Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:12 AM

Kes Anwar: Hakim menghilang lagi!

Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2003 lalu sekali lagi menyaksikan episod mengejutkan apabila para hakim meninggalkan mahkamah selama 20 minit.

Kejadian berlaku apabila Hakim Pajan Singh Gill, Richard Malanjum dan Hashim Yusof berbalah dengan peguam Karpal Singh mengenai soal notis alibi Anwar.

(Alibi ialah bukti atau fakta yang menunjukkan tertuduh tidak berada di tempat kejadian).

Karpal Singh mahukan ketiga-tiga hakim membetulkan kesilapan yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis mereka, Ogos lalu bahawa Anwar tidak mengemukakan notis alibinya.

Pegawai pendaftar mahkamah kemudiannya menafikan menerima notis tersebut. Ini menyebabkan Anwar turut membantah.

“Ya Allah, apa ni? Saya sendiri lihat peguam saya menyerahkan alibi tersebut dalam mahkamah. Lebih dari 30 orang awam yang turut berada di mahkamah menyaksikannya. Bagaimana boleh mahkamah menafikannya?,” kata Anwar.

Keadaan itu menyebabkan Pajan diikuti Malanjum dan Hashim bangun meninggalkan tempat duduk menuju ke kamar hakim.

Kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku. Ini kerana pada April lalu, Pajan, Malanjum dan Hashim juga menghilangkan diri lebih 40 minit ketika berhadapan dengan isu ikat jamin Anwar.

Apabila perbicaraan disambung 20 minit kemudian, Timbalan Pendakwaraya, Mohd Yusof Zainal Abiden mendakwa mengaku menerima menerima dokumen (alibi tersebut).

Sehubungan itu, Karpal mahukan mahkamah menyatakan pendirian jelas mengenai hal tersebut

“Ini perkara serius. Saya rasa Yang Arif menafikan penerimaan notis tersebut walau pun saya telah mengemukakannya. Bolehkah mahkamah mengesahkan yang saya telah memfailkannya,” kata beliau.

Hakim Pajan kemudian menjawab bahawa mereka tidak boleh menjawab soalan tersebut.

Karpal kemudiannya meminta penangguhan untuk menfailkan afidavit baru bagi menyokong hujahnya.

Perbicaraan disambung 19 Januari depan.

Anwar serta adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja sedang memohon agar Mahkamah Rayuan menyemak hukuman yang dibuat terhadap mereka atas kesalahan ‘meliwat’.

Hampir semua wartawan gagal mendapatkan gambar terbaru Anwar kerana beliau diberikan kawalan ketat dan dibawa masuk ke dalam mahkamah melalui laluan bawah tanah.

Kes Anwar kali ini didengar di mahkamah ‘Palace of Justice’ yang baru siap dibina di Putrajaya.