Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 9:45 PM
BICARA
PRESIDEN
Pendidikan
percuma sehingga peringkat menengah
Kontroversi
pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris sudah reda.
Ianya reda bukan kerana dasar kerajaan tersebut sudah diterima.
Ianya reda kerana rakyat tak mampu menghalang kehendak kerajaan
yang memaksa dasar tersebut dilaksanakan sepantas kilat dengan pengumuman
perbelanjaan RM 5 billion pada tahun lalu. Rakyat hanya tunggu dan
lihat kesan negatif yang sering timbul apabila satu-satu projek
dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Projek
makmal komputer Kementerian Pendidikan merupakan satu contoh bagaimana
kerajaan menolak prosidur pemberian kontrak kerajaan untuk membolehkan
kontrak diberikan kepada kroni. Berlaku juga sikap cemburu di antara
Kementerian Pendidikan yang mengawasi makmal komputer sekolah dengan
Kementerian Kewangan yang merundingkan pemberian kontrak. Peranan
Jabatan Kerjaraya langsung diketepikan untuk membolehkan penyelewengan
dilakukan tanpa teguran. Tempoh kontrak tidak munasabah. Sekiranya
kontrak makmal komputer dirujuk kepada Jabatan Kerjaraya sudah pasti
jurutera JKR dapat mengurus projek secara profesional dan menyelamatkan
wang beratus juta ringgit daripada dibazirkan.
Pada masa lalu, negara mengambil
langkah bijak melabur di bidang pelajaran. Pada tahun 1970-an ramai
penuntut Melayu diberi peluang untuk belajar di dalam dan di luar
negara. Hari ini kebanyakan dari mereka menjadi pentadbir, pengurus
dan profesional di bidang masing-masing. Barisan Alternatif (BA)
mencadangkan setiap anak diberi pendidikan percuma sehingga peringkat
menengah. Bagi anak-anak dari keluarga tidak mampu dicadangkan
supaya dinaikkan pemberian awal tahun untuk memulakan persekolahan
dari RM120 kepada RM200. Selain dari itu tabung biasiswa dan pinjaman
yang mencukupi perlu disediakan untuk melahirkan lebih ramai graduan
di dalam ekonomi berteraskan ilmu.
Pendidikan
merupakan tugas asasi kerajaan. Sejarah pendidikan negara menunjukkan
bentuk pendidikan rasmi yang dianjur oleh kerajaan dan pendidikan
agama dan bahasa ibunda yang diusahakan oleh masyarakat setempat.
Sistem pendidikan sebegini sudah berakar umbi sekian lama. BA mencadangkan
semua sekolah rendah sama ada yang dianjur oleh kerajaan atau sekolah
agama dan bahasa ibunda diberi bantuan kewangan yang saksama. Langkah
kerajaan memberi bantuan sedemikian akan memudahkan usaha mengawas
kurikulum untuk membentuk integrasi nasional.
Kos
mendapat rawatan perubatan telah melambung tinggi. Hakikatnya ialah
kos rawatan bagi beberapa prosidur jauh lebih tinggi di Malaysia
daripada beberapa negara Asean dan Australia. Rawatan di hospital
kerajaan terpaksa menunggu giliran yang lama.
Kos
rawatan bagi prosidur mudah di hospital swasta ialah di antara RM3,000-RM5,000.
Pembedahan memakan belanja RM15,000 – RM30,000. Bagi penyakit kronik
kita biasa dengar kos rawatan sehingga RM200,000 – RM300,000. Bayaran
di Hospital Universiti tidak kurang mahalnya. Ada peneroka Felda
yang di masukkan ke Hospital Universiti dikejutkan dengan bayaran
bil RM15,000 – RM20,000. Murid sekolah dimasukkan ke wad kerana
patah tangan dikenakan bayaran RM500.
Melalui
perbahasan ini [di Dewan Rakyat], saya mencadangkan supaya kerajaan
mengawal kos rawatan dengan meluluskan satu skala bayaran bagi setiap
rawatan dan prosidur.
Di
samping itu kerajaan harus mengawal kos ubat yang dibeli oleh farmasi
kerajaan di mana ada kes kerajaan membayar 300% lebih tinggi daripada
pembelian oleh klinik swasta. Amalan korupsi dan penyelewengan di
dalam pembelian awam nampaknya tidak mengecualikan perkhidmatan
kesihatan.
Saya difahamkan kerajaan
hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan Skim Pembiayaan
Kesihatan Nasional (SPKN) atau National Health Financing Scheme.
Besar kemungkinan ia akan diperkenalkan selepas pilihanraya akan
datang. Skim ini yang melibatkan pembayaran premium insuran kesihatan
akan membolehkan setiap rakyat dijamin rawatan kesihatan pada setiap
masa. Tetapi tidak semua rakyat mampu membayar premium kesihatan
tersebut. Saya mencadangkan supaya potongan statutori EPF dikurangkan
dan amaunnya dicarumkan sebagai premium SPKN. Bagi mereka yang di
bawah garis kemiskinan dicadangkan caruman sifar dari mereka.
