Seruan Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 12:51 AM

Di sebalik mata lebam Anwar dan menara berkembar

Oleh:  Aman Rais

Ada dua baris ayat dari mulut Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang akan sentiasa dikenang oleh penulis. Pertama: “Anwar mungkin mencederakan dirinya sendiri…” dan kedua:

“Mereka mempunyai satu tetapi kita ada dua bangunan tertinggi di dunia…menara berkembar…”.

Baris ayat pertama diluahkannya pada 1998 bagi mengulas sebab musabab mata lebam bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ayat kedua dilontarkannya baru-baru ini di hari terakhir Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) bagi mengulas kejayaan Taiwan mendirikan bangunan tertinggi di dunia yang baru, mengatasi Menara Petronas.

Kedua-dua komentar Dr Mahathir itu mempunyai mesej dan agenda yang tersendiri. Ia mengandungi unsur sinis, marah dan ego yang memperlihatkan watak dan pendirian Wira Negara Membangun itu.

Tiada siapa yang mengikuti konflik Mahathir-Anwar pada 1998 hingga sekarang, boleh melupakan ulasan Dr Mahathir mengenai mata lebam Anwar . Ia telah membangkit kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap beliau.

Kenyataan ringkas Dr Mahathir itu dilihat sebagai sombong dan tidak bertanggungjawab. Ia langsung tidak menunjukkan peribadi orang Melayu yang sering bersimpati dengan kesusahan yang dialami orang lain.

Malah ada yang menuduh beliau bersekongkol atau menjadi dalang tragedi mata lebam itu. Namun bagi sesetengah orang, jawapan spontan Dr Mahathir terhadap isu mata lebam itu tiada salahnya.

Mata lebam

Ia sesuai dan wajar dengan keadaan ketika itu. Hubungan kedua-dua pemimpin sedang tegang. Suasana politik juga sedang panas. Semua pihak berburuk sangka antara satu sama lain. Jadi tidak menghairankan kalau Dr Mahathir tergamak menuduh Anwar mencederakan diri sendiri bagi meraih simpati.

Beliau sedar Anwar adalah seorang politikus yang licik dan pintar. Dr Mahathir sedar, sebagaimana dirinya yang kaya dengan kejutan, Anwar juga mampu memberikan kejutan kepadanya.

Oleh itu, adalah tidak mustahil kalau pada ketika yang terdesak itu, Anwar melebamkan matanya sendiri bagi meraih simpati. Ini adalah politik, tiada yang mustahil dalam sepak terajang politik terutama di negara "Malaysia Boleh ".

Bagaimanapun, akhirnya kita tahu siapa sebenarnya yang melebamkan mata Anwar. Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor telah mengaku di mahkamah bahawa dia yang memukul Anwar semasa dalam tahanan di Bukit Aman. Semuanya konon gara-gara Anwar memanggil beliau ‘anjing’. Beliau telah dihukum tiga bulan penjara.

Selesai episod mata lebam Anwar itu. Namun, kesannya kepada Dr Mahathir cukup panjang. Mata lebam Anwar telah "melebamkan" sejarah politik Dr Mahathir dan Umno. Peristiwa itu juga telah "melebamkan" demokrasi di Malaysia. Dan yang paling penting ia mengubah lanskap politik negara. Sejarah politik Dr. Mahathir pastinya lebih gemilang jika tidak berlaku tragedi mata lebam itu.

Berbalik kepada kenyataan Dr Mahathir di sidang akhbarnya pada 17 Oktober lalu, hari terakhir sidang OIC, Dr Mahathir dengan sinis sambil berseloroh berjaya mempertahankan maruah dan kelebihan negara. Jawapan beliau nampak mudah, namun sebenarnya tidak ramai di antara kita pernah terfikir untuk menjawab seperti itu seandainya dilontar pertanyaan yang sama.

Menara kembar

Wartawan agensi berita AP yang meminta Dr.Mahathir mengulas tentang kemunculan bangunan tertinggi di dunia yang baru di Taipeh turut tergamam dan seperti diperbodohkan oleh jawapan licik tersebut.

"Mereka ada satu bangunan tertinggi tetapi kami ada dua, kembar pulak tuuuu…" Itulah jawapan Dr Mahathir sambil ketawa kecil dan tersenyum puas. Kesimpulannya, rekod bangunan kembar tertinggi di dunia, masih milik Malaysia!

Sebaris jawapan Dr Mahathir itu telah mengecewakan pihak-pihak yang iri hati dengan kejayaan negara. Tidak banyak negara dan pihak yang selesa dan berasa senang apabila Malaysia terus memegang rekod tertinggi, terpanjang, terbesar dan pelbagai " ter…" lagi sejak sedekad lalu.

Kemampuan mempertahankan rekod tertinggi Menara Petronas itu adalah suatu yang simbolik. Di menara berkembar itu disandarkan agenda, cita-cita dan wawasan negara. Dan di puncak menara itu juga terletaknya ego dan cinta manusia yang mengilhamkan pembinaannya.

Menara berkembar tertinggi di dunia itu juga merupakan lambang kerja keras Dr Mahathir memajukan Malaysia. Buktinya, sehingga ke hari-hari terakhirnya sebagai perdana menteri Malaysia yang kelima, Dr Mahathir masih berkerja kuat.

Lawatan

Bulan Oktober yang menjadi bulan terakhir baginya, telah menjadi bulan paling sibuk sepanjang kariernya sebagai pemimpin nombor satu negara. Kalau orang atau pemimpin lain, mungkin mereka sudah bercuti rehat sementara menunggu hari pencen.

Pada awal bulan Oktober, perdana menteri menghadiri sidang kemuncak Asean terakhirnya di Bali. Selepas itu, selama tujuh hari beliau bertungkus lumus di sidang kemuncak OIC, kemudian terbang ke Bangkok menghadiri sidang kemuncak Apec, sebelum berlepas ke Indonesia, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Kerjaya politiknya penuh warna-warni, penuh kontroversi di dalam negeri atau di pentas antarabangsa. Beliau mungkin manusia paling dibenci oleh orang Yahudi di Amerika dan Israel sekarang. Beberapa minggu sebelum menuruni takhtanya, beliau menggemparkan dunia dengan ucapan kontroversi mengenai Yahudi.

Itulah Dr Mahathir, tidak pernah kering dengan idea dan kontroversi. Beliau juga tidak mengenal penat lelah. Beliau pastinya layak dimasukkan ke dalam Guiness Book of Record sebagai pemimpin negara yang paling banyak melawat negara asing sepanjang tempoh berkhidmatnya.

Oleh itu, walau bagaimana sekalipun anda membenci atau berbeza pendapat dengan beliau, tiada siapa boleh menafikan ‘sumbangan besarnya’ pada negara. ‘Negarawan’ seperti beliau tidak muncul selalu. Mungkin lagi 100 tahun baru muncul Mahathir yang kedua.