Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:18 PM

Pihak universiti mencabuli pilihanraya kampus

Sebuah organisasi gabungan pelajar dan hak asasi telah mengemukakan bantahan kepada pihak berkuasa di enam universiti di seluruh negara dengan mendedahkan kepada umum senarai pegawai penguatkuasa universiti yang terlibat di dalam pilihanraya kampus yang telah diadakan baru-baru ini.

Di dalam satu sidang akhbar, gabungan tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Jerit, mendakwa bahawa pihak berkuasa kampus telah melanggar peraturan-peraturan  pilihanraya dengan menggertak pengundi-pengundi dan menghalang beberapa calon daripada bertanding untuk jawatan pertubuhan pelajar.

Tuduhan pencabulan tersebut telah ditujukan kepada pihak berkuasa dari enam universiti utama awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kumpulan tersebut mendakwa bahawa pengundian kampus baru-baru ini di mana ianya diadakan serentak di seluruh negara pada 4 September 2003 telah dicemari oleh pengaruh politik dari luar dan politik wang dan perkara ini dibiarkan sahaja oleh pihak universiti.

Meskipun kempen besar-besaran oleh pelajar-pelajar ‘pro-kerajaan’, yang didakwa telah turut disokong oleh pihak berkuasa kampus, pelajar-pelajar yang ‘pro-pembangkang’ masih dapat mempertahankan kedudukan mereka di UM, USM dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Mereka juga berjaya mempertahankan kuasa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kumpulan Jerit juga turut mendedahkan bahawa calon-calon ‘pro-kerajaan’ di UKM telah didakwa menerima ganjaran RM 1,000 dan telefon bimbit daripada Pemuda Umno untuk pencalonan mereka di dalam pilihanraya kampus.

Bahkan Menteri Pendidikan, Musa Mohamad telah memberi ucapan di universiti tersebut pada 29 Ogos 2003, iaitu seminggu sebelum pilihanraya diadakan, di mana ucapannya “berbunyi seperti beliau sedang berkempen untuk calon-calon ‘aspirasi’ [pro-kerajaan],” kata Chang Lih Kiang, seorang wakil daripada Jerit.

“Kami tidak memiliki sebarang dokumentasi untuk membuktikan dakwaan kami (iaitu politik wang) kerana resit tidak diserahkan kepada pelajar-pelajar yang menerima wang tersebut.

“Namun, kami telah bercakap dengan mereka yang telah menolak untuk menerima wang tersebut, di mana ia boleh dijadikan sebagai bukti. Nanyang Siang Pau dan Malaysiakini telah juga sebelum ini melaporkan tentang perkara sedemikian,” kata Chang.

Tambah Jerit, Pemuda Umno dan Pemuda MIC juga telah dijemput ke kampus UM untuk menggalakkan pelajar-pelajar mengundi untuk kumpulan ‘pro-kerajaan’.