Seruan Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 9:47 PM

MINDA ANWAR

Perangi jenayah ekonomi

Dengan globalisasi pasaran kewangan, jenayah ekonomi kini boleh merentasi sempadan negara dengan begitu mudah. Penjenayah ekonomi mengambil peluang daripada dunia kewangan dan perniagaan yang kompleks. Mereka berselindung di sebalik tabir undang-undang yang rumit dan sukar dibolosi. Penawar paling berkesan untuk memerangi penjenayah ekonomi ini datangnya daripada pengalaman dan kejujuran mereka yang bekerja di persekitaran tersebut.

Jenayah ekonomi meruntuhkan keyakinan dan kepercayaan  kita kepada komuniti perniagaan yang memegang amanah sebagai pengurus ekonomi ini.  Selain itu, usahawan jujur sukar untuk beroperasi secara efektif di dalam keadaan di mana kepercayaan terhadap komuniti perniagaan telah dimusnahkan oleh penjenayah di antara mereka. Oleh itu, untuk kepentingan jangka panjang komuniti usahawan, mereka harus menghapuskan elemen jenayah yang membiak di kalangan mereka.

Penjenayah ekonomi mengikari dan melanggar undang-undang. Mereka pengkhianat kepada rakan sejawat dan musuh masyarakat. Mangsa mereka bukanlah orang yang ‘tidak penting’ semata-mata kerana nama dan identiti mereka tidak dikenali oleh penjenayah. Sebenarnya mangsa mereka adalah setiap daripada kita. Di sebabkan itulah masyarakat harus mendesak supaya penjenayah ekonomi diburu dengan penuh keazaman dan kekuatan.

Kita diajar untuk merasa belas kasihan terhadap mereka yang melakukan jenayah kerana terdesak. Namun, mereka yang terdesak bukanlah profil seorang penjenayah ekonomi. Secara amnya mereka terdiri daripada kalangan yang telah mendapat faedah pendidikan, pekerjaan dan peluang. Kita tidak menganggap bahawa ada keburukan daripada keuntungan yang diraih melalui usaha keras. Sebaliknya, ia merupakan perkara yang baik dari segi sosial dan moral.

Hanya terdapat satu syarat, iaitu keuntungan ini diperolehi secara jujur dan diiringi tanggungjawab bersama terhadap seluruh masyarakat, kerana tiada ahli perniagaan, walau bagaimana kendirinya mereka, mampu mencapai keuntungan tanpa pembabitan masyarakat secara keseluruhan. Namun, jenayah mereka yang mempergunakan ilmu, kepercayaan dan peluang secara salah, dalam erti kata lain mereka yang kaya-raya, merupakan ketidakadilan yang paling besar. Hukuman terhadap mereka haruslah berat supaya setimpal dengan sifat mereka yang tidak mempedulikan kepentingan masyarakat.

Terdapat suatu perkara yang menyebabkan runtuhan ekonomi pada tahun 1980an, terutama di beberapa negara Barat tertentu, yang harus dikuburkan. Ia adalah falsafah ‘tamak adalah betul’ yang diperkatakan oleh orang seperti Boesky dan Milken. Jenayah ekonomi tidak berlaku di dalam persekitaran yang kompleks di mana garis pemisah antara inovasi, usaha dan jenayah terlalu samar. Sebaliknya, garis pemisah ini amat jelas. Apa sahaja yang merosakkan integriti pasaran dan kepentingan masyarakat secara keseluruhan perlu disifatkan sebagai jenayah.

Mereka yang menganggap diri mereka bijak kerana berjaya melanggar undang-undang dan mengatasi sistem tidak boleh lari daripada kritikan moral walaupun mereka mungkin bebas daripada tindakan undang-undang.  Walau apa pun, adalah menjadi tugas kita untuk mengubah dan memperbaiki sistem tersebut supaya penjenayah ini tidak melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya.

Di dalam beberapa tahun yang lepas, terdapat banyak bukti bahawa penjenayah yang paling pintar, berkuasa dan digeruni telah berjaya dihalang. Di United Kingdom, Amerika dan Jepun, beberapa tokoh legenda di dalam komuniti perniagaan global telah dijatuhkan dan dipaksa menebus kesalahan mereka.

Kita berharap dengan pengawasan yang lebih rapi daripada badan perundangan dan agensi penguatkuasa, penjenayah dapat dihalang. Sistem yang kukuh dan telus sudah tentu boleh menjadi penghalang kepada aktiviti jenayah sambil mengurangkan keinginan yang mungkin wujud untuk mendapatkan keuntungan yang pantas melalui aktiviti jenayah.

Jenayah ekonomi akan membiak apabila kita hanya menerima secara pasif perubahan pantas dan kompleks serta membiarkan teknologi menguasai diri kita. Perang ke atas jenayah ekonomi mendesak penggunaan ilmu dengan bijak dan imaginatif. Ini penting dalam mewujudkan suatu masyarakat yang lebih baik.  Justeru, ujian kematangan moral kita bergantung kepada kebolehan kita untuk memerangi jenayah ekonomi serta berkembang di dalam pasaran global masakini.