Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:15 PM

Niat Jahat UMNO-BN hapuskan nama (KeADILan)

Tidak puas dengan mencuba untuk menggugurkan nama/perkataan 'Islam' dalam nama Parti Islam SeMalaysia (PAS), kini pihak UMNO dan BN telah merencana satu niat baru mereka untuk menghapuskan nama atau perkataan 'Keadilan' dalam nama Parti Keadilan Rakyat atau nama singkatannya adalah (KeADILan).

Perkara ini dinyatakan sendiri dalam surat yang diserahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sendiri kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

Jelas surat tersebut adalah penggunaan perkataan keadilan adalah tidak sesuai dengan parti tersebut dan parti keadilan rakyat dikehendaki mencari nama baru atau nama lain yang tidak menggunakan perkataan keadilan. Bukan sahaja singkatan (KeADILan) yang tidak boleh digunakan malahan nama Parti Keadilan Rakyat itu sendiri perlu diubah.

Perkara ini membuktikan bahawa UMNO dan BN gentar dengan agenda 'keadilan' yang menjadi teras perjuangan 'KeADILan' dan PRM sebelum ini. Mereka sanggup menggunakan segala jentera yang ada pada mereka untuk menghapuskan seteru mereka yang dianggap sebagai ancaman buat kedudukan mereka bagi mengekalkan kuasa demi meneruskan agenda penyelewengan kuasa, rasuah, kronisma, nepotisma dan lain-lain lagi.

Kalau dulunya mereka cuba untuk menghancurkan PAS dengan membuang nama 'Islam' dalam parti tersebut. Namun dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang tidak bersetuju dengan perkara itu telah memenangkan PAS dalam isu berkenaan. Ini merupakan satu tamparan hebat buat UMNO dan BN akan kuasa mereka yang gagal melanjutkan isu terbabit.

Kini isu yang hampir sama digunakan sebagai agenda jahat mereka. Adakah kita mahu bawa semula perkara seumpama ini kepada Majlis Raja-raja Melayu atau kepada Dewan Bahasa dan Pustaka? Apakah rasionalnya mereka UMNO dan BN menyatakan alasan perkataan 'Keadilan' tidak sesuai digunakan? Adakah mereka gentar dengan nama dan semangat keadilan yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat. Atau mereka sendiri kini sedar bahawa perjuangan UMNO dan BN kini sudah tidak ada nilai keadilan lagi kepada rakyat di negara ini. Sebab itu mereka takut.

Mereka takut? Tapi mengapa ketika sehari selepas Majlis Pelancaran Parti Keadilan Rakyat kebanyakan pemimpin-pemimpin mereka membuat kenyataan takbur bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah gabungan dari dua parti yang tidak kuat yang menunggu masa untuk terkubur. Kalau mereka kata tidak kuat mengapa mereka harus takut hanya pada namanya 'Keadilan' sahaja. Jadi kita harus renung-renungkan dan fikir-fikirkan.

Gagasan Parti Keadilan Rakyat diilhamkan semenjak tahun 1999 lagi dan permohonannya telah dibuat hampir setahun yang lalu dengan beberapa pindaan perlembagaan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia namun kelulusan penubuhannya masih dilewat-lewatkan oleh ROS. Persoalannya mengapa ROS sengaja melambat-lambatkan kelulusan penubuhannya. Siapakan dalang yang menyeru agar ROS menangguhkannya? Kalau mereka kata mereka kuat mengapa mereka tidak membenarkan (KeADILan) menggunakan lambang baru dalam pilihanraya yang akan datang. Wahai rakyat Malaysia, Hakim Negara, fikirkanlah sendiri Siapa yang kuat dan siapa yang lemah sebenarnya?

Asfan Ahmad Hisyam

P41-Warga Parlimen Gombak