih terserlah gambaran
tentang perencanaan tindakan dan hukuman ke atas saya. Hakim Augustine
Paul dipilih khas untuk mengendali kes saya, dengan mengenepikan
Hakim Kanan lainnya. Inilah julung-julung kalinya dalam perbicaraan
jenayah di mana saksi-saksi pembela diketepikan, keterangan dimansuhkan,
ugutan menjadi senjata. Kepetahan Hakim menjurus kepada ungkapan
“tidak relevan” menyebabkan ramai kalangan memberikan jolokan Mahkamah
tidak relevan. Inilah yang mendorong Peguam-peguam saya mengungkit
isu mala fide, niat buruk Hakim sejak awal lagi dan kemudian memohon
supaya beliau mengundur diri dari menjadi Hakim dalam kes tersebut.
Pendeta
Kresten Augustine memberikan panduan audi partem alteram , kesediaan
mendengar pandangan pihak lain untuk menjamin keadilan. Beliau menambah
bahawa menolak kebenaran merupakan kerja curang; dan “seandainya
keadilan pupus dan dirampas, pemerintah menjadi perompak besar”.
Hakim
Ariffin Jaka diperhatikan cenderung melemparkan kata-kata kesat
dan mudah sekali melenting , mengenepikan prasyarat Hakim seperti
yang disimpulkan oleh filasuf Socrates; iaitu :
“…mendengar
dengan teliti , menjawab dengan bijaksana, mempertimbang dengan
tenang dan membuat keputusan secara saksama.”
Prasangka
Hakim jelas tatkala saya mengemukakan pandangan, di antara lain
menukil pesanan Saidina Ali bin Abi Talib kepada Gabenor Mesir,
Malek Ashtar mengenai keadilan , beban pembuktian, syarat dan peranan
qadi atau hakim maksud saksi yang fasiq. Beliau menepik menyatakan
soal syariah, Mahkamah Syariah dan Prinsip Islam tidak ada kaitan
sama sekali dengan perbicaraan. Saya lantas menyampuk menegaskan
bahawa semua pengalaman perundangan dapat dimanfaatkan dalam usaha
mencari keadilan, termasuk kes Inggeris dan India Common Law Inggeris
serta pandangan pemikir Barat, mengapa pula harus diresahkan sebaik
dinukil pengalaman Islam?
Seharusnya
kita merenung perintah Allah swt yang berfirman: (maksudnya):
“Janganlah
kebencian kamu terhadap suatu golongan menjadikan kamu tidak adil”.
(Al Maidah: 8 )
Atas pertimbangan fakta-fakta
dan urutan peristiwa inilah, maka saya enggan membuat kenyataan
merayu ihsan Hakim meringankan hukuman. Apabila undang-undang diremehkan
, hujah kukuh dipinggirkan ditambah dengan keyakinan saya bahawa
skrip disediakan buat Hakim, maka saya hanya berupaya menggunakan
hak menyatakan pendirian. Hakim-Hakim berikutnya menggunakan kenyataan
tersebut untuk menegur saya tanpa merujuk kepada intipati isu perundangan
dan keadilan yang dikorbankan.
YAA
Tan Sri,
Sejak awal telah saya tegaskan
bahawa saya tidak bersalah dan menjadi mangsa percaturan politik
penguasa. Dalam kemelut sebegini yang melibatkan Perdana Menteri
dengan kuasa mutlak, adalah sukar untuk saya mimpikan proses keadilan
biasa. Tempiasnya turut memalitkan institusi atau badan kehakiman.
Perkara ini turut saya sentuh dalam kedua-dua kenyataan di hadapan
Hakim Mahkamah Tinggi dan berikutnya di Mahkamah Persekutuan di
hadapan Tun Dzaidin Abdullah, selaku Ketua Hakim Negara ketika
itu. Kemunculan Tun Dzaidin dikira menyegarkan berikutan terhakisnya
keyakinan awam terhadap badan kehakiman. Malah beliau mengeluarkan
kenyataan mengenai hasratnya memulihkan imej badan kehakiman. Ia
terbukti sebagai retorik kosong dan harapan menyaksikan perubahan
positif turut berkecai.
Pandangan saya yang lebih
menyeluruh mengenai kegawatan dalam badan kehakiman, terutama dipuncak,
dipundak Jabatan Ketua Hakim Negara ialah tatkala membuat permohonan
agar Tun Eusoff Chin selaku Ketua Hakim Negara ketika itu mengundurkan
diri sebagai Hakim dalam kes saya. Saya mengemukakan alasan kukuh
mengenai tuduhan rasuah, teguran hakim kanan, laporan Hakim Kanan
kepada Perdana Menteri serta laporan badan kehakiman antarabangsa.
(Saya sertakan kenyataan di Mahkamah Persekutuan bersama kenyataan
lain di Mahkamah lain sebelumnya secara berasingan untuk perhatian
Tan Sri).
Saya memilih untuk menulis
dan memohon pertimbangan Tan Sri kerana yakin dengan hasrat bersama
mempertahankan prinsip perlembagaan , keluhuran undang-undang dan
bahawa badan kehakiman merupakan benteng keadilan terakhir. Ia
memerlukan kecekalan dan iltizam untuk memulihkan badan murni ini
supaya bebas dan berwibawa. Dalam suasana mendung yang lama menyelubungi
sinaran keadilan, saya dengan setulus hati sedar akan kerumitan
memperolehi keadilan. InsyaAllah, dengan iklim yang berubah dan
semangat kebebasan terserlah , kita akan dapat menyaksikan perubahan
yang lebih meyakinkan.
Adalah
diharapkan beberapa permohonan bersabit tarikh ulang-bicara, rayuan
dan juga keputusan ikat jamin tidak dilengahkan.
Kesudian
Tan Sri menimbangkan hasrat yang tertera dalam warkah ini amat dihargai.
Terima
kasih.
Semoga
Allah swt memberikan kekuatan dan petunjuk.
Wasssalam.
|