Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:14 PM

Delegasi keADILan jalin hubungan politik di Jerman

Delegasi keADILan yang terdiri daripada Dr.Xavier Jayakumar, Fuziah Salleh, Ir Sahri Bahari dan Low Chee Cheong telah berkesempatan menyertai rombongan Barisan Alternatif (PAS dan PRM), termasuk DAP ke Jerman pada 6 hingga 13 September 2003 lalu.

Program anjuran Friedrich Naumann Stiftung itu adalah dalam rangka menjalin hubungan dua hala antara parti pembangkang Malaysia dan Jerman di samping meninjau sistem politik nasional Jerman.

Wacana dan dialog diadakan di beberapa buah bandar, termasuk Cologne, Bonn, Duseldorf, Potsdam dan Berlin.

Program lapan hari yang disusun rapi oleh pihak penganjur juga diisi dengan wacana dan dialog mengenai peranan parti pembangkang dalam mewujudkan proses demokrasi yang sihat di samping memperkukuhkan aspirasi masyarakat madani.

Program yang berbentuk interaktif telah membawa para perserta meninjau mekanisme peranan pembangkang di pelbagai peringkat, di antaranya Majlis Perbandaran, Dewan Undangan Negeri dan juga peringkat Parlimen.

Delegasi keADILan juga berkesempatan menerangkan secara terperinci mengenai situasi politik tanah air dan juga isu kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Banyak isu-isu semasa global juga diperbincangkan termasuk isu terorisme, pencerobohan Amerika terhadap Iraq dan konflik Timur Tengah.

Secara keseluruhannya program ini amat berkesan dan berjaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala parti-parti pembangkang kedua-dua buah negara di samping memberikan petunjuk-petunjuk penting mengenai peranan parti pembangkang dalam memperjuangkan hak demokratik, sistem demokrasi yang sihat serta usaha pengukuhan masyarakat madani.