Ekonomi
negara digerakkan oleh kedua-dua sektor awam dan swasta. Di dalam
era globalisasi pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa juga
memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara.
Pengalaman
di Malaysia menunjukkan ekonomi negara digerakkan 25% oleh sektor
awam dan 75% oleh sektor swasta. Di dalam sektor awam Kerajaan Persekutuan
dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) masing-masing menyumbang
43% daripada jumlah keseluruhan pelaburan awam. Baki 14% disumbang
oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.
Data
mengenai ‘economic drivers’ ini penting supaya kita dapat memahami
sejauh mana strategi belanjawan negara dapat mempengaruhi kegiatan
ekonomi. Keupayaan strategi belanjawan mempengaruhi kegiatan ekonomi
bergantung kepada berbagai faktor. Adakalanya pengguna dan industri
respon secara berkesan. Adakalanya respon pengguna dan industri
tidak seghairah langkah belanjawan yang diperkenalkan. Ada juga
berlaku seperti di Jepun, pengguna dan industri menjadi lali dan
tidak respon kepada langkah belanjawan dan kewangan. Pakar ekonomi
mengistilahkan fenomena ini sebagai Perangkap Kecairan (Liquidity
Trap). Walaupun kerajaan Jepun memperkenalkan berbagai langkah fiskal
dan kewangan sehingga kadar faedah jatuh pada angka sifar pengguna
dan industri di Jepun tidak bangkit untuk mengulangi kehebatan silam.
Negara
hari ini berhadapan dengan situasi kapasiti berlebihan (over capacity).
Fenomena kapasiti berlebihan ini akan menjadi beban kepada belanjawan
Kerajaan Persekutuan. Sudah wujud kebimbangan tentang beban penyelenggaraan
aset kerajaan dan projek mega pada masa akan datang. Sehubungan
dengan itu, saya bersependapat dengan Kementerian Perumahan bahawa
perlu diwujudkan satu Dasar Negara bagi Pengurusan Aset.
Peruntukan perbelanjaan Pembangunan
RMK 8 sebanyak RM 110 bilion bagi tempoh 2001-2005 telahpun habis
dibelanjakan. Sehingga bajet 2004 kerajaan telah terlebih belanja
hampir 26 bilion. Sekiranya perbelanjaan pembangunan bagi bajet
2005 kekal pada paras RM 30 bilion, lebihan perbelanjaan RMK 8 ialah
sebanyak 56 bilion. Jumlah ini bersamaan 150% lebih dari anggaran
asal. Tak tahulah dimana kesilapannya, kesilapan perancangan atau
perlaksanaan atau silap taip.
Tetapi
yang lebih membimbangkan kita ialah kos untuk siapkan semua projek
di bawah RMK 8 jauh lebih tinggi daripada harga kontrak yang dimeterai.
Adalah diharapkan kajian separuh penggal RMK 8 yang akan dibentangkan
pada 31 Oktober 2003 akan menyatakan dengan telus berapa kos untuk
menyiapkan semua projek-projek tersebut.
Bagi menangani ancaman keganasan
antarabangsa dan serantau, saya mencadangkan perbelanjaan pertahanan
negara dibuat dengan cermat dengan memberikan tumpuan kepada membangunkan
sendiri industri pertahanan negara. Sehubungan itu tumpuan wajar
diberikan kepada pembangunan kepakaran sumber manusia di dalam
bidang ketenteraan.
Strategi
belanjawan berimbang difikirkan wajar kerana sebarang langkah rangsangan
melalui perbelanjaan pembangunan atau perbelanjaan mengurus dijangka
tidak membawa kesan yang setimpal. Keyakinan pengguna dan pelabur
sudah berubah. Pengguna lebih banyak menabung dari berbelanja. Pelabur
pula mempunyai lain destinasi atau mengambil sikap tunggu dan lihat.
Strategi
belanjawan berimbang dijangka mempunyai kesan positif di dalam tempoh
3 - 5 tahun. Keyakinan kepada pengurusan kewangan kerajaan akan
bertambah. Melalui langkah galakan cukai dan insentif, sektor swasta
akan kembali untuk menjadi enjin pertumbuhan negara.
Apabila
keyakinan swasta kepada pengurusan ekonomi negara pulih, ekonomi
akan digerakkan 80% oleh sektor swasta dan 20% oleh sektor awam.
Dinamik belanjawan Kerajaan Persekutuan ke atas ekonomi negara perlu
difahami dengan baik. Kecuali perbelanjaan pembangunan, kebanyakan
perbelanjaan kerajaan termasuk bayaran faedah dan gaji sektor awam
tidak boleh diubah.
Bersambung
di keluaran akan datang.
|