Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 9:58 PM
Dua
ribu hadiri Konvensyen Nasional BA
Dua
ribu peserta mewakili parti keADILan, Parti Rakyat Malaysia (PRM)
dan PAS menghadiri Konvensyen Barisan Alternatif yang diadakan di
Dewan Fadzil Noor Taman Melewar Selangor pada 27 dan 28 September
lalu.
Konvensyen
yang julung kali diadakan itu telah dihadiri oleh pemimpin-pemimpin
parti dalam Barisan Alternatif (BA) yang dimulakan dengan majlis
makan malam pungutan dana untuk BA. Seratus sepuluh meja yang setiap
satu bernilai RM700 ratus berjaya dijual.
Menurut
Pengerusi Konvensyen Nasional BA Datuk Dr Hasan Ali konvensyen bertemakan
“Bersama Malaysia Baru” itu merupakan titik permulaan untuk mengukuhkan
lagi ikatan yang sedia terjalin antara PAS, keADILan dan PRM
“Penampilan
imej yang baru ini diharap akan lebih meyakinkan rakyat secara keseluruhannya
terhadap komitmen dan kemampuan BA sebagai “government in waiting”
bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara,”kata beliau.
Perasmian
konvensyen tersebut dilakukan bersama oleh Presiden Parti Keadilan
Nasional (keADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden
PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Menteri Besar Terengganu.
Tiga
kertas kerja telah dibentangkan oleh pimpinan BA dimulakan oleh
Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali dengan kertas kerja bertajuk
BA: Lanskap Politik Baru Malaysia, diikuti pembentangan oleh Timbalan
Presiden keADILan Abdul Rahman Othman bertajuk BA: Menjana Ekonomi
Lestari dan Presiden PRM Syed Husin Ali bertajuk Malaysia Untuk
Semua.
Satu
resolusi empat muka surat meliputi hal ehwal sosial, politik dan
ekonomi telah dibacakan oleh Datuk Dr Hasan Ali diakhir konvensyen.
Dalam
majlis tersebut juga Deklarasi Bersama Barisan Alternatif yang ditandatangani
oleh Presiden keADILan dan PAS turut dibacakan.
Deklarasi
tersebut antara lainnya menuntut penggubalan dan perlaksanaan suatu
perubahan dalam sistem keadilan yang mampu melahirkan masyarakat
Malaysia yang benar-benar adil dan demokratik.
Tuntutan
perubahan besar ini merangkumi reformasi politik, ekonomi dan sosio-budaya
yang telah disepakati bersama.
Sebelum
ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam amanat sulung selepas muktamar
PAS pertengahan September lalu berikrar akan memperkukuhkan BA di
semua peringkat.
Sementara
itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu media selepas konvensyen
tersebut bahawa konvensyen BA peringkat negeri akan diadakan tidak
lama lagi.
“Konvensyen
peringkat negeri penting untuk membawa turun mesej yang telah disepakati
bersama.”katanya.
|