Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:19 PM

Rintihan anak tahanan ISA

“Kadang-kadang Along kasihan tengok adik-adik kat rumah.  Dia orang kat rumah tak makan nasi pun, kalau makan pun jarang-jarang…Sebab tu bila Along kat asrama nak makan, Along teringat rumah.  Along jarang sekali makan bila memikirkannya.  Pernah sekali Along tak lalu makan 7 hari. Sampai pengsan.”

Begitulah rintihan adik Muslimatul Husna, 14, di dalam surat yang ditulis kepada bapanya Ustaz Moctar Senik yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem tahanan Kamunting.

Ustaz Moctar ditahan pada 13 Julai 2000 kerana dituduh ‘menyampaikan ceramah’ kepada ahli Al Maunah pada Mei 2000.

Pada 29 Ogos 2002, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerintahkan beliau di hantar ke kem tahanan Kamunting untuk ditahan selama dua tahun. 

Ustaz Moctar pernah menyandang beberapa jawatan dalam parti PAS dari tahun 1990 – 1998. 

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ketua Pemuda PAS kawasan Temerloh dan Yang DiPertua PAS Paya Besar.

Isteri beliau, Siti Hajar Md Zain, 31, kini menetap di Kg Kuala Penor, Kuantan.  Mereka mempunyai tujuh orang anak yang berumur di antara 3 hingga 14 tahun.

Seruan Keadilan menyiarkan sebahagian daripada isi surat tersebut bagi memperlihatkan betapa zalimnya penahanan tanpa bicara di bawah ISA yang diamalkan oleh kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN).

ISA bukan sahaja menyiksa jasad dan batin tahanan tetapi juga keluarga mereka.