Seruan
Keadilan Online - Wednesday, December 10, 2003 12:53 AM
Pulihkah
Umno selepas Mahathir berundur?
Oleh
Ahmad Lutfi Othman
Petang
Jumaat [31 Oktober 2003] lalu, saya tidak sempat mengikuti dari
awal siaran langsung melalui tv proses peralihan kuasa di Istana
Negara. Sebaik saja siri drama Filipina “Pangako Sa Yo” yang memaku
tumpuan isteri saya berakhir di TV2, barulah saya dapat menukar
siaran.
TV3
rupanya mengundang tiga penalis khas membicarakan detik penting
persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlantikan Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima. Pandangan bekas(?)
seteru ketat Mahathir, Shahrir Samad menarik perhatian saya.
Bekas
menteri yang dipecat Mahathir selepas pemilihan bersejarah Umno,
April 1987 itu (bersama-sama pimpinan Team B, seperti Pak Lah dan
Ajib Ahmad, selepas Ku Li dan Rais Yatim berundur secara terhormat)
menyifatkan, biar betapa marahnya orang Melayu terhadap ketua mereka,
proses pertukaran kepimpinan tetap dilakukan secara tertib dan sopan,
tidak menyimpang dari tradisi.
Beliau
merujuk kes Almarhum Tunku Abdul Rahman yang terpaksa meletakkan
jawatan ekoran desakan orang Melayu dan sebahagian pemimpin Umno
sendiri, lanjutan tragedi 13 Mei. Katanya, Tunku hanya berundur
dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada timbalannya, Tun Razak,
selepas keadaan kembali tenang, bukannya semasa tuntutan agar beliau
menarik diri lantang disuarakan.
“Undur,
undur Mahathir!”
Tidak
dapat dipastikan motif Shahrir mengimbau peristiwa lama itu (sambil
menekankan beliau turut sama dalam demonstrasi pelajar menentang
Tunku); apakah ia mahu menyampaikan mesej bahawa persaraan Mahathir
itu ada hubungkait dengan tuntutan reformasi 1998, “undur, undur
Mahathir!”
Selain
dikenali sebagai “budak Musa”, Shahrir diingati kerana tindakan
nekadnya meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, dan
bertanding semula dalam pilihanraya kecil, Ogos 1988, bersimbolkan
‘tiga kunci’ seterusnya menang besar (63.57 peratus undi; majoriti
12,595 sedangkan pada 1986 hanya 2,235 undi)) mengalahkan calon
BN, Mas’ud Abdul Rahman.
Tindakan
kontroversinya tidak berakhir di situ. Oktober 1988, Parlimen kecoh
bila Shahrir melakukan protes seterusnya. Beliau menolak untuk mengangkat
sumpah di depan Speaker Zahir Ismail kerana pembabitannya sebagai
ahli tribunal yang mengusulkan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Salleh
Abas dipecat Yang di-Pertuan Agong.
Tentunya
tidak terlintas pada pemikiran ramai bahawa persaraan Mahathir mengulangi
perletakan jawatan Tunku 33 tahun dulu. Tunku dilihat tidak popular,
dalam dan luar parti, juga termasuk di kalangan kakitangan awam,
manakala perisytiharan Mahathir untuk berhenti 16 bulan lalu disambut
dengan jerit-tangis, malah ada yang seperti disampuk histeria.
Dunia
Islam perlukan Mahathir?
Manakala
suara Mahathir di pentas antarabangsa terus lantang. Kritikannya
terhadap Yahudi semasa merasmikan sidang kemuncak OIC mengundang
kemarahan Barat. Digambarkan bukan saja negara memerlukan kepemimpinan
Mahathir, malah dunia Islam bagai tidak rela dengan kehilangannya.
Memang
tiada kayu pengukur sahih untuk menyukat apakah rasa marah orang
Melayu terhadap Mahathir - yang memuncak selepas bekas timbalannya,
Anwar Ibrahim dipecat - kini telah kembali reda. Umum menerima,
termasuk ahli-ahli dan pimpinan Umno sendiri, hakikat kemerosotan
undi Umno dalam pilihanraya 1999 banyak difaktorkan oleh kemarahan
pengundi Melayu kepada tindak-tanduk Mahathir.
