Seruan
Keadilan Online - Sunday, November 2, 2003 9:48 PM
Dulu
perkataan ‘Islam’, kini ‘keadilan’ ditakuti
Oleh: Asfan Ahmad Hisyam
Tidak
puas dengan cubaan untuk menggugurkan perkataan 'Islam' dalam nama
Parti Islam SeMalaysia (PAS), kini pihak Umno telah merencana satu
niat baru mereka untuk menghapuskan nama atau perkataan 'Keadilan'
dalam nama Parti Keadilan Rakyat atau nama singkatannya keADILan.
Perkara
ini dinyatakan dalam surat bertarikh 15 September 2003 yang dihantar
oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan
Rakyat. Menurut surat tersebut ‘perkataan keadilan adalah tidak
sesuai’ dan Parti Keadilan Rakyat dikehendaki mencari nama baru
atau nama lain yang tidak menggunakan perkataan keadilan. Bukan
sahaja singkatan keADILan yang tidak boleh digunakan malahan nama
Parti Keadilan Rakyat itu sendiri perlu diubah.
Perkara
ini membuktikan bahawa Umno gentar dengan agenda 'keadilan' yang
menjadi teras perjuangan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat
Malaysia sebelum ini yang kini telah bergabung menjadi Parti Rakyat
Malaysia.
Umno
sanggup menggunakan segala jentera yang ada pada mereka untuk menghapuskan
seteru mereka yang dianggap sebagai ancaman terhadap kedudukan mereka
bagi mengekalkan kuasa demi meneruskan agenda penyelewengan kuasa,
rasuah, kronisme, nepotisme dan lain-lain lagi.
Dahulunya
mereka cuba untuk menghancurkan PAS dengan membuang nama 'Islam'
dalam parti tersebut. Namun keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang
tidak bersetuju dengan tindakan itu telah memenangkan PAS dalam
isu berkenaan. Ini merupakan satu tamparan hebat buat Umno kerana
gagal melanjutkan isu terbabit.
Kini
isu yang hampir sama digunakan sebagai agenda jahat mereka. Adakah
kita mahu bawa semula perkara seumpama ini kepada Majlis Raja-Raja
Melayu atau kepada Dewan Bahasa dan Pustaka?
Apakah
rasionalnya Umno menyatakan alasan perkataan 'Keadilan' tidak sesuai
digunakan? Adakah mereka gentar dengan nama dan semangat keadilan
yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat? Atau mereka sendiri kini
sedar bahawa perjuangan Umno kini sudah tidak ada nilai keadilan
lagi kepada rakyat di negara ini?
Sehari
selepas majlis pelancaran Parti Keadilan Rakyat kebanyakan pemimpin-pemimpin
Umno membuat kenyataan takbur bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah
gabungan dari dua parti yang tidak kuat yang menunggu masa untuk
terkubur. Kalau benar kedua parti itu tidak kuat mengapa Umno harus
takut hanya pada nama 'Keadilan'?
Gagasan
Parti Keadilan Rakyat diilhamkan semenjak tahun 1999 lagi dan permohonannya
telah dibuat hampir setahun yang lalu dengan beberapa pindaan perlembagaan
Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia namun kelulusan
penubuhannya masih dilewat-lewatkan oleh ROS.
Persoalannya
mengapa ROS sengaja melambat-lambatkan kelulusan penubuhannya. Siapakan
dalang yang menyeru agar ROS menangguhkannya? Kalau Umno fikir mereka
benar-benar kuat mengapa mereka tidak membenarkan parti keADILan
menggunakan lambang baru dalam pilihanraya yang akan datang.
Fikirkanlah sendiri, siapa
yang kuat dan siapa yang lemah sebenarnya. Rakyat hakim negara.
|