Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 10:00 PM
Deklarasi
BA Kuala Lumpur 2003
Berikut adalah resolusi Konvensyen
Nasional Barisan Alternatif (BA) yang telah berlangsung pada 28
September 2003. Lebih 2000 orang pemimpin BA dari seluruh negara
yang hadir di konvensyen itu memutuskan untuk menerima Deklarasi
BA Kuala Lumpur 2003 dan resolusi-resolusi yang merangkumi aspek
sosial, politik dan ekonomi seperti berikut:
Resolusi
Sosial
1.
Konvensyen mengambil sikap positif terhadap saranan bahawa Umno/BNlah
yang meneruskan dasar pecah perintah penjajah sehingga rakyat Malaysia
masih teruk terasing dengan pembinaan dinding-dinding sosio-politik
yang terus diperkuat. Ini telah menjejaskan hasrat mewujudkan masyarakat
Malaysia yang bersatu padu. Konvensyen memutuskan bahawa kerajaan
BA akan mengambil tindakan segera merobohkan halangan-halangan kepada
percambahan perpaduan dengan membentangkan rangka cadangan ekonomi,
sosial dan politik yang dapat menghasilkan perpaduan sejati.
2.
Konvensyen menyetujui langkah-langkah untuk menghapuskan penguasaan
ekonomi dan kekayaan negara oleh golongan tertentu seperti Umnoputra
dengan mengenengahkan barisan pimpinan yang mempunyai kemahuan dan
keberanian politik untuk merubah wajah pembangunan sekarang yang
bersendikan kepada kronisme, rasuah dan nepotisme.
3.
Konvensyen menyetujui langkah-langkah yang akan diambil oleh BA
untuk menghapuskan segala undang-undang yang menyekat hak-hak kemanusiaan
seperti ISA dan OSA. Pemerintahan BA akan menentukan rakyat tidak
akan terbelenggu dengan segala sekatan yang dilakukan pemerintahan
otoritarian Umno/BN. Kuasa rakyat akan dikembalikan sebaik-baik
sahaja BA berkuasa.
4.
Konvensyen bersetuju supaya BA melaksanakan peraturan mewajibkan
badan-badan perniagaan kerajaan seperti PETRONAS membentang laporan
tahunan kepada Parlimen untuk dibahaskan dengan cara telus. Konvensyen
juga menyarankan supaya kerajaan BA memberhentikan serta merta amalan
menggunakan badan-badan kewangan kerajaan untuk
melupuskan
hutang-hutang syarikat-syarikat kroni dan membawa ke pengadilan
mereka yang terlibat dengan penyelewengan.
5.
Konvensyen menyarankan supaya BA mengambil tindakan tanpa memilih
bulu mereka yang terlibat dengan amalan rasuah. Setiap laporan hendaklah
dialu-alukan dan disiasat dan pihak yang terlibat mesti dibawa ke
muka pengadilan tanpa lengah.
Resolusi
Politik
Konvensyen
Nasional BA menyedari akan:
•
kepentingan untuk melakukan anjakan minda dan sistem nilai bagi
menamatkan politik berteraskan perkauman dan kepentingan oligarki
Umno/BN yang sempit kepada lanskap politik baru yang berteraskan
prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai murni serta keadilan sejagat.
•
Keprihatinan dan komitmen terhadap golongan majoriti yang tersisih
agar mereka diintegrasikan ke dalam arus perkembangan politik perdana.
•
Hakikat bahawa politik negara tidak boleh dipisahkan daripada dinamik
politik serantau dan dunia (geo-politik).
Konvensyen
Nasional BA merakamkan persetujuan bahawa pencapaian dan prestasi
kerajaan- kerajaan negeri yang diperintah BA sekarang akan memberi
implikasi kepada keyakinan terhadap BA dalam pilihan raya akan datang.
Konvensyen
Nasional BA menegaskan harapan agar kepimpinan BA di semua peringkat
melengkapkan diri dengan ciri ilmu, ketrampilan serta memiliki komitmen
yang tinggi terhadap perjuangan.
Konvensyen
Nasional BA merakamkan persetujuan supaya dilakukan anjakan dalam
perkara perkara berikut:
•
Membanteras politik perkauman/dendam-kesumat dan menggantikannya
dengan politik yang berasaskan prinsip-prinsip keadilan dan hak
perbezaan , pendapat secara demokratik.
•
Politik oligarki digantikan dengan pendekatan demokrasi berpenyataan
(participatory politics).
•
Politik kuku-besi dan otokratik digantikan dengan politik penyayang
dan saling menghormati terhadap golongan lawan.
•
Politik penyalahgunaan kuasa eksekutif kepada politik yang berasaskan
bertanggungjawaban (accountability) dan prinsip pengasingan kuasa.
•
Politik rasuah, amalan kronisme-nepotisme dan penyelewengan kepada
politik yang telus, amanah dan bertanggungjawab.
•
Politik melanjutkan hayat kuasa melalui undang-undnag represif seperti
ISA, OSA dll kepada politik yang dipandu oleh nilai-nilai moral
dan kuasa dibatasi perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang.
Resolusi
Ekonomi
Konvensyen
Nasional Barisan Alternatif menyetujui pendekatan ekonomi negara
mesti berteraskan ekonomi lestari bukan ekonomi meruap tajaan Barisan
Nasional. Pendekatan ini memberi penekanan kepada perkara-perkara
berikut:
•
BA adalah mesra peniaga dan perniagaan.
•
Ekonomi adalah dipacu oleh swasta dengan galakan daripada kerajaan.
•
Pembangunan ekonomi tidak menjejaskan pembangunan insan seutuhnya,
alam
sekitar dan mampu dijana secara mapan.
•
Melahirkan keluarga mampu ke tahap 80% menjelang 2020.
Konvensyen
Nasional BA merakamkan persetujuan ke atas cadangan menjamin pengurangan
kos keperluan-keperluan asasi seperti pendidikan, kesihatan, perumahan,
pengangkutan, kos elektrik dan air dan sebagainya. Untuk mencapai
matlamat ini pendekatan berikut perlu di
beri perhatian:
•
Mewujudkan ekonomi seimbang di antara sektor-sektor, wilayah, bandar-luar
bandar dan antara kaum.
•
Penekanan terhadap pertumbuhan mapan dan pengagihan. Pengagihan
dibuat mengikut lunas-lunas `distributive justice' – `keadilan agihan'
merentasi batasan kaum, kepercayaan dan lokaliti.
•
Mewujudkan ruang dan peluang yang lebih besar, persekitaran yang
menggalakkan dan insentif yang munasabah.
•
Mengkaji semula dasar penswastaan supaya lebih menepati kemampuan
negara dan kehendak rakyat sejajar dengan polisi pertumbuhan mapan
dan agihan yang adil.
•
Mewujudkan pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan
keupayaan generasi hadapan memenuhi keperluan mereka.
Bagi
menjayakan penghayatan dan pelaksanaan resolusi tersebut di pelbagai
peringkat, konvensyen dengan ini juga memutuskan langkah-langkah
berikut untuk dilaksanakan seberapa segera mungkin iaitu:
•
Pengendalian konvensyen-konvensyen yang sama di peringkat negeri
dan kawasan/bahagian.
•
Pengendalian wacana-wacana mengikut sektoral bidang-bidang politik,
ekonomi dan sosial secara khusus dan terperinci.
•
Menerbitkan berbagai bahan penerangan yang menjelaskan kepada rakyat
secara berterusan dan sistematik mengenai penjanaan agenda Bersama
Malaysia Baru.
Kuala
Lumpur
28
September 2003
|