Ketua
Pengarang Kumpulan NST, Abdullah Ahmad pernah mendedahkan bahawa
bekas menteri, Anuar Musa, yang juga ahli MKT Umno, secara terbuka
meminta Mahathir berundur sebagai memikul tanggungjawab di atas
‘kekalahan’ Umno. Di peringkat bahagian, agak ramai juga yang membuat
desakan serupa di peringkat awal tetapi kemudiannya menyepi bila
melihat tindak-balas Mahathir.
Jika
Anwar tidak ditahan ISA
Saya
suka membayangkan, jika Anwar tidak dikurung ISA selepas ditangkap
oleh sepasukan polis bersenjata berat di rumahnya, juga tidak ditumbuk
separuh mati oleh bekas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, dan tiada
operasi KDN untuk menahan borong penyokong bekas TPM itu, mungkin
keadaan yang dideritai Mahathir jauh lebih buruk berbanding Tunku
dahulu.
Masakan
tidak, tanpa kehadiran Anwar berkempen di khalayak, apatah lagi
untuk mengetuai barisan pembangkang dan merencana strategi terbaik
berdepan BN, statistik yang tidak pernah disanggah ialah, dalam
setiap sepuluh orang Melayu, hampir tujuh darinya menolak Mahathir.
Dalam
surat terbuka Mahathir kepada Tunku, bertarikh 17 Jun 1969, yang
disebarkan di seluruh negara, beliau mencatatkan (dengan mengekalkan
tulisan asalnya): “Orang2 Melayu dalam Civil Service, dari Perm.
Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak lagi ada
kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka
sokong PAS dalam undi pos.
“Pegawai
Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada Kerajaan
oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri.
Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak diingini oleh mereka saya perchaya
mereka tidak akan menurut parentah Tunku.
“…
Patek berharap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata
“satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya.” Ta’akan
yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek
ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar iaitu
masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi Perdana Menteri
dan ketua Umno.”
Orang
Melayu tolak Mahathir
Cuba
kita teliti kenyataan tersebut; apakah ia tidak mengulangi senario
yang dihadapi Mahathir, khususnya selepas September 1998? Bukankah
sebilangan besar kakitangan awam menolak Mahathir sehingga pelbagai
langkah dibuat, termasuk memaksa mereka menandatangani ‘surat aku
janji’, membatalkan kuliah-kuliah agama dan tidak membenarkan akses
kepada laman-laman reformasi semasa di pejabat?
Malah,
demonstrasi hujung minggu di Jalan Tunku Abdul Rahman jauh lebih
hebat berbanding protes mahasiswa terhadap pemerintahan Tunku dulu.
Jika pelajar tidak diikat dengan Akta Universiti, sudah pasti Mahathir
tidak dapat melelapkan mata walaupun sedetik!
Soal
sokongan dan kecenderungan anggota tentera kepada tuntutan reformasi
dan Barisan Alternatif bukan rahsia lagi. Ada di antara mereka turut
ditahan kerana terbabit dengan tunjuk perasaan. Difahamkan pihak
kerajaan pernah berbincang serius dengan para jeneral di Kementah
mengenai fenomena itu. Khabarnya, antara tindakan awal ketika itu
ialah tidak membenarkan anggota tentera keluar ke Kuala Lumpur,
khususnya sekitar Chow Kit dan Jalan TAR!
Mahathir
patut bersyukur, walaupun ada nasihat yang diberikan kepada Tunku
supaya beliau ditahan ISA selepas dipecat dari Umno, namun Tunku
masih dapat bersikap terbuka. Tetapi, perhatikanlah bagaimana Mahathir
melayani seteru politiknya dalam Umno, bermula cabaran Ku Li dan
Team B, sehinggalah kepada Anwar. Saya tidak jemu-jemu untuk mengulangi:
“Kalau parti sendiri pun sanggup diharamkannya, apa lagi tindakan
represif yang lain …”
Langkah
pencegahan Mahathir dalam Umno
Mahathir
sebenarnya tidak sanggup menunggu lebih lama untuk bertindak ‘ganas’
jika Anwar mencabarnya dalam pemilihan Umno berikutnya. Bukankah
sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, Mahathir cukup arif dengan langkah-langkah
pencegahan awal?
