Seruan Keadilan Online - Monday, January 5, 2004 12:16 AM

Rasuah: Kenyataan Peguam Negara dipersoal

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwa begitu cepat mengeluarkan kenyataan apabila berlaku perang mulut di antara Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dengan Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Nordin Ismail berhubung isu rasuah.

Beliau berkata, tindakan Abdul Gani itu menunjukkan seolah-olah beliau cuba mencampuri urusan siasatan sebuah badan bebas khususnya BPR.

Abdul Gani dalam kenyataannya dalam siaran Buletin Utama TV3 baru-baru ini berkata, dakwaan kononnya 6,000 permit diberikan kepada seorang individu melalui 19 syarikat, didapati tidak benar dan hanya wujud kesalahan prosedur dalam isu berkenaan.

Dakwaan tersebut dilakukan oleh Presiden Persatuan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Pertekma), Yusof Lahir.

Selain itu, Mahfuz turut mempersoalkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bertemu dengan Nazri dan BPR dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Sekiranya hasrat berkenaan terlaksana dan Abdullah telah menemui pihak terbabit, ia juga menunjukkan pertemuan itu sebagai mengganggu proses siasatan BPR," tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu, jurucakap Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Amin Idris berkata, BPR perlu lebih proaktif dan telus di dalam menangani kes-kes rasuah.

"Pendirian mahasiswa adalah jelas iaitu BPR seharusnya profesional dan melihat isu ini sebagai agenda besar BPR, di mana rasuah merupakan satu virus yang mampu untuk merobohkan mana-mana tamadun sepertimana yang berlaku di Kekaisaran Romawi, China Kuno dan juga di sebilangan besar negara-negara Asia," jelas Amin.

Beliau menambah, mana-mana kes rasuah mesti diselesaikan berdasarkan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan tanpa mengambil kira sama ada ia membabitkan orang kenamaan atau tidak.

Sebelum ini, katanya, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim (bekas hakim dan ketua pengarah BPR) pernah menegur secara terbuka terhadap BPR di dalam menangani kes rasuah terutama sekali apabila ia melibatkan menteri-menteri.

Malah, katanya, banyak kes-kes yang masih belum selesai dan tergantung bertahun-tahun.

"Sebagai contoh, sepertimana yang telah disebut sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengenai isu Perwaja, didapati siasatan telah bermula sejak Ogos 1998 sehingga kini, namun ianya masih belum ada jalan penyelesaian," jelas beliau.