Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:04 PM

Penolakan oleh Mahkamah Rayuan

Keputusan penuh muslihat dan tipu helah - Anwar

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan bertulis Mahkamah Rayuan emengandungi unsur-unsur tipu helahf.

Kenyataan tersebut dikeluarkan melalui peguam beliau, Sankara N Nair pada 3 Oktober 2003 lalu.

Anwar mengulas keputusan bertulis oleh hakim P.S.Gill, Richard Malanjum dan Hashim Yusoff  21 Ogos 2003 lalu yang menolak rayuan beliau. 

Keputusan lisan penolakan tersebut telah dibuat pada 18 April 2003 lalu.

Anwar bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Ariffin Jaka terhadap mereka di bawah 337 B Kanun Seksaan.

Anwar berkata, setelah diteliti penghakiman bertulis penolakan rayuan beliau oleh hakim-hakim berkenaan, ia langsung tidak mempunyai hujah perundangan.

"Malah ia juga mengandungi unsur muslihat, tipu helah dan sesungguhnya satu penghinaan kepada kebenaran," kata beliau.

Anwar  juga menyelar apa yang didakwa eperbuatan aibf oleh mahkamah sebagai muslihat agar umum mempercayai bahawa beliau tidak mengemukakan perkara asas rayuan.

"Sedangkan notis alibi di bawah 337 B Kanun Seksaan telah difail oleh peguam saya seperti mana sepatutnya malah pihak pendakwa mengakui kesannya. Ini adalah rekod awam yang tidak boleh dipadamkan," tegas Anwar.

Anwar mendakwa, alasan mahkamah melakukan ini adalah jelas untuk menafikan hak perundangan beliau.

"Saya berani katakan, hakim-hakim secara tidak sopan melanggar batas perundangan - untuk membenarkan alasan bagi menjerumuskan diri dalam helah perundangan," tambah beliau.

Anwar juga mendakwa, Mahkamah Rayuan dengan sengaja mengenepikan faktor pelanggaran hukum yang jelas dalam hal di mana hakim Mahkamah Tinggi telah bekerjasama dengan pendakwa untuk "meracuni keadilan".

Menurut Anwar, kenyataan positif hakim-hakim berkenaan mengenai peranan dua pendakwa (Gani Patail dan Azhar Mohammad) yang memalsukan bukti untuk menghukum beliau adalah menyedihkan.

Sebagai catatan, dalam perbicaraan kes Anwar sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mendapati Gani dan Azhar bersalah, dan diputuskan bahawa hakim (Augustine Paul) bertindak sebagai hakim dan pendakwa.

"Mana-mana hakim yang dihormati akan meneliti dua kenyataan tersebut dengan penuh perhatian," kata Anwar.

Anwar seterusnya menyentuh isu lain yang menjolok mata, yang diketepikan di mana secara langsung mencerminkan ketidakadilan, antara lain termasuk puluhan percanggahan dan kenyataan tidak konsisten pihak pendakwa.

Begitu juga tindakan tidak adil pendakwa yang beberapa kali menukar tarikh pertuduhan (yang mana hakim kemudiannya membenarkan), kurangnya kewibawaan saksi utama, Azizan Abu Bakar serta percanggahan beberapa kali kenyataannya.

Begitu juga fakta bahawa Hakim Ariffin Jaka (hakim bicara) yang menolak untuk menarik diri selepas bukti dikemukakan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat Dataprep Berhad, di mana anak Perdana Menteri Mirzan Mahathir adalah pemegang saham utamanyanya.

Anwar juga menyentuh mengenai sikap kasar Ariffin.

"Secara kasar hakim tersebut mengarahkan dan menghukum saya dengan hukuman keras (biasanya tertuduh dibawah Seksyen 2 Ordinan 22 dihukum tidak melebihi dua tahun)," katanya.

Ariffin juga mengarahkan hukuman dijalankan bermula tarikh hukuman, bukan bermula daripada tarikh penahanan.

"Ini adalah sangat luar biasa. Walau pun dengan fakta-fakta yang dikemukakan ini, hakikat bahawa saya tetap didapati bersalah mengukuhkan kenyataan bahawa episod ini dirancang semata-mata untuk memastikan karier politik saya musnah," kata Anwar.

"Salahkah persepsi umum menyatakan bahawa hakim-hakim ini, termasuk Ariffin dipilih khusus (untuk menghukum saya). Mereka kini diberi hadiah kenaikan pangkat secara tidak adil dengan mengenepikan kewibawaan kebebasan hakim."

"Adalah menyedihkan hakim-hakim ini menjual diri untuk meraih keuntungan tanpa menyedari mereka akan di soal jawab suatu hari nanti!" katanya.