Satu
ketika beliau membayangkan: “Kalau Anwar mencabar saya dan saya
kalah, tidak mengapa. Saya telah menjadi PM berbelas tahun. Tapi
bagaimana kalau Anwar pula yang kalah?”
Dalam
pada itu, ada pihak mempersoalkan hujah Mahathir bahawa persaraannya
dibuat selepas beliau dapat mengembalikan Umno ke landasan asalnya.
“Selagi pilihanraya belum diadakan, apa yang dikatakan Umno telah
pulih itu tidak dapat dipastikan lagi. Jika keputusan pilihanraya
kecil dijadikan sandaran, tiada petunjuk jelas darinya, malah sokongan
terhadap pembangkang seperti tidak berubah. Di Lunas, pembangkang
mencetuskan kejutan,” kata seorang aktivis keADILan.
“Yang
lebih mudah diterima akal, Umno mungkin cepat pulih selepas Mahathir
tidak lagi memimpinnya. Sekurang-kurangnya punching bag pembangkang
tak ada lagi,” tambahnya. “Kawan-kawan dalam Umno sendiri mengakui
hakikat itu. Tanpa Mahathir mereka berasa lebih selesa untuk mendapatkan
semula sokongan orang Melayu.”
Justeru,
ada berpendapat jika benar Mahathir akan terus aktif berkempen untuk
BN dalam pilihanraya akan datang, ia dianggap bonus buat pembangkang,
khususnya PAS dan keADILan!
“Tapi
aku percaya Pak Lah pasti akan membataskan pergerakan Mahathir nanti,
terutama di kawasan majoriti Melayu,” sambut seorang teman bila
ditanyakan kemungkinan Mahathir dilantik penasihat kempen BN Kedah.
Spesis
diktator terakhir
Apa
pun, semuanya kini menjadi sejarah. Mahathir, sama ada dibenci atau
dirindui, telah pergi dan berjanji untuk tidak menganggu penggantinya.
Mungkin ramai tidak bersetuju dengan tanggapan media asing yang
mengalu-alukan persaraan Mahathir sambil menyifatkan beliau spesis
terakhir diktator rantau ini, selepas Marcos, Suharto dan Lee Kuan
Yew berundur.
Tetapi
ramai yang lega apabila pemerintahan one-man show ini berakhir.
Dari satu segi, mungkin dapat diterima pandangan bahawa “Malaysia
telah dikembalikan kepada rakyatnya” selepas hanya ditentukan oleh
Mahathir. Dulu Mahathir pernah dikritik Musa kerana meninggalkan
pandangan Kabinet, sebaliknya hanya merujuk kepada ‘kitchen cabinet’
AIDS (Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi).
Selepas
Sanusi tersisih ke Kedah, Anwar dipecat, Daim dikembalikan sebagai
Menteri Kewangan, maka Mahathir-Daim saja yang menentukan segalanya.
Tidak lama selepas itu, krisis Mahathir-Daim tercetus dan Daim (bersama-sama
para kroninya) terpelanting pada 2001.
Maka
kembalilah Mahathir keseorangan, dengan merangkul jawatan Menteri
Kewangan dan Bendahari Umno, sesuai dengan hobinya, bertukang kayu
dan memandu pesawat, yang menjelaskan minatnya untuk melakukan sesuatu
secara solo.
Terasingnya
mahligai Putrajaya bukan semata-mata disebabkan gah binaannya, tetapi
lebih berpunca dari perwatakan penghuninya. Kehadiran Pak Lah diharap
dapat mengubah ‘ketandusan’ itu.
Insya-Allah,
dalam tulisan berikutnya, saya akan cuba 'membayangkan' bagaimana
rupabentuk Malaysia selepas dikembalikan kepada rakyatnya.
|