Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 9:44 PM
EDITORIAL
Primadona
yang merosakkan
Penghujung
Oktober 2003 menyaksikan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 menamatkan
era kepimpinannya. Berakhirlah episod kepimpinan Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad yang tidak pernah sepi daripada kontroversi.
Sebagai
Perdana Menteri, Dr. Mahathir menjadi primadona politik. Selaku
primadona watak beliau mengatasi jalan cerita, adegan yang berlaku
selalunya mestilah sesuai dengan statusnya sebagai pemegang watak
utama.
Hinggakan
sebagai primadona beliau berkuasa menentukan jalan cerita, mengubah
plot dan menukar adegan. Begitulah kuatnya pengaruh primadona. Walaupun
jalan cerita telah ada, plot sudah ditentukan dan adegan yang sepatutnya
dilakonkan telah diputuskan, primadona biasanya dengan kedudukan
beliau sebagai orang yang dipuja dan boleh meletakkan harga yang
tinggi, akan memastikan wataknya tidak tenggelam.
Hinggakan
primadona sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan dirinya
bukan sekadar popular di dalam jalan cerita tetapi menjadi ikutan
di luar filem dan sehingga pada satu tahap tidak boleh ditegur atas
kesalahan dan kekhilafan yang dilakukan.
Inilah
politik primadona yang mewarnai liku-liku politik Dr. Mahathir sejak
22 tahun yang lalu. Dr. Mahathir bukan sahaja menjadi pelakon utama
tetapi berperanan menentukan warna-warni jalan cerita politik negara.
Jika
ada teguran dan kritikan terhadap lakonannya sepanjang menerajui
plot pemerintahan, ia akan segera menganggap teguran dan kritikan
tersebut sebagai usaha untuk memburuk dan menjatuhkannya. Lebih
parah pengkritik tersebut akan dimusuhi.
Budaya
politik primadona ini sebenarnya meninggalkan kesan mendalam di
dalam politik tanah air. Wujud budaya peneraju utama merupakan orang
paling berkuasa. Kemahuan diri dipaksakan sebagai kehendak majoriti,
mimpi peribadi ditafsirkan sebagai destinasi manakala kepentingan
diri ditakwil sebagai melindungi pertiwi.
Inilah
padahnya apabila pemimpin menjadi primadona. Kemahuan untuk meletakkan
diri sentiasa di kemuncak akan menghalalkan tindak tanduk. Batas
susila, adat resam dan tertib berpolitik diketepikan.
Apa
yang penting bagi sang primadona, dirinya terus dikagumi. Harapan
rakyat dan rintihan mereka sering dianggap sungutan yang tidak berkesudahan.
Rakyat dituntut menyerahkan jiwa dan raga hanya untuk memastikan
takhta primadona sentiasa terpelihara.
Banyak
tanda dan juga peristiwa di negara-negara luar bagaimana sang primadona
politik pada akhirnya hidup dengan penuh hina dan sengsara kerana
kemuliaan hanya sementara berkuasa.
31
Oktober 2003, berakhirlah episod primadona politik negara yang banyak
meninggalkan noda dan angkara. Penyambung warisan takhta perlu belajar
agar tidak hanyut untuk mengulangi kesilapan yang sama.
Buat
rakyat semua walau daripada mana latarbelakangnya, politikus primadona
tidak harus lagi diberikan tempat dan kuasa. Baik pemimpin kerajaan
mahupun pembangkang, berpeganglah kepada pesan orang tua, yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Politik
primadona banyak meninggalkan sengsara buat negara, jadi janganlah
diulang perbuatan yang sama. Politik melonjakkan diri untuk dijadikan
primadona hanya akan mengecewakan rakyat yang mahu nasib mereka
dibela.
Ingatlah
bahawa kuasa tidak bermakna tanpa negara yang komponennya adalah
rakyat dan pemimpin yang bertanggungjawab. Selamat tinggal politik
primadona.
|